Sabtu, April 04, 2009

Hari Jumaat

Posted by Surau al-Mujahidin on Sabtu, April 04, 2009 in | No comments
Firman Allah SWT dalam Surah al-Juma’at: 9

Maksudnya: 9. Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan shalat Jum'at, Maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli[1475]. yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu Mengetahui.

[1475] Maksudnya: apabila imam Telah naik mimbar dan muazzin Telah azan di hari Jum'at, Maka kaum muslimin wajib bersegera memenuhi panggilan muazzin itu dan meninggalakan semua pekerjaannya.

Menunaikan solat Jumaat merupakan suatu tuntutan wajib bagi setiap muslim yang mukallaf. Tiada pengecualian diberikan dari meninggalkannya. Bahkan terdapat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja selama tiga kali ianya akan menjadi kafir.

Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor menetapkan sesiapa yang tidak menunaikan solat Juma’at jika sabit dengan kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM 1,000.00 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Hari Juma’at merupakan hari yang mulia, ianya merupakan penghulu segala hari. Maksud dari hadith rasulullah SAW menjelaskan; penghulu hari ialah hari Juma’at. Hari Juma’at merupakan hari yang paling mulia di sisi Allah SWT dan Rasulullah SAW. Kemuliaan hari Juma’at turut dapat dilihat berdasarkan beberapa saranan antaranya galakan beriktikaf pada hari Juma’at kerana terdapat waktu istijabah doa pada hari tersebut.

Dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda; barangsiapa yang datang ke masjid selepas selesai mandi junub pada waktu pertama akan dianugerahkan pahala umpama mengorbankan seekor unta. Barangsiapa yang datang pada waktu kedua akan akan diberi ganjaran umpama seekor lembu, waktu ketiga seekor kibas, waktu keempat umpama ibu ayam dan waktu kelima diibaratkan ganjaran pahala sebesar telur. Manakala tatkala imam naik ke mimbar dan bersedia berkhutbah, para malaikat telah mengambil tempat untuk mendengar khutbah.

Kebesaran hari Juma’at tidak dapat dinafikan. Sehinggakan di dalam riwayat lain menyatakan sesiapa yang mati pada hari Juma’at akan dilepaskan dari seksaan kubur pada hari tersebut. Justeru marilah kita mengambil kesempatan mengutamakan hari Juma’at melebihi dari hari-hari lain dan seelok-eloknya jadikanlah hari Juma’at sebagai hari cuti mingguan bagi kita.

Khutbah Jumaat al-Fadhil Imam Mohamad Shukor Atan 3 April 2009

0 ulasan:

Catat Ulasan