Sabtu, Mei 18, 2019

Program Tadarus dan Khatam Perdana Halaqah AlQuran Muslimat

Baru-baru ini, Surau AlMujahidin telah terpilih sekali lagi sebagai tuan rumah untuk Program Tadarus dan Khatam Perdana (PTKP) anjuran Halaqah Al Quran Muslimat, Bandar Baru Bangi. Program ini merupakan program bulanan di mana masjid atau surau yang berminat, akan menjadi tuan rumah untuk program ini, yang dijalankan setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Pada 4 Mei 2019, bersamaan 29 Syaaban 1440H, program ini  dilaksanakan, bermula pada pukul 12.30 tengahari sehingga waktu Asar. Sebanyak dua puluh lapan masjid atau surau sekitar Bandar Baru Bangi telah menyertai program ini. Dari segi bilangan peserta pula, seramai seratus sembilan puluh tiga orang, tela menyertai program Khatam Perdana ini.

Program ini dimulakan dengan pendaftaran peserta dan pembahagian juzuk mengikut kumpulan. Majlis secara formalnya bermula pada pukul 2.00 petang dengan dimulai oleh ucapan alu-aluan oleh Ketua Muslimat Surau Al Mujahidin, bacaan doa pembukaan oleh Ustazah Masrahha Adnan dan penyerahan Banner untuk Majlis PTKP kepada Surau Al Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, yang akan menjadi tuan rumah pada bulan berikutnya. Dalam kesempatan yang sama, diadakan juga penyerahan sumbangan kepada wakil Kompleks Pendidikan Islam Bandar Baru Bangi dan wakil Yayasan Amal Malaysia bagi Tabung Musibah Palu, Indonesia.

Selepas itu bacaan tadarus Al Quran dimulakan dan tamat pada pukul 3.30 petang dan ditutup dengan bacaan doa Khatam Al Quran oleh Ustazah Saudah Ishak. Majlis seterusnya diteruskan dengan penyampaian tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Nushi Dato Mahfodz. Tazkirah beliau yang bertajuk "Ku Mengharapkan Ramadan Kali Ini Lebih Makna" banyak menyentuh tentang persediaan dan cara-cara melalui bulan Ramadan, agar kita dapat menambahbaikkan amal ibadah kita kali ini.

Semoga melalui program ini, diharapkan semua peserta dapat lebih menghayati bulan Ramadan dan Al  Quran dalam kehidupan seharian mereka.