Posted by Surau al-Mujahidin on Sabtu, Mei 23, 2009 in kuliah | No comments
Kedengaran kepada kita tentang ada orang non-muslim yang membaca al-Quran. Di sana terdapat pandangan yang menyokong dan membantah tentang perlakuan non-muslim tersebut yang membaca al-Quran. Imam al-Syafie pernah menyatakan bahawa beliau akan menang berhujah dengan golongan ulama’ cerdik pandai, tetapi akan kalah apabila berhujah dengan orang yang jahil. Dari itu di sini dinyatakan pandangan tentang non-muslim membaca al-Quran.
Bagi pendapat yang berhujah menentang non-muslim dari membaca al-Quran ianya bersandarkan kepada larangan bagi orang yang berhadas besar membaca al-Quran. Jika orang Islam yang berhadas besar tidak dibenarkan membaca al-Quran inikan pula non-muslim yang pasti tidak pernah mandi junub.
Seterusnya larangan bagi non-muslim membaca al-Quran dan menafsir al-Quran adalah disebabkan beberapa perkara antaranya:
a. Adalah amat tidak wajar seseorang Islam menerima tafsiran dari non-muslim kerana memberi gambaran sudah tiada lagi orang Islam yang layak untuk memberi tafsiran al-Quran.
b. Adalah amat bersalahan jika dibiarkan non-muslim membaca dan mentafsir al-Quran bagi tujuan menyeleweng dan merendahkan al-Quran serta menghinanya.
Namun demikian bagi yang berpegang dibenarkan non-muslim membaca al-Quran adalah diambil pengejaran dari beberapa perkara. Antaranya adalah seperti berikut:
a. Dibenarkan non-muslim membaca dengan tujuan supaya mereka dapat mencari kebenaran dari al-Quran. Bagaimana mungkin ingin mencari kebenaran jika membacanya pun tidak boleh.
b. Di dalam Islam, non-muslim tidak terlibat dengan hukum sama ada haram, makruh, harus, sunat mahupun wajib. Segala macam hukum adalah disandarkan kepada orang Islam bukannya non-muslim.
Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah hanya aliran Hambali yang mengharamkan non-muslim membaca al-Quran. Aliran lain yang terdiri Syafie, Maliki dan Hanafi semuanya mengharuskan non-muslim membaca al-Quran atas dasar mencari kebenaran.
Justeru sama-sama kita memahami perkara ini atas dasar ilmu bukannya berdasarkan kepentingan politik. Bahkan yang sepatutnya kita tentang ialah golongan Islam yang membaca al-Quran dengan betul dan fasih tetapi tidak mahu melaksanakan apa yang telah ditentukan al-Quran. Alasan yang diberikan adalah pelbagai, perkara ini yang sepatutnya menjadi topik lebih utama berbanding isu non-muslim membaca al-Quran.
Kuliah Maghrib Ustaz al-Kauthar 17 Mei 2009
0 ulasan:
Catat Ulasan