Jumaat, Disember 13, 2019

Program 4 M Cuti Sekolah Surau Al Mujahidin (Menjahit)

Kemahiran menjahit adalah suatu kemahiran yang tidak terhad untuk golongan perempuan sahaja. Golongan lelaki juga ramai yang telah menceburi bidang jahitan sebagai salah satu profesion mereka.

Lantaran itu, untuk minggu kedua ini, kami telah mengadakan kelas jahitan buat anak-anak yang menyertai program ini. Kami telah meminta Pn. Zaiton Abd. Mutalib untuk mengajar anak-anak ini jahitan-jahitan yang mudah buat anak-anak

Anak-anak ini telah dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut umur. Ini adalah untuk menentukan apa aktiviti jahitan yang sesuai untuk mereka. Bagi kanak-kanak yang berumur bawah 7 tahun, atas sebab faktor keselamatan dimana mereka tidak pandai menggunakan jarum dan gunting, maka kami mengajar mereka untuk membuat kolaj. Kolaj adalah suatu kraftangan dimana mereka di minta untuk mengoyakkan kecil-kecil kertas warna. Cebisan kertas ini kemudiannya ditampal di gambar yang telah disediakan. Mereka perlu menampal kertas iu mengikut warna yang sesuai dan mengikut kreativiti masing-masing. Penilaian untuk peserta terbaik adalah berdasarkan kepada hasil kerja yang kreatif dan kemas.

Kumpulan kedua adalah untuk mereka yang berumur 8 hingga 12 tahun. Mereka diajar untuk membuat kusyen leher, Kusyen ini telah disiapkan acuannya oleh Pn. Zaiton. Maka para peserta hanya perlu mengisi fiber dan menjahit menggunakan jarum dan benang bahagian yang tidak berjahit. Selepas itu mereka diminta untuk menghias kusyen tersebut dengan butang pelbagai warna.

Kumpukan yang terakhir adalah untuk yang berumur 12 tahun ke atas. Mereka ini mulanya diajar untuk membuat kusyen leher dahulu, barulah pula membuat beg kecil dari banner yang terpakai. Bagi membuat beg ini, mereka perlu menjahit menggunakan mesin heavy duty memandangkan banner itu agak keras materialnya,

Aktiviti kali ini sangat menarik minat anak-anak ini. Mereka nampak teruja untuk mempelajari kemahiran ini.

Semoga kemahiran ini dapat menambahkan minat terhadap bidang jahitan . Ataupun mungkin sekadar menambah kemahiran diri yang berguna untuk kehidupan seharian.














Program 4M Cuti Sekolah Surau Al Mujahidin (Menanam)

Cuti sekolah sudah bermula pada 23 hb. November 2019. Kebiasaannya ibu bapa akan sibuk mencari aktiviti yang sesuai untuk anak-anak mereka ikuti. Ini adalah bagi memastikan anak-anak mereka tidak membuang masa cuti mereka dengan aktiviti yang sia-sia.



Lantaran itu pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin telah merancang dan melaksanakan Program 4 M iaitu - Menanam, Menjahit, Menghafaz dan Memasak. Program ini dirancang untuk membentuk kemahiran-kemahiran yang sesuai diketahui dan diperolehi oleh anak-anak sekarang. ia dibuka kepada kanak-kanak dan remaja berumur 7 hingga 16 tahun




Program ini dilakukan pada hari Isnin, setiap minggu, bermula dari pukul 8.30 pagi. Ianya dimulakan dengan aktiviti menanam pada minggu pertama, menjahit pada minggu kedua, menghafaz pada minggu ketiga dan memasak pada minggu keempat, iaitu minggu terakhir.




Pada minggu pertama, anak-anak ini telah diajar untuk bercucuk tanam. Seramai 38 orang peserta telah hadir dan mereka dibahagikan kepada enam kumpulan. Pengajar yang dijemput adalah Pn. Mahani dari MARDI, Serdang. Beliau telah mengajar para peserta menanam pokok sayur iaitu bayam, bawang merah, ulam-ulaman seperti Ulam Raja dan pokok herba. Kaedah untuk menanam pokok-pokok ini adalah melalui biji benih dan keratan pokok. Kesemua mereka ini diajar menanam pokok-pokok tersebut di dalam tong minyak yang tidak dipakai lagi dan juga tray telur. Para pesera juga diajar cara penyiraman dan penjagaan pokok-pokok tersebut.      




Seterusnya, Pn. Mahani juga telah mengajar kumpulan-kumpulan tadi untuk membuat terrarium sebagai hiasan rumah atau hadiah. Beliau telah menunjukkan langkah demi langkah untuk membuat terrarium ini yang jika dibuat dengan teliti adalah sangat menarik. Setiap kumpulan kemudiannya telah diserahkan satu set bahan-bahan untuk membuat terrarium ini. Ketua kumpulan perlu membuatnya di rumah berserta dengan ahli kumpulan yang lain.




Dari aktiviti menanam ini, anak-anak didapati sangat tertarik dan teruja.Diharapkan mereka semua dapat menyemai minat terhadap pertanian yang boleh dijadikan sumber pendapatan. 










Khamis, Disember 12, 2019

Cyber Run UKM 2019

Kesihatan dan kecergasan adalah antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan seharian kita. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan diri. Antaranya ialah dengan terlibat dengan aktiviti sukan.

Baru-baru ini, pada 23 November 2019 (Sabtu), pihak Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengadakan Cyber Run 2019 di kampus mereka. Sehubungan dengan itu, Unit Remaja AJK Muslimat Surau Al Mujahidin telah mencari peserta dari kalangan remaja dan dewasa Taman Desa Surada untuk menyertai larian ini. Pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin telah menaja sebanyak RM20.00 seorang untuk menyertai program ini. Selebihnya iaitu RM15.00 perlu dibayar oleh setiap peserta.

Seramai hampir 40 orang peserta dari surau ini telah menyertai larian tersebut. Larian ini bermula pada pukul 7.30 pagi dan seawal 8.00 pagi ada yang telah menamatkan larian sejauh 5 km ini.

Setiap peserta yang menamatkan larian, layak mendapat goodies bag, medal dan minuman percuma. Selain daripada itu, mereka mendapat t-shirt yang telah diserahkan sebelum larian berlangsung. Peserta ini juga ada yang bertuah mendapat hadiah cabutan bertuah berdasarkan kepada nombor larian mereka.

Semoga dengan adanya aktiviti begini, ia akan menarik minat warga Surada untuk menyertai aktiviti sukan sebegini.    















Ceramah Santai bersama Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki

Kehidupan seharian adakalanya tidak berjalan seperti yang di rancang. Ianya penuh dengan onak ranjau berduri. Peranan yang pelbagai sebagai pasangan, ibu bapa dan pekerja adakalanya sangat membebankan. Ianya mungkin boleh menimbulkan ketegangan (stress) dalam kehidupan seharian. Jika salah langkah, mungkin kehidupan pasangan atau keluarga atau rakan sekerja atau pencapaian kerjaya akan terjejas.

Lantaran dari itu, pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin telah mengadakan Ceramah Perdana bersama Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki pada 30 hb. Oktober 2019 (Rabu). Ceramah santai yang bertajuk "Senyum....Allah ada" telah diadakan selepas Solat Maghrib di surau kita.

Ustazah Isfadiah , dalam ceramahnya telah memberikan statistik tentang masalah mental di Malaysia, yang bukan sahaja berlaku di kalangan orang dewasa, malahan juga remaja dan kanak-kanak . Ada pelbagai sebab yang menyebabkan berlakunya fenomena ini.  Terlalu terbeban dengan tekanan hidup, kemelut rumahangga, cara gaya keibubapaan yang terlalu longgar/keras, bebanan tanggungjawab (termasuk terhadap anak), meletakkan pengharapan yang terlalu tinggi dan tidak realistik sama ada pada pasangan atau anak dan sebagainya.

Ada pelbagai tips yang diberikan untuk menangani permasalahan ini. Antaranya komunikasi yang berkesan, pembahagian tugas dalam rumahtangga, pencarian ilmu untuk memantapkan diri dalam menghadapi kehidupan yang serba mencabar, mencari ilmu agama agar lebih memahami tanggungjawab dari segi agama dan sebagainya.

Ceramah ini banyak memberi kesedaran kepada ibu bapa terutamanya dalam mengharungi kehidupan seharian. Apapun, kitta perlu ingat, Allah sentiasa ada untuk kita tersenyum kembali. Cabaran dalam kehidupan adalah lumrah. Dunia adalah pentas ujian. Akhirat nanti adalah tempat untuk berehat dan bersenang lenang. Jadi, sabar dan senyum, kerana Allah sentiasa ada.

Ceramah yang hampir satu setengah jam ini sangat menyentuh hati. Semoga ianya memberi manfaat yang berguna buat para jemaah yang hadir pada malam itu.

Program ini diakhiri dengan penyampaian hadiah buat anak-anak yang dipilih berdasarkan komitmen dan kelebihan tertentu yang ditetapkan. Anak-anak ini adalah dari mereka yang menyertai Kelas Bimbingan Kerjarumah di surau ini.

Setelah Solat Isyak, semua hadirin dijemput untuk  menjamu selera dengan Sop Tulang Special yang disediakan.