Rabu, Jun 26, 2019

Majlis Khatam AlQuran Muslimat Surau Al Mujahidin

Posted by Norhayati Sulaiman on Rabu, Jun 26, 2019 | No comments
Segala puji dan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnianya, dapat kami, AJK Muslimat Surau Al Mujahidin mengadakan Majlis Khatam AlQuran khas buat Muslimat Surau Al Mujahidin.

Kumpulan Tadarus Muslimat ini terbahagi kepada dua, iaitu kumpulan pagi yang bermula pada pukul 8.30 pagi , dan kumpulan malam yang bermula selepas Solat Tarawih. Sesi tadarus ini telah bermula dari 1 Ramadan 1440H lagi. Setiap sesi dibahagikan kepada 6 kumpulan yang dibimbing oleh seorang AJK yang mahir dan lancar dalam mengaji AlQuran. Setiap kumpulan diberikan lima juzuk untuk dihabiskan sehingga Nuzul AlQuran (17 Ramadan). Bagi kumpulan yang sudah menghabiskan juzuk mereka, mereka boleh meneruskan bacaan mereka pada juzuk yang seterusnya.

Akhirnya, pada 17 Ramadan 1440H (22 hb Mei 2019), telah diadakan majlis khatam AlQuran yang dibimbing oleh Ustazah Masrahha Adnan. Setiap kumpulan yang diberi nama serikandi Islam seperti Sayyidatina Khadijah, Sayyidatina Fatimah, Sayyidatina Aisyah, Sayyidatina Asma, Sumayyah dan Ainul Mardhiah dikehendaki memakai jubah berwarna hitam dan tudung yang berbeza mengikut pilihan kumpulan masing-masing. Majlis dimulakan seawal pukul 9.00 pagi dengan bacaan Juzuk Amma (sebahagian) hingga akhir. Selepas itu Ustazah Masrahha menyampaikan  sedikit tazkirah ringkas dan mengadakan kuiz berkenaan AlQuran.

Selepas itu, setiap ahli kumpulan Tadarus, diberikan sedikit cenderahati daripada pihak AJK Muslimat dan kami juga bertukar-tukar hadiah melalui cabutan bertuah yang dijalankan. Bagi sesi ini, setiap  peserta tadarus, dikehendaki menyediakan sebuah hadiah, yang dilabel dengan nombor untuk cabutan tersebut.

Seterusnya, bagi menghargai jasa baik salah seorang peserta tadarus ini, pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin, telah mengadakan Anugerah Sayyidatina Aisyah buat Puan Zamimah yang banyak menunjukajar para muslimat taman ini di dalam pendidikan AlQuran. Beliau yang mesra dipanggil "Opah" merupakan guru AlQuran  "tidak rasmi" buat kebanyakan Muslimat Surada yang masih lemah dalam pembacaan AlQuran. Selain daripada itu, pihak kami amat menghargai penglibatannya dalam aktiviti surau walaupun beliau merupakan seorang warga emas. Semoga Allah akan memberikan kesihatan yang baik buat Opah Zamimah dan juga kekuatan untuk beliau terus mengimarahkan aktiviti surau kita.

Program ini berakhir hampir pukul 12,00 tengahari dengan disudahi upacara sesi bergambar bersama Ustazah kami, Opah Zamimah dan setiap kumpulan tadarus. Semoga usaha kecil kami ini di dalam memartabatkan AlQuran akan dipandang oleh Allah sebagai amal jariah kami. Semoga berjummpa lagi di Ramadan akan datang, Insya Allah














0 ulasan:

Catat Ulasan