Rabu, April 03, 2019

Ceramah Pengurusan Harta Pusaka

Posted by Norhayati Sulaiman on Rabu, April 03, 2019 | No comments

Pada 24 Februari 2019, pihak Jawatankuasa Muslimat Surau AL Mujahidin, Taman Desa Surada, telah menjayakan program ceramah bertajuk Pengurusan Harta Pusaka yang diadakan di Surau Al Mujahidin. Ceramah disampaikan oleh Puan Kamariah Dzafrun binti Kamarul Baharin dari Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan yang merupakan salah satu  agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang bertanggungjawab untuk menguruskan permohonan harta pusaka kecil di Malaysia.  
Objektif program ini adalah untuk memberi pengetahuan berkenaan dengan pengurusan harta pusaka kecil dan prosedur membuat permohonan pembahagian harta pusaka.  Program percuma ini terbuka kepada orang ramai khususnya penduduk Taman Desa Surada dan kawasan perumahan disekelilingnya.  
Pendaftaran bermula pada jam 8.30 pagi. Para peserta berpeluang menikmati sedikit sarapan ringkas yang disediakan oleh pihak jawatankuasa surau sebelum majlis bermula. Pamplet berkenaan dengan pengurusan harta pusaka kecil dan permohonan melalui online diedarkan kepada setiap peserta.  Pengerusi majlis pada hari tersebut ialah Cikgu Hasnah Omar dan majlis dirasmikan oleh Dr. Azman yang merupakan Setiausaha Pengurusan Surau Al Mujahidin.
Secara ringkasnya, terdapat EMPAT saluran penting untuk membuat tuntuan harta pusaka iaitu:
  1. Mahkamah Tinggi
  2. Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian
  3. Amanah Raya Berhad
  4. Jabatan atau agensi yang berkaitan dengan harta berkaitan.  
Harta terbahagi kepada dua iaitu harta tidak alih , seperti tanah, rumah, bangunan kedai dan sebagainya. Satu lagi adalah harta alih yang terdiri daripada simpanan wang, saham atau kenderaan Sekiranya nilai keseluruhan harta (harta alih dan tidak alih) melebihi RM 2 juta, maka tuntutan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi .Sekiranya harta alih dan tidak alih bernilai tidak melebihi RM 2 juta, tuntutan boleh dilakukan di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.  Selain itu beliau turut menekankan sekiranya harta tak alih melebihi nilai RM 600 ribu, maka  tuntutan boleh dibuat di Amanah Raya Berhad dan selebihnya di jabatan atau agensi yang terlibat seperti KWSP, ASB dan sebagainya.
Sepanjang sesi ceramah, peserta diberikan penerangan tentang pembahagian harta pusaka bagi orang Islam dan juga cara-cara pembahagian harta melalui faraid.  Cara-cara untuk membuat permohonan pembahagian pusaka turut diterangkan secara terperinci termasuk pembahagian harta pusaka untuk orang bukan Islam.
Peserta yang hadir memberikan sambutan yang menggalakkan terhadap majlis ini.  Buktinya, pelbagai soalan menarik dengan rancaknya diajukan oleh para peserta kepada penceramah semasa program sedang berlangsung dan semasa sesi soal jawab. Melalui sambutan ini, pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin amat berharap agar masyarakat mampu memupuk kesedaran tentang pentingnya membuat permohonan harta pusaka dan memahami prosedur permohonan pembahagian harta pusaka.  Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman web www.jkptg.gov.my





Pendaftaran peserta serta sarapan pagi beserta jualan amal untuk Tabung Pembangunan Surau Al Mujahidin




Pengacaraan majlis dan ucapan pembukaan oleh Dr. Azman , setiausaha Surau Al Mujahidin

Ceramah pengurusan Harta Pusaka oleh Puan Kamariah Dzafrun dari Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan


Penyampaian cenderahati oleh pengerusi surau al Mujahidin, Tuan Hj Shukor Atan dan gambar kenangan sebelum majlis bersurai  

0 ulasan:

Catat Ulasan