Posted by Surau al-Mujahidin on Khamis, April 02, 2009 in kuliah | No comments
Rasulullah SAW merupakan ikutan bagi seluruh makhluk di dunia ini. Bukan setakat makhluk yang bergelar manusia, makhluk-makhluk lain meliputi binatang, tumbuhan dan benda-benda persekitaran turut mengakui Rasulullah sebagai utusa Allah SWT. Hal ini dapat disaksikan berpandu mukjizat yang diberi kepada Rasulullah SAW terutamanya yang bersifat hissiyyah (dapat dilihat).
Antara mukjizat hissiyyah yang pernah berlaku adalah seperti berikut:
i. Rasulullah SAW pernah membelah bulan. Hal ini disaksikan golongan beriman dan musyrikin di Mekah semasa era dakwah Rasulullah SAW di sana. Di zaman mutakhir ini pembuktian tentang pembelahan bulan ini disahkan NASA yang meninjau keadaan bulan dan mendapati terdapat garisan pada bulan yang memberi maksud suatu masa dahulu bulan pernah terbelah dan tercantum semula.
ii. Makanan yang sedikit boleh mengenyangkan ramai orang. Kisahnya berlaku ketika para sahabat (golongan ahli suffah) yang berada di masjid dalam keadaan kelaparan. Pada kebiasaannya golongan sahabat ini akan dirai dan diberi makan oleh sahabat yang lain yang mempunyai bekalan makanan. Namun pada hari tersebut tiada seorang sahabat pun yang mempelawa golongan ahli suffah tersebut untuk menjamu selera di rumah mereka. Rasulullah SAW melihat keadaan mereka yang kelaparan dan tiada sahabat lain yang mempelawa. Lantas Rasulullah SAW mempelawa kesemua sahabat ahli suffah tersebut yang dikatakan sejumlah sekitar 30 hingga 50 orang ke rumah.
Di rumah Rasulullah SAW hanya mempunyai semangkuk susu yang dihadiahkan kepadanya. Rasulullah SAW mengambil susu tersebut dan mendoakan kapada Allah SWT, kemudian menugaskan Abu Hurairah membahagikan kepada para sahabat yang kelaparan. Terdetik dalam hati Abu Hurairah adakah cukup semangkuk susu untuk para sahabat yang ramai ini. Namun Abu Hurairah tetap menjalankan tugas yang disuruh Rasulullah SAW. Setelah selesai semua sahabat minum susu tersebut, tiba giliran Abu Hurairah meminumnya dan ternyata susu tersebut cukup diminum sahabat yang ramai walaupun sedikit.
iii. Batu memberi salam kepada Rasulullah.
iv. Batang tamar kering menangis teresak-esak.
v. Air terpancar dari jari Rasulullah SAW.
vi. Kambing mengucap syahadah ketika dilapah dan dibakar.
vii. Kambing Ummu Ma’bad mengeluarkan susu yang banyak ketika Rasulullah SAW memegang labu susunya.
viii. Kejadian Abu Jahal yang tidak dapat menghentakkan kepala Rasulullah SAW dengan batu walau telah mengangkat dan menghalakan kepada Rasulullah SAW.
ix. Awan melindungi Rasulullah SAW ketika dalam perjalanan menghala ke Syam.
x. Pengkhabaran Rasulullah SAW terhadap perkara yang bakal berlaku iaitu kekalahan Kerajaan Rom kepada Kerajaan Parsi.
xi. Setiap apa yang Rasulullah doakan adalah mustajab.
xii. Ma’sum (terpelihara) dari terbunuh dalam medan peperangan.
Walau sekian banyak mukjizat yang dinyatakan di atas, hakikatnya jika tiada mukjizat sekalipun sudah boleh menjinakkan hati setiap manusia apabila melihat keperibadian Rasulullah SAW yang mulia dan terpuji.
Kuliah Maghrib Prof Madya Ustaz Kamaruddin Salleh 1 April 2009
0 ulasan:
Catat Ulasan