Rabu, November 21, 2018

Program Tadarus dan Khatam Al Quran Perdana

Pada 1 September 2018 (Sabtu) telah diadakan Program Tadarus dan Khatam Perdana (Muslimat) di Surau Al Mujahidin. Program yang julung kali diadakan di surau ini adalah anjuran bersama Halaqah AlQuran Muslimat Bandar Baru Bangi dengan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Ianya dijalankan di setiap Sabtu minggu pertama di mana-mana masjid atau surau sekitar Bandar Baru Bangi yang ingin menjadi tuan rumah.

Persediaan untuk majlis ini mengambil masa hampir sebulan dengan beberapa siri mesyuarat dengan AJK Muslimat Surau Al Mujahidin sendiri dan pihak Halaqah AlQuran Muslimat. Suatu Jawatankuasa sementara dibentuk bagi melaksanakan segala tugasan yang berkaitan di mana ianya banyak melibatkan para muslimat yang menyertai kelas mengaji di taman ini. 



Program ini berlangsung dari pukul 12.30 tengahari untuk urusan pendaftaran peserta. Kebanyakan peserta yang hadir pada waktu ini adalah mereka yang hadir dari surau-surau yang berjauhan dari taman ini. Juga bagi mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk berjemaah Zuhor di surau kita. Program ini disertai hampir dua ratus orang peserta dari hampir dua puluh buah masjid dan surau sekitar Bandar Baru Bangi. Tidak ketinggalan juga program ini disertai oleh bonda-bonda dari Rumah Jagaan Darul Insyirah, Bangi Golf Resort.


Program ini secara formalnya bermula pada pukul 2.00 petang yang dimulai dengan ucapan kata-kata aluan oleh Ketua Muslimat Surau Al Mujahidin  dan seterusnya oleh wakil daripada pihak Halaqah AlQuran Muslimat Bandar Baru Bangi. Majlis seterusnya diteruskan dengan bacaan doa pembukaan oleh Ustazah Saudah Ishak yang merupakan guru mengaji bagi Muslimat taman ini.

Kemudian tadarus AlQuran bermula. Semua peserta dibahagikan kepada tiga puluh kumpulan yang di ketuai oleh seorang Pembimbing Juzuk. Pembimbing Juzuk ini akan memeriksa bacaan mengaji setiap ahli kumpulan tersebut. 

Bacaan tadarus diakhiri pada pukul 3.45 petang. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan perasmian penutupan oleh Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Selepas itu diadakan pula penyampaian cenderahati buat Perasmi penutup majlis, Ahli Halaqah AlQuran Muslimat, Ketua Muslimat dan ustazah-ustazah yang menjadi tenaga pengajar bagi majlis ilmu untuk Muslimat Surau Al Mujahidin.

Majlis ini sepatutnya diakhiri dengan bacaan Salawat. Memandangkan waktu solat Asar masuk agak cepat, maka bacaan tersebut dibatalkan dan berakhirlah majlis ini.Hadirin semua kemudiannya sama-sama berjemaah untuk Solat Asar dan setelah itu, bersama-sama menikmati juadah yang disediakan. 



Add caption

Add caption