Laporan program hari ini
Sembang Remaja kami berbincang berkenaan orang yang muflis di hari kiamat berpandukan hadith berikut:
Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bertanya:
أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ ؟ قَالُوا : الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ ، فَقَالَ : إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ ، وَصِيَامٍ ، وَزَكَاةٍ ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا ، وَقَذَفَ هَذَا ، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا ، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا ، وَضَرَبَ هَذَا ، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
Maksudnya: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?" Para sahabat menjawab: "Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda." Baginda bersabda: "Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”
Riwayat Muslim (2581), Ahmad (8829) dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (338)
Kemudian kami bersembang berkenaan isu hangat yang terkini iaitu buli dan apa kaitannya dengan hadith tersebut. Orang yang membuli ditakuti akan muflis di akhirat kerana pembuli biasanya menyakiti mangsanya melalui perbuatan seperti memukul dan melalui lisan seperti memaki dan sebagainya. Kami juga melihat kembali kategori² buli berpandukan garis panduan KPM (iaitu buli fizikal, buli lisan, buli isyarat, buli peras ugut dan buli memulau). Adik² ditanya sama ada pernah dibuli sebegitu atau dalam tak sedar kita sebenarnya pernah menjadi pembuli. Jika tidak sengaja menjadi pembuli, adik² dinasihatkan supaya bertaubat agar tidak menjadi muflis dan dituntut di akhirat kelak. Bertaubat dengan memenuhi 4 syarat taubat termasuklah salah satunya mengembalikan hak kepada orang yang dianiaya (seperti meminta maaf, memulangkan harta yang dicuri dan sebagainya).
Setelah pengisian, kami buat sedikit aktiviti berkaitan kemerdekaan. Adik² menemu bual orang awam 3 soalan berikut dengan pantauan fasilitator:
1. Apa makna merdeka bagi pakcik?
2. Siapa tokoh kemerdekaan yang pakcik suka? Kenapa?
3. Apa nasihat pakcik untuk kami sempena merdeka?
Macam² jawapan kami terima. Harap adik² dapat belajar sesuatu daripada jawapan atuk nenek pakcik makcik yang ditemu ramah.
Terima kasih pada semua yang hadir pada hari ni. InsyaAllah bulan depan kita training bola jaring pula 🤗
Penulis
Sis Aqilah
Young Scientists
0 ulasan:
Catat Ulasan