Posted by Surau al-Mujahidin on Isnin, April 06, 2009 in ceramah | No comments
Sedar mahupun tidak kita semakin ke hadapan, banyak perkara yang perlu ditempuhi. Namun kadang-kadang kita lupa ke mana arah tuju yang sebenarnya. Kita sebenarnya lupa dan alpa dengan dunia kita sendiri. Hanya Islam yang mampu menyelamatkan kita di dunia ini mahupun di akhirat kelak.
Michael Jackson, seorang penyanyi terkenal dunia dikatakan telah memeluk Islam. Berita tersebut benar atau tidak tidak dapat dipastikan, hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui. Pengislaman Michael Jackson ada yang mengaitkannya setelah berlakunya zaman kejatuhan beliau dan ada juga yang mengatakan beliau dalam keadaan yang tidak stabil hingga tidak boleh melelapkan mata. Bahkan ada yang mengatakan beliau terpaksa tidur dalam alat khas barulah dapat melelapkan mata. Dari itu dia cuba mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya dengan memeluk Islam. Untuk itu kita yang sudah lama berada di dalam Islam perlu bersyukur dengan nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Tidak perlu tinggal dalam alat khas untuk tidur, memadai dengan menghadiri kuliah-kuliah di masjid dan duduk di penjuru tiang, pasti akan lena.
Usahkan majlis ilmu seperti kuliah maghrib, khutbah yang diperdengarkan khatib setiap hari Juma’at pun menjadi alat mengulit kita tidur. Tidak cukup dengan itu, khatib pula lebih gemar membaca khutbah dari berkhutbah, itulah antara penyebab utama makmum yang dengar khutbah terus lena. Sedangkan sunnah Rasulullah SAW apabila berkhutbah tangan kiri memegang pedang atau tongkat dan tangan kanan memegang bahagian ‘kanan mimbar’. Akibat dari amalan membaca khutbah sunnah ini tidak dapat dilaksanakan sebab tangan memegang teks khutbah.
Apabila berada dalam masjid hendaklah berada dengan penuh beradab. Ini kerana masjid adalah Rumah Allah SWT, mana mungkin kita samakan rumah kita dengan Rumah Allah SWT. Oleh itu duduklah dengan penuh tertib dan sebaik-baik duduk bagi menuntut ilmu adalah duduk iftirash iaitu duduk seperti duduk tahyiat pertama. Rasulullah SAW mengambil wahyu dari malaikat Jibril secara berdepan dan bersentuhan lutut antara keduanya. Keadaan duduknya adalah duduk iftirash. Namun kita usahkan duduk iftirash, tetapi jika boleh semua yang hadir di masjid ingin mencari tiang atau dinding untuk menyandar.
Diberitakan seorang tabi’in Said bin Musaiyad selama 40 tahun datang ke masjid sebelum takbir al-uula dan sebelum masuk waktu solat fardhu. Berbeza dengan kita pada hari ini, selagi tidak kedengaran azan selagi itu tidak pergi ke masjid bahkan ada tidak pergi langsung ke masjid walau dengar dengan jelas azan dilaungkan.
Seorang ulama’ silam bertembung dengan khalifah yang mengagungkan ulama’. Semasa berada di dalam masjid khalifah datang bertemu ulamak tersebut dan memberikan hadiah kebendaan kepadanya. Ulamak tersebut menolak dengan mengatakan dia malu untuk menerima habuan dunia di tempat yang mulia ini. Maka beredarlah khalifah tersebut dan menunggu ulamak tersebut di luar masjid. Tatkala ulama’ tersebut keluar masjid, khalifah mengejar ulama’ tadi dan mengulangi sekali lagi hajatnya untuk memberi hadiah kepada ulama’ tersebut. Lantas ulama’ tersebut menjawab, jika di dalam masjid tempat yang paling mulia aku malu untuk menerima habuan dunia dari makhluk inikan pula di luar masjid. Maka berlalulah khalifah tersebut tanpa dapat memberikan apa-apa kepada ulama’ tersebut.
Ibn Abbas RA mengatakan tiga sebab manusia lupa dan asyik kepada dunia iaitu habuan dunia, hawa nafsu dan syaitan. Hadith Rasulullah SAW menjelaskan ; “dunia merupakan tempat untuk bercucuk tanam bagi akhirat”. Oleh itu hendaklah kita sentiasa mengutamakan akhirat berbanding dunia yang sementara ini.
Selain itu banyak lagi perkara lain yang mesti kita perhatikan dan ubahnya agar selaras dengan al-Quran dan sunnah. Ianya meliputi aurat terutamanya aurat anak perempuan dan isteri. Rasulullah SAW semasa mi’raj melihat di dalam syurga ramai di kalangan fakir miskin dan di dalam neraka ramai dari golongan perempuan.
Sama-sama kita kita berusaha menjalankan perkara sunnah walau kecil. Suatu ketika seorang sahabat yang miskin mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa dia miskin. Rasulullah SAW mengajarkan kepadanya apabila pulang ke rumah amalkan memberi salam dan membaca sekali surah al-Ikhlas jika ada orang dalam rumah tersebut. Manakala jika tidak ada orang di dalamnya, hendaklah memberi salam disusuli dengan solawat ke atas Rasulullah SAW dan bacaan surah al-Ikhlas. Insya Allah rezeki semua penghuni dalam rumah tersebut dimurahi.
Ceramah Bulanan Ustaz Kushairi 4 April 2009
0 ulasan:
Catat Ulasan