Khamis, Januari 31, 2019

Kuliah Dhuha Khas Bersama Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa

Pada 5 Januari 2019 yang lepas, telah diadakan suatu Kuliah Dhuha Khas bersama Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa. Kuliah Dhuha, pembuka tirai tahun 2019 ini, merupakan aktiviti anjuran Jawatankuasa Muslimat Surau Al Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, bersama dengan Jawatankuasa Muslimat Surau Al Mujahidin, Taman Desa Surada.

Gabungan usahasama ini bermula hampir dua minggu sebelum majlis ini bermula. Ia melibatkan beberapa siri mesyuarat bersama ahli jawatankuasa yang terlibat dan gotong royong penyediaan tempat ceramah dan jamuan.

Seawal pukul 7.30 pagi, hari Sabtu 5 hb. Januari 2019 itu, para ahli jawatankuasa kedua-dua pihak surau telah bersedia di surau tersebut. Kebanyakan ahli jawatankuasa Muslimat Surau Al Mujahidin bertugas sebagai penyambut tetamu dan penyediaan jamuan untuk para hadirin. Para tetamu mulai menghadirkan diri mulai jam 8.00 pagi. Kedatangan para tetamu amatlah menggalakkan sehingga ada yang terpaksa mendengar dari luar beranda surau sahaja. Tambahan pula Kuliah Dhuha ini dibuka buat Muslimin dan Muslimat.

Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa telah berada di perkarangan surau dalam pukul 9.00 pagi dan beliau telah diiringi ke dalam ruang jamuan VIP sebelum memulakan ceramah beliau pada pukul 9.30 pagi. Ceramah beliau menyentuh tentang mencari keberkatan dalam pembentukan keluarga Muslim.

Sesi ceramah mengambil masa hampir dua jam sebelum disusuli dengan sesi soal jawab. Para hadirin mengambil kesempatan untuk mendapatkan tips dalam membentuk keluarga yang diberkati Allah.

Kuliah Dhuha ini akhirnya tamat hampir pukul 11.30 pagi. Tetamu kehormat di bawa untuk menikmati hidangan Nasi Arab yang disediakan oleh Jawatankuasa Induk Surau Al Amin. Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa "dikawal" serapi mungkin kerana beliau tidak berapa sihat ketika itu. Walau bagaimanapun, beliau tetap meluangkan masa untuk mengambil gambar bersama dengan ahli jawatankuasa yang terlibat dan para hadirin yang berhajat.

Dari program yang dijalankan ini, diharapkan semua hadirin dapat mempelajari sesuatu yang boleh diamalkan dalam membentuk keluarga Muslim yang dibekati Illahi. Keluarga yang diberkati sangat didambakan oleh semua orang berserta dengan harapan akan bersama ke jannah. Dalam masa yang sama, semoga juga akan ada ruang untuk kedua-dua pihak iaitu Surau Al Amin dan Surau Al Mujahidin  untuk bergabung dan  berkerjasama dalam program-program lain di masa akan datang. Insya Allah.















Kursus Pengurusan Jenazah Muslimat (Dewasa)

Pengurusan Jenazah merupakan suatu fardhu kifayah buat kita semua umat Islam. Tetapi tuntutan untuk mempelajarinya merupakan suatu yang wajib bagi semua orang Islam, Muslimin dan Muslimat. Lantaran itu, Ahli Jawatankuasa Muslimat Surau Al Mujahidin telah berusaha untuk mengadakan kursus pengurusan jenazah ini khas buat Muslimat Taman Desa Surada.

Program ini telah diadakan pada 13 Januari 2019 (Ahad) bertempat di Ruang Solat Surau Al Mujahidin. Program ini disertai hampir 40 orang Muslimat dengan dikenakan bayaran sebanyak RM30.00 bagi buku panduan pengurusan jenazah dan kudapan.

Program yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini adalah di bawah bimbingan Ustazah Junaidah Awang (Ustazah June) yang sangat berpengalaman dalam menguruskan jenazah, Ia dimulakan dengan teori pengurusan jenazah itu dari segi hukum, keperluan bersuci, apa yang perlu dilakukan apabila berlaku kematian dan perkongsian pengalaman beliau menguruskan jenazah.

Selepas berhenti rehat pada pukul 10.00 pagi, para peserta telah diajar secara praktikal di mana beberapa orang peserta telah diminta untuk menjadi model dan pembantu beliau dalam menguruskan jenazah.  Ia dimulakan dengan cara untuk memastikan kematian jenazah, menyediakan jenazah untuk dimandikan, memandikan jenazah dan mengkafankan jenazah.

Selepas itu, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu satu kumpulan untuk membuat persediaan awal setelah berlaku kematian dan satu kumpulan lagi untuk mengkafankan jenazah. Praktikal oleh peserta untuk memandikan jenazah tidak dapat dilakukan kerana kami kesuntukan masa. Lantaran itu, kami terus diajar oleh Ustazah June untuk melaklukan Solat Jenazah. Seorang peserta telah dilantik untuk menjadi imam bagi solat tersebut dan peserta lain menjadi makmumnya.  

Program ini berakhir tepat pada pukul 1.00 petang dengan setiap peserta diserahkan sijil penyertaan masing-masing, Diharapkan program ini dapat menambahkan ilmu kepada para peserta dalam menjalankan fardhu kifayah masing-masing.