Isnin, Januari 03, 2022

Kutipan Banjir terkini meningkat ke RM16,850 buat Mangsa di Selangor dan Pahang.

Posted by Ketua Muslimat Sesi 2020-2022 on Isnin, Januari 03, 2022 in | No comments

Ahad 2 Jan 2022.     Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah perasaan sekumpulan sukarelawan dari Qariah Surau Al Mujahidin yang diketuai oleh Naib Pengerusi, Hj Mat Man apabila menjejaki  kawasan banjir di sekitar Kampung Sg Lui, Hulu Langat. Sebelum bergelut dengan lumpur kesan peninggalan banjir lalu, para sukarelawan Surau Al Mujahiddin perlu melepasi ujian swab COVID19 dengan keputusan negatif terlebih dahulu. Inisiatif ini dijalankan oleh KKM bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID19 yang dibawa oleh sukarelawan kepada masyarakat setempat. 

    Selut hitam yang menebal pada permukaan bumi Kampung Sg Lui lalu, kini ia telah semakin menipis apabila beberapa kali melakukan proses pembersihan hasil daripada muafakat membawa berkat. Peristiwa banjir yang ngeri dijadikan sebagai sempadan malah meniupkan semangat baru untuk terus menyemarakkan syiar Islam di sekitar tersebut.   Pihak AJK Surau turut mengambil kesempatan untuk menyerahkan sumbangan alatan PA System kepada Setiausaha Masjid Al Ehsan. Sebelum ini AJK Surau telah menyerahkan melalui transaksi bank sebanyak RM2000 kepada akaun masjid tersebut. Ia merupakan sebahagian dari jumlah kutipan banjir sebanyak RM16,850 sehingga 2 Januari 2022. Syabas dan sekalung penghargaan diucapkan kepada dermawan Surau Al Mujahidin oleh pihak AJK surau dan mangsa banjir sekitar Selangor dan Pahang. Jika ada dermawan lain yang ingin menyumbang, bolehlah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Hj Mat Man, Timbalan Pengerusi atau  Dr Sabri, Setiausaha Surau Al Mujahidin. 

     Jumlah kutipan sehingga 2 Jan 2022 ialah RM16850 dengan agihan seperti berikut:

Perbelanjaan:

Selangor : RM8000

Pahang : RM8050

Peralatan : RM800




Semoga usaha murni ini akan diberkati Allah serta dapat meningkatkan silaturrahim Qariah Surau Al Mujahidin dengan penduduk luar Bangi. Sila saksikan misi kembara banjir Surau Al Mujahidin yang akan datang ke Negeri Pahang. Bagi mereka yang ingin menderma baju terpakai yang masih dalam keadaan baik, mohon serahkan kepada Pn Norizan No 7 Jalan 8 sebelum 4 Januari 2022 nanti. 



0 ulasan:

Catat Ulasan