Posted by Surau al-Mujahidin on Rabu, Mac 04, 2009 in kuliah | No comments
Beriman kepada Rasul merupakan salah satu dari Rukun Iman yang mesti diyakini dan dipercayai oleh setiap muslim. Keimanan kepada Nabi Muhammad SAW pasti memperolehi janji yang baik di akhirat yang abadi kelak. Perkara ini dapatlah dilihat berdasarkan satu kisah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW.
Kisahnya bermula apabila seorang anak yatim yang berhajat untuk memagarkan tanaman kebun tamarnya yang berada di sebelah kebun tamar seorang yang hartawan. Ketika proses memagarkan kebun tamannya dilaksanakan, terdapat sebatang pohon tamar yang dimiliki hartawan tersebut yang menjadi halangan kerja memagar kebun anak yatim tersebut. Bagi mengharmonikan keadaan, anak yatim tersebut pergi berjumpa dengan hartawan pemilik pohon tamar yang menghalang kerja-kerja memagar memagar kebun. Namun natijah yang diperolehi mengecewakan akibat hartawan pemilik pohon tersebut tidak mengizinkan pohon tersebut diusik. Lantas anak yatim tersebut mengadu kepada Rasulullah SAW.
Setelah Rasulullah SAW mendengar apa yang terjadi, baginda bersabda sesungguhnya sekiranya hartawan tersebut mengorbankan sebatang pohon tamar tersebut, pohon tersebut telah tumbuh di syurga Allah SWT. Lalu berita tersebut disampaikan kepada hartawan pemilik tamar tadi. Sekali lagi jawapan yang diterima dari hartawan tersebut nagatif.
Tatkala itu seorang sahabat, Abu Dahdah yang mempunyai kebun 600 pohon tamar yang paling subur di Madinah telah mendengar perihal tersebut pergi mengunjungi Rasulullah SAW dan bertanyakan adakah jika dia yang membeli sebatang pohon tamar yang menjadi isu dan membiarkan anak yatim tadi meneruskan hajatnya untuk memagar kebun tersebut, adakah Abu Dahdah tetap mendapat apa yang dijanjikan Rasulullah SAW iaitu pohon tamar tersebut akan tumbuh di syurga kelak. Rasulullah SAW menyatakan perkara tersebut pasti akan berlaku.
Abu Dahdah tanpa melengahkan masa menemui hartawan yang tetap dengan pendiriannya tadi, menukarkan 600 pohon tamar miliknya dengan sepohon tamar milik hartawan tersebut. Selesai menguruskan proses penukaran tersebut Abu Dahdah memberitahu isteri dan keluarganya, mereka menerima dengan penuh redha dan keredhaannya adalah berlandaskan janji Rasulullah SAW bahawa sebatang pohon tamar yang telah ditukarkan tadi telah pun di syurga Allah SWT dan hanya menunggu tuannya sahaja di akhirat kelak.Begitulah betapa tingginya tahap keimanan para sahabat kepada Rasulullah SAW apabila mempercayai, meyakini apa yang dinyatakan Rasulullah SAW. Justeru kita bagaimana?
Petikan Kuliah Maghrib Prof. Madya Ustaz Kamaruddin Salleh 04 Mac 2009
0 ulasan:
Catat Ulasan