Khamis, Julai 15, 2010

Alam Arwah

Semua benda yang berlaku pada manusia sama ada ianya bersifat ta’akul (rasional) yang boleh dikaitkan dengan pemikiran manusia dan kadang kala ada yang bersifat ta’abbud (patuh dan buat tanpa perlu persoalan). Ianya seumpama ibadah solat tidak perlu kita bertanya dan memikirkan kenapa Allah SWT mewajibkan lima kali sehari serta kenapa subuh dua rakaat dan isya’ empat rakaat. Kewajipan kepada kita adalah terima dan melaksanakannya.

Namun manusia di zaman kini benyak terdorong kepada penggunaan akal dalam mencari sebab musabbab sesuatu perkara. Hasilnya manusia lebih banyak berpersepsi daripada realiti sebenar yang berlaku. Inilah yang sepatutnya dielakkan terutamanya apabila membincangkan soal yang bersifat sam’iyyat.

Antara perkara sam’iyyat ialah alam ruh. Terdapat beberapa pandangan berkaitan kemana ditempatkan ruh setelah matinya seseorang manusia. Di sini diambil beberapa pendapat tentangnya;

  1. Pendapat Abu Hurairah, Ibnu Umar, Imam Syafie dan Ibnu Kathir; ruh orang beriman, para nabi dan syuhada’ berada di syurga. Manakala ruh orang kafir ditempatkan di dalam neraka.
  2. Pendapat Kaab dan Syeikh Abu Bakar al-Jazair; ruh orang beriman ditempatkan di langit ‘ulya manakala orang kafir berada di lapisan bumi yang paling bawah iaitu sijjin.
  3. Pendapat sekumpulan ulama’ dan Imam al-Badawi; ruh orang beriman di halaman kubur masing-masing dan dilapangkan kubur mereka kecuali orang mati syahid ditempatkan di syurga. Ruh orang kafir ditempatkan di lapisan bumi yang paling bawah iaitu sijjin. Imam Mujahid menambah selepas seminggu ruh orang mukmin akan ditempatkan di tempat yang lain.
  4. Pendapat lain mengatakan ruh akan kembali semula ketempat di mana ia berada sebelum di satukan dengan jasad iaitu di alam ruh itu sendiri.
  5. Pendapat Sulaiman al-Farisi dan Imam Malik; ruh orang yang beriman akan berada di alam barzah dan bebas ke mana-mana.

Wujudnyq perbezaan pendapat berkaitan ditempatkan ruh selepas mati kerana perbezaan dalil yang digunakan. Apa pun yang pasti kedudukan ruh berbeza mengikut kedudukan masing-masing di sisi Allah SWT.

Kuliah Maghrib Prof Madya Dr Kamaruddin Salleh 14 Julai 2010

Selasa, Julai 13, 2010

Ahad, Julai 04, 2010

Kisah Juraish & bayi bercakap

Juraish yang merupakan seorang abid yang terkenal dalam kaum Bani Israel sentiasa mendirikan ibadah di tempat peribadatan yang diterimanya. Suatu hari dia telah didatangi ibunya ketika mana sedang mengerjakan solat, mendengar panggilan ibunya timbul di dalam hatinya sama ada mahu meneruskan solat atau menyahut panggilan ibunya dan dia mengambil keputusan meneruskan solat. Maka berlalulah ibunya pada hari tersebut.

Pada keesokan hari sekali lagi ibu Juraish mendatanginya dan apa yang berlaku adalah pengulangan, Juraish dalam keadaan solat dan tetap tidak menyahut panggilan ibunya. Perkara tersebut berlaku tiga hari berturut-turut. Pada hari ketiganya ibu Juraish yang telah terasa hati akibat perlakuan Juraish mendoakan kepada Allah SWT agar Juraish digoda pelacur suatu hari kelak.

Berkat doa ibu, pada suatu ketika sedang Juraish berada di tempat peribadatannya telah datang seorang pelacur menggodanya. Berbekalkan keimanan yang tinggi dalam diri Juraish masih dapat menolak dan mengelak godaan pelacur tersebut. Akibat tindakan Juraish pelacur tersebut mencari jalan lain untuk menfitnah Juraish. Suatu ketika ketika menghampiri tempat ibadah Juraish pelacur tersebut terserempak dengan seorang pengembala kambing lalu menggodanya berzina. Hasil dari zina tersebut pelacur tadi telah mengandung dan telah dihebahkannya kepada kaum Bani Israel bahawa kandungannya adalah hasil hubungannya dengan Juraish.

Tatkala tersebar berita tentang Juraish telah berzina dengan pelacur sehingga melahirkan anak, tempat ibadah Juraish telah dirobohkan oleh Bani Israel sebagai tindak balas ke atas kelakuan sumbangnya. Juraish mempertahankan dirinya dengan meminta dibawakan kepadanya anak yang dilahirkan pelacur tersebut.

Suatu ketika setelah selesai bermunajat kepada Allah SWT, Juraish berdepan dengan anak kelahiran pelacur terbabit lalu ditusukkan jarinya keperut anak tersebut lantas disoalnya anak tersebut; siapakah bapa kamu yang sebenarnya? Dengan izin Allah SWT anak tersebut bertutur mengatakan ayahnya adalah seorang pengembala kambing yang digoda oleh pelacur yang menfitnah Juraish.

Setelah mengetahui kebenaran Bani Israel terus kembali semula kepada Juraish bahkan mereka bangunkan semulaa tempat ibadah bagi melaksakan ibadah dengan aman.

Selain anak kecil tadi yang bercakap menjadi saksi kepada Juraish; Nabi Isa AS dan kisah anak yang sedang menyusu menegur ibunya ketikamana ibunya mengharapkannya menjadi sipulan-sipulan antara manusia yang boleh bercakap semasa kecil. Selain itu menurut Imam Sayuti kebanyakan para anbiya’ boleh bertutur ketika masih anak kecil antaranya Nabi Muhammad SAW, Nabi Yahya AS, Nabi Isa AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Nuh AS dan Nabi Musa AS. Yang lainnya meliputi saksi kepada Nabi Yusuf AS yang difitnah oleh Zulaikha, anak kepada Masyitah tukang sisir anak Firaun yang dihumban ke dalam air yang menggelegak dan anak kepada seorang Ashab al-Ukhdud yang terjun ke dalam kawah api.

Kuliah Maghrib Ustaz Shaari Zulkarnain 3 Julai 2010