Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 22 &23:
وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya: Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
Sepanjang bulan Ramadhan seluruh umat Islam mengharapkan setiap amalan yang dilaksanakan akan memperoleh martabat taqwa, kerana itulah yang dikejar sepanjang Ramadhan yang lalu. Manakala masuk sahaja 1 Syawal, berbondong-bondong manusia memuji Allah SWT dengan laungan takbir hinggalah Imam mengimami solat sunat Aidil Fitri. Namun sejauh manakah yang telah kita memperhalusi setiap amalan yang dilakukan? Jika di bulan Ramadhan yang lalu adakah telah mencapai tahap taqwa ataupun tatkala Syawal menjelma kita betul-betul yakin dengan salah satu ucapan tahmid yang bermaksud ‘benarlah janji-janji Allah SWT’.
‘Sodaqo wa’dah’ yang bermaksud telah benar janji-janji Allah SWT sama ada yang telah berlaku, yang akan berlaku ataupun yang sedang berlaku kini. Orang yang beriman yakin tentang perkara ini. Mereka meyakini janji Allah SWT pasti benar walaupun kadangkala akal menafikan atau tidak tergarap tentang kebenarannya.
Buktinya di dalam peperangan al-Ahzab Allah SWT telah menghancurkan tentera-tentera musyrikin yang menentang tentera Islam walaupun mereka ramai dan lengkap dengan peralatan persenjataan. Orang mukmin tetap yakin janji Allah SWT memberikan kemenangan kepada Islam dan ianya tercatat di dalam al-Qur’an sebagaimana ayat di atas.
Melihat pula sikap golongan munafiq, mereka meragui tentang janji Allah SWT yang benar sebagaimana Surah al-Ahzab ayat 12:
وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلَّا غُرُورًا
Maksudnya: Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.
Khutbah Jumaat Ustaz Syed Norhisyam 2 Oktober 2009
Salam...
BalasPadamsemoga amalan kita tidak akan terbatas hanya pada bulan Ramadhan sahaja dan terus memperhalusi serta menambahkan lagi amalan kita dari hari ke hari.