Khamis, Januari 31, 2019

Kursus Pengurusan Jenazah Muslimat (Dewasa)

Posted by Norhayati Sulaiman on Khamis, Januari 31, 2019 | No comments
Pengurusan Jenazah merupakan suatu fardhu kifayah buat kita semua umat Islam. Tetapi tuntutan untuk mempelajarinya merupakan suatu yang wajib bagi semua orang Islam, Muslimin dan Muslimat. Lantaran itu, Ahli Jawatankuasa Muslimat Surau Al Mujahidin telah berusaha untuk mengadakan kursus pengurusan jenazah ini khas buat Muslimat Taman Desa Surada.

Program ini telah diadakan pada 13 Januari 2019 (Ahad) bertempat di Ruang Solat Surau Al Mujahidin. Program ini disertai hampir 40 orang Muslimat dengan dikenakan bayaran sebanyak RM30.00 bagi buku panduan pengurusan jenazah dan kudapan.

Program yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini adalah di bawah bimbingan Ustazah Junaidah Awang (Ustazah June) yang sangat berpengalaman dalam menguruskan jenazah, Ia dimulakan dengan teori pengurusan jenazah itu dari segi hukum, keperluan bersuci, apa yang perlu dilakukan apabila berlaku kematian dan perkongsian pengalaman beliau menguruskan jenazah.

Selepas berhenti rehat pada pukul 10.00 pagi, para peserta telah diajar secara praktikal di mana beberapa orang peserta telah diminta untuk menjadi model dan pembantu beliau dalam menguruskan jenazah.  Ia dimulakan dengan cara untuk memastikan kematian jenazah, menyediakan jenazah untuk dimandikan, memandikan jenazah dan mengkafankan jenazah.

Selepas itu, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu satu kumpulan untuk membuat persediaan awal setelah berlaku kematian dan satu kumpulan lagi untuk mengkafankan jenazah. Praktikal oleh peserta untuk memandikan jenazah tidak dapat dilakukan kerana kami kesuntukan masa. Lantaran itu, kami terus diajar oleh Ustazah June untuk melaklukan Solat Jenazah. Seorang peserta telah dilantik untuk menjadi imam bagi solat tersebut dan peserta lain menjadi makmumnya.  

Program ini berakhir tepat pada pukul 1.00 petang dengan setiap peserta diserahkan sijil penyertaan masing-masing, Diharapkan program ini dapat menambahkan ilmu kepada para peserta dalam menjalankan fardhu kifayah masing-masing.

















0 ulasan:

Catat Ulasan