Khamis, Julai 15, 2010

Alam Arwah

Posted by Surau al-Mujahidin on Khamis, Julai 15, 2010 in | No comments

Semua benda yang berlaku pada manusia sama ada ianya bersifat ta’akul (rasional) yang boleh dikaitkan dengan pemikiran manusia dan kadang kala ada yang bersifat ta’abbud (patuh dan buat tanpa perlu persoalan). Ianya seumpama ibadah solat tidak perlu kita bertanya dan memikirkan kenapa Allah SWT mewajibkan lima kali sehari serta kenapa subuh dua rakaat dan isya’ empat rakaat. Kewajipan kepada kita adalah terima dan melaksanakannya.

Namun manusia di zaman kini benyak terdorong kepada penggunaan akal dalam mencari sebab musabbab sesuatu perkara. Hasilnya manusia lebih banyak berpersepsi daripada realiti sebenar yang berlaku. Inilah yang sepatutnya dielakkan terutamanya apabila membincangkan soal yang bersifat sam’iyyat.

Antara perkara sam’iyyat ialah alam ruh. Terdapat beberapa pandangan berkaitan kemana ditempatkan ruh setelah matinya seseorang manusia. Di sini diambil beberapa pendapat tentangnya;

  1. Pendapat Abu Hurairah, Ibnu Umar, Imam Syafie dan Ibnu Kathir; ruh orang beriman, para nabi dan syuhada’ berada di syurga. Manakala ruh orang kafir ditempatkan di dalam neraka.
  2. Pendapat Kaab dan Syeikh Abu Bakar al-Jazair; ruh orang beriman ditempatkan di langit ‘ulya manakala orang kafir berada di lapisan bumi yang paling bawah iaitu sijjin.
  3. Pendapat sekumpulan ulama’ dan Imam al-Badawi; ruh orang beriman di halaman kubur masing-masing dan dilapangkan kubur mereka kecuali orang mati syahid ditempatkan di syurga. Ruh orang kafir ditempatkan di lapisan bumi yang paling bawah iaitu sijjin. Imam Mujahid menambah selepas seminggu ruh orang mukmin akan ditempatkan di tempat yang lain.
  4. Pendapat lain mengatakan ruh akan kembali semula ketempat di mana ia berada sebelum di satukan dengan jasad iaitu di alam ruh itu sendiri.
  5. Pendapat Sulaiman al-Farisi dan Imam Malik; ruh orang yang beriman akan berada di alam barzah dan bebas ke mana-mana.

Wujudnyq perbezaan pendapat berkaitan ditempatkan ruh selepas mati kerana perbezaan dalil yang digunakan. Apa pun yang pasti kedudukan ruh berbeza mengikut kedudukan masing-masing di sisi Allah SWT.

Kuliah Maghrib Prof Madya Dr Kamaruddin Salleh 14 Julai 2010

0 ulasan:

Catat Ulasan