Selasa, Mac 10, 2009

Takabbur

لايدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر

Maksudnya: Tidak masuk syurga seseorang yang mana dalam hatinya terdapat walau sebesar satu debu daripada sifat takabbur.

Takabbur secara mudahnya bolehlah diertikan sebagai menolak yang benar dan menghina orang lain. Lawan kepada sifat takabbur adalah belas kasihan dan tahu menghormati hak-hak serta merai orang lain.

Sifat takabbur sepatutnya tidak ada dalam diri manusia. Ini kerana manusia tidak layak untuk bertakabbur, ianya hanya sesuai bagi Allah SWT. Sifat takabbur hanya layak kebada Allah SWT semata-mata. Allah SWT berhak takabbur kerana segala kejadian makhluk adalah ciptaanNya. Selain dari Allah SWT tiada yang layak dengan sifat tersebut.

Namun kisah takabbur yang paling awal berlaku dalam sejarah kehidupan sekalian makhluk adalah ketua kepada segala malaikat iaitu iblis. Iblislah yang pertama sekali menggunakan sifat Allah SWT ini dengan mendakwa dia adalah lebih hebat dari Adam AS. Kisah iblis takabbur ini terdapat dalam al-Quran, bukan setakat takbur bahkan enggan menuruti perintah Allah SWT.

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan barangsiapa manusia yang mempunyai sifat takabbur semestinya mereka telah terpengaruh dengan telunjuk syaitan. Ciri-ciri manusia yang sedemikian adalah berhati keras tidak mahu menerima apa yang telah ditetapkan Allah SWT melalui PesuruhNya SAW.

Intipati Kuliah Maghrib Ustaz Khairil Khuzairi 10 Mac 2009

Isnin, Mac 09, 2009

Memperingati Maulid Rasul

Setiap tahun sejumlah 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Rasulullah diputerakan pada Subuh hari Isnin 12 Rabic al-Awwal pada tahun yang dikenali sebagai Tahun Gajah. Kehadiran Rasulullah SAW ke alam ini membawa limpahan rahmat kepada umat manusia sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran surah al-Anbiya’ ayat 107;
وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين
Maksudnya: Tidaklah Kami (Allah SWT) utuskan kamu (Rasulullah SAW) melainkan untuk memberi rahmat ke seluruh alam.

Tidak dapat dinafikan kedatangan Rasullah SAW sebagai pembawa rahmat adalah besar maknanya. Antara sekalian banyak rahmat yang dibawa Rasulullah SAW paling utama merujuk kepada rahmat Islam dan Iman. Pengorbanan Rasulullah SAW selama 12 tahun dua bulan dan 22 hari di Kota Mekah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyampaikan dakwah Islam kepada masyarat di sana. Hanya dengan kalimah Tauhid لا إله إلا الله manusia akan selamat dan berjaya di dunia dan akhirat.

Kedatangan wahyu pertama dalam surah al-cAlalaq ayat satu hingga lima bukan secara khususnya menyeru Rasulullah SAW menjalankan kerja dakwah. Namun setahun setengah kemudian turunnya wahyu yang kedua di dalam surah al-Mudaththir jelas menyuruh Rasulullah SAW menjalankan kerja-kerja dakwah.

Dalam menjalankan kerja-kerja dakwah, orang yang paling utama yang mesti diseru adalah golongan kaum keluarga terdekat. Saidatina Khadijah isteri Rasulullah SAW merupakan orang pertama memeluk Islam. Di kalangan para sahabat Saidina Abu Bakar dan di kalangan kanak-kanak adalah Saidina Ali Karram Allah Wajhahu.

Setelah tersebarnya Islam dengan lebih menyeluruh, Rasulullah SAW diperintahkan berhijrah ke Kota Madinah. Di kala perjalanan ke Madinah yang ditemani Saidina Abu Bakar dan seorang penunjuk jalan, Rasulullah singgah di Quba’. Di sana terus Rasulullah SAW membina masjid yang pertama di dalam sejarah Islam iaitu dengan memacakkan empat penjuru masjid dengan pelepah tamar. Di masjid inilah merupakan masjid solat berjemaah pertama diadakan. Kemudian setelah sampai di Madinah sebagaimana hal yang berlaku di Quba’ Rasulullah SAW membina masjid yang diberi nama Masjid Nabawi.

Di Madinah Rasulullah SAW membentuk Kerajaan Islam Pertama di atas muka bumi ini. Di sana dibentuk perlembagaan yang dikenali sabagai Piagam Madinah. Berlandaskan piagam inilah masyarakat majmuk yang terdiri dari kaum Yahudi (Qainuqac, Quraizah dan Nadhir) dan lain-lain di Madinah bersatu padu dan homat menghormati.

Kandungan Ceramah Maulid Rasul al-Fadhil Ustaz Farhan al-Hafiz 08 Mac 2009

Ahad, Mac 08, 2009

Solawat versi Syed Ahmad al-Badawi

Solawat ini diberi izin oleh al-Fadhil Ustaz Mohd farhan al-Hafiz semasa Majlis Ceramah Maulid Rasul. Beliau menjelaskan keizinan penyebarannya adalah berdasarkan Ijazah yang diterima dari Syeikhnya.

Dipetik dari Ceramah Maulid Rasul Ustaz Mohd Farhan al-Hafiz 08 Mac 2009

Doa Waktu Pagi, Petang & Malam

Rasulullah mengingatkan umatnya agar sentiasa mengingati Allah SWT. Antara perkara yang sepatutnya menjadi amalan kita adalah membaca doa setaip pagi, petang dan malam. Doa mudah yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ عَالِمَ اْلغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ ، فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَاْلأَرْضِ ، رَبَّ كُلَّ شَيْءٍ وَمَلِيكِهِ ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِي وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ .

InsyaAllah dengan mengamalkan doa ini akan menambahkan lagi keberkatan hidup kita setiap hari.

Petikan Kuliah Subuh Ustaz Mohd gunawan Abd Aziz 08 Mac 2009

Siapakah Yang Layak Memimpin

Siapakah Yang Layak Memimpin Manusia

Hari ini ramai manusia yang berebut menjadi pemimpin, namun tidak semua pemimpin yang ada pada hari ini memenuhi dan mepati piawai Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin di kalangan kamu. Diakhir ayat tersebut juga Allah SWT menjelaskan jika berlaku pertikaian (pertelingkahan) dalam sesuatu perkara maka tempat rujukannya adalah Allah dan Rasul.

Dari maksud ayat di atas jelas bahawa pemimpin yang patut memimpin manusia adalah pemimpin yang menurut perintah Allah SWT melalui ajaran para RasulNya. Setiap apa keputusan yang diputuskan pemimpin adalah mesti selaras dengan kehendak Allah SWT dan Rasul. Manakala pemimpin yang merebut jawatan kepimpinan dengan apa jua cara demi mendapatkan kuasa adalah bertentangan dengan kehendak sebenar Islam.

Pemimpin yang berpaksikan Islam adalah sentiasa mengajak manusia mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menggalakkan rakyat melakukan perbuatan kebaikan dan mencegah dari melakukan perkara-perkara mungkar. Bukannya pemimpin yang menjadikan Islam sebagai tempelan, bukannya pemimpin yang mengagih-agihkan dana negara di kalangan mereka, bukan pemimpin yang tidak menghiraukan batas-batas hukum agama dan bukan juga pemimpin yang bergelumbang dalam kemaksiatan.

Adanya pemimpin yang sentiasa menuruti perintah Allah SWT pasti mendatangkan kerahmatan dan keberkatan yang tidak terperi nikmatnya. Pemimpin yang mengutamakan Allah SWT dan RasulNya merupakan golongan yang paling layak memimpin manusia di alam yang sementara ini.

Intipati Khutbah Jumaat Ustaz Mohd Ridhuan Ismail 06 Mac 2009

Rabu, Mac 04, 2009

Keimanan kepada Rasulullah SAW

Beriman kepada Rasul merupakan salah satu dari Rukun Iman yang mesti diyakini dan dipercayai oleh setiap muslim. Keimanan kepada Nabi Muhammad SAW pasti memperolehi janji yang baik di akhirat yang abadi kelak. Perkara ini dapatlah dilihat berdasarkan satu kisah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW.

Kisahnya bermula apabila seorang anak yatim yang berhajat untuk memagarkan tanaman kebun tamarnya yang berada di sebelah kebun tamar seorang yang hartawan. Ketika proses memagarkan kebun tamannya dilaksanakan, terdapat sebatang pohon tamar yang dimiliki hartawan tersebut yang menjadi halangan kerja memagar kebun anak yatim tersebut. Bagi mengharmonikan keadaan, anak yatim tersebut pergi berjumpa dengan hartawan pemilik pohon tamar yang menghalang kerja-kerja memagar memagar kebun. Namun natijah yang diperolehi mengecewakan akibat hartawan pemilik pohon tersebut tidak mengizinkan pohon tersebut diusik. Lantas anak yatim tersebut mengadu kepada Rasulullah SAW.

Setelah Rasulullah SAW mendengar apa yang terjadi, baginda bersabda sesungguhnya sekiranya hartawan tersebut mengorbankan sebatang pohon tamar tersebut, pohon tersebut telah tumbuh di syurga Allah SWT. Lalu berita tersebut disampaikan kepada hartawan pemilik tamar tadi. Sekali lagi jawapan yang diterima dari hartawan tersebut nagatif.

Tatkala itu seorang sahabat, Abu Dahdah yang mempunyai kebun 600 pohon tamar yang paling subur di Madinah telah mendengar perihal tersebut pergi mengunjungi Rasulullah SAW dan bertanyakan adakah jika dia yang membeli sebatang pohon tamar yang menjadi isu dan membiarkan anak yatim tadi meneruskan hajatnya untuk memagar kebun tersebut, adakah Abu Dahdah tetap mendapat apa yang dijanjikan Rasulullah SAW iaitu pohon tamar tersebut akan tumbuh di syurga kelak. Rasulullah SAW menyatakan perkara tersebut pasti akan berlaku.
Abu Dahdah tanpa melengahkan masa menemui hartawan yang tetap dengan pendiriannya tadi, menukarkan 600 pohon tamar miliknya dengan sepohon tamar milik hartawan tersebut. Selesai menguruskan proses penukaran tersebut Abu Dahdah memberitahu isteri dan keluarganya, mereka menerima dengan penuh redha dan keredhaannya adalah berlandaskan janji Rasulullah SAW bahawa sebatang pohon tamar yang telah ditukarkan tadi telah pun di syurga Allah SWT dan hanya menunggu tuannya sahaja di akhirat kelak.

Begitulah betapa tingginya tahap keimanan para sahabat kepada Rasulullah SAW apabila mempercayai, meyakini apa yang dinyatakan Rasulullah SAW. Justeru kita bagaimana?

Petikan Kuliah Maghrib Prof. Madya Ustaz Kamaruddin Salleh 04 Mac 2009

Selasa, Mac 03, 2009

Ceramah Maulid Rasul

Ceramah Maulid Rasul
bersama al-Fadhil Ustaz Farhan al-Hafiz


akan diadakan pada 8 Mac 2008 (Ahad)


Selepas Solat Maghrib


di Surau al-Mujahidin, Desa Surada, Bandar Baru Bangi.


Semua Dijemput Hadir