Posted by Surau al-Mujahidin on Jumaat, April 10, 2009 in kuliah | No comments
Sabda Rasulullah SAW:الدنيا مزرعة الأخرة
Maksudnya: dunia adalah tempat untuk bercucuk tanam bagi akhirat.
Dunia perkataan asalnya diambil dari دنو yang memberi maksud dekat, ataupun diambil dari perkataan دناءة yang membawa maksud hina. Dari mana asal sekalipun kedua-duanya adalah sesuai bagi penggunaan maksud bagi dunia. Dari segi istilahnya dunia membawa maksud segala makhluk yang ada di atas muka bumi ini. الدنيا يعني مخلوق ما سوى الله bermaksud dunia adalak segala makhluk kecuali Allah SWT.
Merujuk kepada dunia terdapat hadith masyhur yang yang sering diperkatakan dengan dunia. Hadith tersebut yang dikaitkan dengan niat iaitu ومن كانت هجرته إلى الدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها barangsiapa yang berhijrah kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya (kisah yang dikaitkan dengan Ummu al-Qais). Di penghujung hadith tersebut dikaitkan setiap apa yang dilaksanakan bergantung kepada apa yang dicitakan.
Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya tentang dua perkara iaitu elak dari fitnah wanita dan dunia. Sehubungan itu di dalam menghuraikan maksud hadith niat yang dikaitkan dengan dunia, Imam Nawawi menjelaskan amal hamba di dunia ini dikembalikan kepada tiga peringkat iaitu;
a. Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah SWT ialah amal ibadat seorang hamba.
b. Amal yang dikerjakan kerana inginkan syurga dan pahala adalah amal ibadat seorang saudagar.
c. Amal yang dikerjakan kerana malu, kesyukuran, merasakan diri yang hina, keinsafan dan takut amalan tidak diterima ialah amalan ibadah seorang yang merdeka.
Manakala dua perkara utama yang boleh menyebabkan amalan rosak iaitu;
a. Rasa kagum dengan amalan yang dilakukan, merasa hebat dengan diri sendiri dan merasakan sudah mencukupi dan lebih dari orang lain.
b. Syirik yang paling kecil iaitu riak, amalan yang dilakukan hanya untuk dipertontokan kepada manusia.Justeru bagi menghadapai dunia ini kembalilah kepada hadith yang awal di atas dan hadith jadilah kita di dunia ini sebagai orang asing atau bermusafir. Dengan itu kita akan selamat dalam kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat yang kekal abadi.
Kuliah Maghrib al-Fadhil Dr. Abdul Ghafar Don 10 April 2009
0 ulasan:
Catat Ulasan