Khamis, September 20, 2018

Majlis Khatam AlQuran Sempena Perkahwinan Keluarga Kariah

Pada 21 hb. Julai 2018 (Sabtu), telah diadakan sebuah majlis khatam AlQuran bersempena dengan perkahwinan ahli keluarga kariah Surau AlMujahidin. Majlis ini berlangsung di Ruang Solat Surau Al Mujahidin bermula pada pukul 9.30 pagi

Majlis ini diadakan untuk meraikan perkahwinan adik kepada Datin Aini. Ianya disertai oleh kedua-dua anak lelaki kepada Datin Aini, anak-anak dari Warga Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah dan Rumah Bakti Nur Ain  milik Datin Aini sendiri, dan hampir dua puluh orang anak-anak Taman Desa Surada. Seramai tiga orang Ustaz yang merupakan pelajar-pelajar Tahfiz dari taman ini telah diminta untuk mengetuai bacaan ayat-ayat AlQuran ini.

Majlis yang mengambil masa selama lebih kurang sejam lebih ini, diakhiri dengan penyampaian saguhati kepada semua peserta yang diserahkan sendiri oleh Datin Aini.  Kesemua hadirin seterusnya menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak tuan rumah di khemah kenduri bersebelahan surau ini. 





Bengkel Belajar Jawi Cara Mudah


Pada 21 Julai 2018 (Sabtu) telah diadakan suatu bengkel tentang penulisan Jawi. Bengkel ini bertajuk "Cara Mudah Mempelajari Jawi Menggunakan Kaedah BDN". Bengkel ini diadakan di Surau Al Mujahidin bermula dari pukul 9.00 pagi.

Bengkel ini disampaikan oleh Ustaz Wan Mohd. Azhar  bin Wan Mahamod. Beliau yang merupakan seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan Changkat Ibol, Changkat Jering, Perak. Beliau telah mengasaskan pendekatan mudah ini yang beliau namakan Kaedah BDN iaitu membaca Jawi dengan nombor (Baca Dengan Nombor).

Dalam kaedah ini, setiap perkataan Jawi dipotong-potong mengikut sukakata tertentu dan diberikan nombor. Dari situ nombor-nombor ini digabung dan dibunyikan menjadi satu perkataan yang lengkap. Beliau juga telah membangunakan suatu permainan komputer yang menerapkan kaedah ini.

Program ini dihadiri seramai hampir lima puluh (50) orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak sekolah rendah, remaja dan ibu bapa. Program ini sangat menarik dan membuatkan semua peserta  merasa seronok mempelajari kaedah membaca Jawi cara mudah ini.

Bengkel ini yang mengambil masa hampir dua jam, turut mendapat liputan daripada pemberita Utusan Melayu. Pemberita turut menemuramah Penceramah, Pengerusi Surau Al Mujahidin, Ketua Muslimat, beberapa orang AJK Muslimat dan beberapa orang peserta kanak-kanak dan remaja.Berita tentang bengkel ini telah disiarkan di dalam Utusan Melayu Online pada 30 Julai 2018.

Diharapkan dari bengkel ini, ia dapat membantu para peserta dalam membaca tulisan Jawi, Secara tidak langsung akan memartabatkan tulisan Jawi di kalangan generasi muda sekarang ini dan seterusnya di alam Melayu ini. 

















































Isnin, September 03, 2018

Program Qurban & Ziarah Vietnam 2018

Pada tarikh 24/8 -28/8/18, seramai 11 orang wakil dari Surau Al Mujahidin telah bertolak ke Vietnam untuk melakukan ibadah qurban sempena Hari Raya Qurban 1439H. Disamping melakukan ibadah korban, pihak surau juga menyampaikan sumbangan kepada orang ramai iaitu barang keperluan dapur, kain, telekong dan lain2. Rombongan diketuai oleh pengerusi surau iaitu Ust Mohd Sukor Atan. Pihak AJK ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menghulurkan sumbangan. Jazakallah Khair.