Ahad, April 28, 2019

GOTONG ROYONG PERDANA 2019


Tarikh : 27/4/2019
Hari : Sabtu
Masa : 8.00 pagi

Alhamdulillah dan ucapan jutaan terima kasih kepada semua ahli kariah surau yang sudi turun bersama-sama menjayakan gotong royong perdana sempena menyambut Ramadhan 1440H.












Isnin, April 15, 2019

Bengkel Smart Solat Muslimat

Pada 31 Mac 2019 (Ahad), telah diadakan program khas untuk Muslimat iaitu, Bengkel Smart Solat di Ruang Solat, Surau Al Mujahidin. Program ini adalah dibawah kelolaan Unit Tarbiyah Muslimat dan disampaikan oleh Ustazah Radhiah.

Seramai hampir lima puluh orang peserta wanita dari kariah taman ini, telah menyertai bengkel ini. Bengkel ini menggunakan buku "Mari Mendirikan Solat", susunan Dr. Hasnan Kasan.

Ustazah Radhiah menerangkan bahawa rukun dalam solat terbahagi kepada rukun qauli, rukun fi"li dan rukun qalbi. Begitu juga perkara sunat dalam solat yang terdiri daripada sunat hai'ah dan sunat ab'ad. Beliau telah menunjukkan dengan terperinci, bagaimana sesuatu lafaz itu perlu diucapkan, bila ia perlu diucapkan dan pergerakan tubuh badan bagi setiap rukun yang terlibat.

Ustazah Radhiah juga menekankan tentang kesilapan-kesilapan yang sering para Muslimat lakukan ketika bersolat. Beliau telah menunjukkan dengan jelas dan terperinci bagi setiap rukun-rukun solat yang ada serta perkara-perkara sunat dalam solat.

Sesi yang bermula pada pukul 9.30 pagi ini, berakhir pada pukul 11.30 pagi dan di tutupi dengan jamuan ringan yang disediakan. Diharapkan dengan bengkel yang singkat ini, para Muslimat dapat memperbaiki kekurangan solat masing-masing, Walau bagaimanapun, jika ada kelapangan, bengkel ini akan diteruskan lagi buat siri yang berikutnya.







Program X-Plorace Berinteraksi Dengan Surah AlKahfi

Pada 28 Mac 2019 (Khamis) telah di adakan program untuk remaja yang bertajuk X-Plorace Berinteraksi Dengan Surah AlKahfi. Program ini khas untuk remaja berusia 13 hingga 17 tahun, Program ini adalah dibawah kendalian Akademi Sinergi yang berobjektifkan mendekatkan remaja dengan AlQuran.

Program yang disertai oleh seramai tiga puluh sembilan orang peserta remaja lelaki dan perempuan, dimulakan pada pukul 9.00 pagi di Surau Al Mujahidin. Pengendalian program adalah berasingan di mana rremaja lelaki dan perempuan diasingkan. Fasilitator terdiri daripada empat orang lelaki dan tiga orang perempuan. Ia diketuai oleh Saudara Hifdzi Zaim yang merupakan "coach" utama program ini.

Bagi slot pagi, para peserta di dedahkan dengan kepentingan Al Quran dalam kehidupan manusia, bagaimana mahu menterjemahkan Al Quran dalam kehidupan seharian, Surah Al Kahfi dan pengajaran yang boleh didapati daripadanya, ibrah dari pengalaman Nabi Musa bersama Nabi Khidir.

Sesi pagi berhenti rehat pada pukul 12.00 tengahari untuk menikmati jamuan tengahari dan rehat sebentar sebelum solat Zuhor. Selepas itu sesi disambung untuk slot seterusnya.

Semua peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang diketuai oleh seorang fasilitator. Mereka diberikan tugasan tertentu dan diminta untuk mencari jawapannya dalam masa yang ditetapkan. Jawapan yang dicari adalah daripada kisah-kisah di dalam. AlQuran. Setelah selesai, diadakan suatu perbincangan dan kesimpulan daripada aktiviti yang telah dilakukan.

Program ini berakhir pada pukul 4.00 petang dan peserta bersurai setelah menikmati minuman petang yang disediakan oleh urusetia program.   Diharapkan daripada program ini, para peserta dapat mendekatkan diri lagi dengan Al Quran, yang boleh dijadikan panduan di dalam kehidupan seharian masing-masing. 












Sabtu, April 06, 2019

SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ 2019 / 1440H

Alhamdulillah pada tahun ini pihak surau berjaya menganjurkan hari sambutan sempena peristiwa Israk wal Mikraj pada ketetapan dibawah;

Tarikh : 6/4/2019
Hari : Sabtu
Masa : Lps Maghrib
Penceramah jemputan : Ust Mohamad Shazwan Zakaria bin Ridhwan Silvadorey aka Dai Shazwan

Biodata penceramah;
-Pemegang Ijazah Sarjana Muda Al Quran Dengan Multimedia (USIM)
-Finalis Dai Musim Pertama 2012/13
-Pemilik suara azan TV3
-Penulis buku motivasi agama

Alhamdulillah dan terima kasih kepada penderma yang telah menyumbang seekor lembu utk dijadikan sajian pada majlis ini. Aktiviti memasak secara bergotong royong sesama kariah surau. Terima kasih pd semua yg terlibat.

Berikut sedikit gambar utk dikongsikan bersama. JZKK












Abg 'chai' power



Perasmian program JOM KE SURAU




sampai licik.. terbaik masakan chef 


Pembukaan dengan Selawat

Rabu, April 03, 2019

Ceramah Pengurusan Harta Pusaka


Pada 24 Februari 2019, pihak Jawatankuasa Muslimat Surau AL Mujahidin, Taman Desa Surada, telah menjayakan program ceramah bertajuk Pengurusan Harta Pusaka yang diadakan di Surau Al Mujahidin. Ceramah disampaikan oleh Puan Kamariah Dzafrun binti Kamarul Baharin dari Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan yang merupakan salah satu  agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang bertanggungjawab untuk menguruskan permohonan harta pusaka kecil di Malaysia.  
Objektif program ini adalah untuk memberi pengetahuan berkenaan dengan pengurusan harta pusaka kecil dan prosedur membuat permohonan pembahagian harta pusaka.  Program percuma ini terbuka kepada orang ramai khususnya penduduk Taman Desa Surada dan kawasan perumahan disekelilingnya.  
Pendaftaran bermula pada jam 8.30 pagi. Para peserta berpeluang menikmati sedikit sarapan ringkas yang disediakan oleh pihak jawatankuasa surau sebelum majlis bermula. Pamplet berkenaan dengan pengurusan harta pusaka kecil dan permohonan melalui online diedarkan kepada setiap peserta.  Pengerusi majlis pada hari tersebut ialah Cikgu Hasnah Omar dan majlis dirasmikan oleh Dr. Azman yang merupakan Setiausaha Pengurusan Surau Al Mujahidin.
Secara ringkasnya, terdapat EMPAT saluran penting untuk membuat tuntuan harta pusaka iaitu:
  1. Mahkamah Tinggi
  2. Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian
  3. Amanah Raya Berhad
  4. Jabatan atau agensi yang berkaitan dengan harta berkaitan.  
Harta terbahagi kepada dua iaitu harta tidak alih , seperti tanah, rumah, bangunan kedai dan sebagainya. Satu lagi adalah harta alih yang terdiri daripada simpanan wang, saham atau kenderaan Sekiranya nilai keseluruhan harta (harta alih dan tidak alih) melebihi RM 2 juta, maka tuntutan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi .Sekiranya harta alih dan tidak alih bernilai tidak melebihi RM 2 juta, tuntutan boleh dilakukan di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.  Selain itu beliau turut menekankan sekiranya harta tak alih melebihi nilai RM 600 ribu, maka  tuntutan boleh dibuat di Amanah Raya Berhad dan selebihnya di jabatan atau agensi yang terlibat seperti KWSP, ASB dan sebagainya.
Sepanjang sesi ceramah, peserta diberikan penerangan tentang pembahagian harta pusaka bagi orang Islam dan juga cara-cara pembahagian harta melalui faraid.  Cara-cara untuk membuat permohonan pembahagian pusaka turut diterangkan secara terperinci termasuk pembahagian harta pusaka untuk orang bukan Islam.
Peserta yang hadir memberikan sambutan yang menggalakkan terhadap majlis ini.  Buktinya, pelbagai soalan menarik dengan rancaknya diajukan oleh para peserta kepada penceramah semasa program sedang berlangsung dan semasa sesi soal jawab. Melalui sambutan ini, pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin amat berharap agar masyarakat mampu memupuk kesedaran tentang pentingnya membuat permohonan harta pusaka dan memahami prosedur permohonan pembahagian harta pusaka.  Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman web www.jkptg.gov.my





Pendaftaran peserta serta sarapan pagi beserta jualan amal untuk Tabung Pembangunan Surau Al Mujahidin




Pengacaraan majlis dan ucapan pembukaan oleh Dr. Azman , setiausaha Surau Al Mujahidin

Ceramah pengurusan Harta Pusaka oleh Puan Kamariah Dzafrun dari Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan


Penyampaian cenderahati oleh pengerusi surau al Mujahidin, Tuan Hj Shukor Atan dan gambar kenangan sebelum majlis bersurai