Isnin, Oktober 07, 2019

Ceramah Motivasi Remaja

Perjalanan dalam menuntut ilmu merupakan suatu perjalanan yang panjang dan melelahkan. Begitu banyak onak ranjau dan duri yang perlu diharungi, dalam menggapai cita-cita yang diidamkan. Semangat belajar juga ada kalanya naik, ada kalanya turun. Ada kalanya bermatlamat, ada kalanya sekadar mengikut arus. Namun, apa yang diharapkan adalah kejayaan di penghujung usaha yang telah dicurahkan.

Lantaran itu, pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin mengadakan program Ceramah Motivasi untuk-untuk anak-anak kariah ini, pada 18 Ogos 2019, yang akan menghadapi peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM. Seramai hampir 55 orang anak-anak Taman Desa Surada telah menghadiri ceramah ini. Ceramah selama dua jam ini disampaikan oleh Ustaz Hifdzi Zaim bin Zamri yang merupakan jurulatih dari Akademik Sinergi Ilmu. Beliau di peringkat persekolahannya, merupakan tokoh pelajar di SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi yang cemerlang dalam akademik dan aktiviti kokurikulum.

Ceramah selama dua jam ini terisi dengan perkongsian pengalaman penceramah dalam menuntut ilmu, tip-tip untuk belajar dan beberapa aktiviti yang berkaitan dengan matlamat dan fokus dalam belajar. Diselitkan juga tayangan video untuk menarik minat dan menaikkan semangat anak-anak yang menghadiri ceramah ini.

Ceramah ini yang bermula pada pukul 9.30 pagi, diakhiri pada pukul 11.30 pagi dengan sesi penyampaian cenderahati oleh Pn. Meriam Kamarudin selaku Ketua Unit Remaja, Jawatankuasa Muslimat Surau Al Mujahidin