Posted by Surau al-Mujahidin on Sabtu, Mei 23, 2009 in kuliah | No comments
Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk yang bermaksud:
12. Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
13. Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
14. Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!
15. Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).
16. Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: Menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?
17. Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: Menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?
18. Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.
19. Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Bermula dari ayat 12 hingga 14 boleh disimpulkan sebagaimana hadith Nabi Muhammad SAW yang menjelaskan tentang tujuh golongan yang mendapat teduhan ‘arash Allah SWT tatkala di hari perhitungan kelak. Antaranya ialah seorang lelaki yang diajak melakukan zina dengan perempuan cantik dan berkedudukan, namun lelaki tersebut menolak ajakan tersebut dengan mengatakan إني أخاف الله “sesungguhnya aku takut akan Allah”. Ungkapan ini tidak akan dapat dituturkan jika lelaki tersebut tidak mengikut apa yang diperintahkan Allah SWT dalam kehidupannya. Hakikatnya manusia lebih cenderung mengikut hawa nafsu dan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Perkara seterusnya adalah berdasarkan ayat ke-15 berkaitan rezeki yang dikurniakan Allah SWT. Rasulullah SAW pernah ditanya sahabat tentang apakah amalan yang terbaik? Rasulullah SAW menjawab amalan yang terbaik adalah memberi makan orang yang memerlukan dan mengucapkan salam kepada orang yang dijumpai sama ada dikenali mahupun tidak. Justeru memberi sedekah adalah merupakan antara amalan terbaik di sisi Allah SWT. Namun harus diingatkan dalam konteks sedekah hendaklah dilakukan secara ‘tangan kanan memberi dan tangan kiri tidak mengetahuinya’.
Ayat 16 hingga 19 pula memberi peringatan kepada umat manusia adakah kita merasa aman dan selesa dengan kehidupan yang dikecapi kini. Padahal kehidupan yang dinikmati sekarang adalah atas belas الرحمان dan الرحيم Allah SWT semata-mata. Jika tiada kedua-dua perkara ini, pasti manusia tidak akan dihidupkan di dunia ini. Perlu diambil iktibar hendaklah melakukan sebanya mungkin amalan yang diterima Allah SWT. Jika sebanyak mana pun amalan yang dilakukan tetapi tidak diterima Allah SWT tidak ada apa maknanya. Ingatlah segalanya hanya dari Allah SWT.
Kuliah Subuh Ustaz Hasbullah 23 Mei 2009
0 ulasan:
Catat Ulasan