Posted by Surau al-Mujahidin on Jumaat, Mei 08, 2009 in khutbah | No comments
Rasulullah SAW berpesan kepada Abu Dzar al-Ghifari “Wahai Abu Dzar, Aku berpesan kepadamu bertaqwalah kepada Allah SWT kerana taqwa adalah kepala segala urusan”. Pesanan Rasulullah SAW amat penting bukan sahaja kepada sahabat bahkan kepada kita umatnya di akhir zaman ini. Melalui taqwa segala urusan, perbuatan dan perkara yang dilaksanakan akan peroleh kebaikan di dunia dan akhirat.
Taqwa melahirkan muslim yang sejati, menjadikan suami yang sentiasa menasihati isteri, melahirkan jiran yang saling hormat menghormati, melahirkan pegawai yang berintegriti tinggi dan melahirkan pemimpin yang menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat untuk kehidupan di dunia dan membawa keredhaan di akhirat.
Taqwa merupakan gambaran asas fitrah manusia. Tiada satu amalan, penghayatan dan perbuatan Islam bercanggah dengan fitrah manusia. Hakikatnya Islamlah merupakan fitrah bagi manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ”setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah”. Tidak mengira sama ada yang dilahirkan Melayu, Cina, India atau lain-lain bangsa ianya tetap dilahirkan dalam keadaan fitrah.
Fitrah pasti tidak akan menolak kebenaran Islam. Hanya mereka yang menyimpang dari fitrah yang akan menolak Islam. Justeru mengapa kita melenting apabila ada di kalangan non-muslim yang membaca al-Quran? Mengapa ada yang marah apabila ada non muslim yang menerima al-Quran? Sepatutnya perlu dimarahi bagi orang Islam yang tidak membaca al-Quran bahkan lebih lagio bagi mereka yang menolak al-Quran. Pernah suatu ketikaParlimen Britain yang bersidang kira-kira dua tahun yang lalu membincangkan tentang menggunakan undang-undang al-Quran.
Akibat dari meninggalkan Islam dan al-Quran wujudnya pelbagai krisis termasuk krisis ekonomi. Jika nilai fitrah ditegakkan pasti akan selamat dari pelbagai krisis yang melanda. Rasuah dapat dibendung dan dicegah sepenuhnya.
Sistem pendidikan yang ada kini turut terpesong dari tuntutan fitrah. Pendidikan yang lebih mementingkan nilai akademik, tidak mementingkan nilai agama akan menghasilkan masyarakat robotik. Penghormatan kepada ibu bapa, guru dan masyarakat sudah tiada. Lebih terkesan apabila gagal melahirkan manusia berilmu, beriman dan berakhlak.
Di sudut politik menjadi semakin membarah, melahirkan tokoh yang berprinsipkan matlamat menghalalkan cara, mensyirikkan Allah SWT dengan menggunakan bomoh bagi mendapatkan kuasa dan tindakan yang dilaksanakan tidak ada lagi nilai-nilai kemanusiaan.
Apakah nilai fitrah telah runtuh? Sedangkan Allah SWT berfirman dalam surah al-Rum: 30 ;
فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا
Maksudnya:agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya
dan surah Ali Imran: 110كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ
Maksudnya: Kamu (wahai umah Muhammad) sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)
Khutbah Jumaat Dr Badrulamin 8 Mei 2009
Khutbah Jumaat Dr Badrulamin 8 Mei 2009
0 ulasan:
Catat Ulasan