Rabu, Julai 17, 2019

Bicara Santai Kekeluargaan Bersama Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Allah kerana dengan izin dan inayahNya, dapat kami menjemput Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa untuk berkongsi sedikit ilmu di Surau Al Mujahidin bersama-sama dengan ahli kariah kita.

Bicara santai kekeluargaan ini telah diadakan pada 22 hb. Jun 2019 (Sabtu), bermula pada pukul 10.30 pagi. Seawal pukul 10.00 pagi, para hadirin telah mula membanjiri perkarangan surau ini. Hampir 150 orang hadirin telah hadir untuk mendengar bicara ilmu dari penceramah terkemuka ini.

Terdapat juga tetamu yang hadir luar dari kawasan Bandar Baru Bangi. Ada yang berseorangan, dan ada yang berkeluarga. Bagi yang berkeluarga, kami memberikan cenderahati berupa "wood plaque" sebagai menghargai kehadiran mereka.

Program ini bermula tepat pada pukul 10.30 pagi di mana bicara kekeluargaan ini bertajuk "Duhai Ayah dan Ibu, pimpinlah daku...".Ustazah Datuk memberikan beberapa panduan dalam membentuk keluarga yang bahagia bersama anak-anak. Antara yang keluarga perlu ada dalam kehidupan berkeluarga adalah  kasih sayang, gurau senda, komunikasi berkesan dan sebagainya.

Di dalam program ini, kami juga telah menjemput wakil pemimpin wanita dari Somalia dan Togo untuk bersama-sama memeriahkan majlis ini. Mereka ini kebetulan hadir untuk Persidangan Antarabangsa Wanita Islam di Kota Bharu. Ketua Muslimat kami, Prof. Madya Dr. Siti Norul Huda Sheikh Abdullah juga merupakan peserta persidangan tersebut.

Perkongsian ilmu dari Ustazah Datuk berakhir pada pukul 12.00 tengahari dengan beberapa minit diberi kepada hadirin untuk mengemukakan soalan. Walau bagaimanapun, tidak semua soalan dapat dijawab memandangkan masa yang tidak mengizinkan.  Namun begitu, hadirin nampaknya tetap seronok dengan program pada hari itu. Mereka juga tidak melepaskan peluang bergambar dengan Ustazah Datuk sebagai kenang-kenangan.

Semoga dengan perkongsian ilmu secara santai ini dapat memberi manfaat kepada semua yang hadir dalam membentuk keluarga yang bahagia.