Ahad, Mac 15, 2009

Wahdah Pemangkin Khaira Ummah

Posted by Surau al-Mujahidin on Ahad, Mac 15, 2009 in | No comments
‘Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’ merupakan slogan Sambutan Maulid Rasul peringkat kebangsaan bagi tahun 1430/2009. Ini memberi gambaran penekanan terhadap kesatuan dalam ummah mesti dititik beratkan. Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang memberi maksud supaya adanya kesatuan dan kesepakatan sesama manusia.

Al-Quran menjelaskan “sesungguhnya setiap mukmin adalah bersaudara”. Selain itu turut dinyatakan “sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia lelaki mahupun wanita, turut diciptakan berbangsa-bangsa dan berpuak-puak tidak lain dan tidak bukan hanya untuk berkenalan, sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah SWT adalah yang paling bertaqwa”.

Merujuk kepada dua petikan ayat di atas jelas kepada kita bahawa kesatuan yang dikehendaki di dalam Islam adalah berlandaskan tauhid. Apabila semua manusia mentauhidkan Allah SWT mereka adalah mukmin dan semestinya akan bersatu. Di sisi Allah SWT yang paling mulia seseorang hamba adalah yang paling bertaqwa kepadaNya. Untuk itu perlu diperjelaskan perkara yang dimaksudkan dengan bertaqwa.

Taqwa yang merupakan perkataan yang mudah disebut adalah bermaksud secara ringkasnya adalah membuat apa yang diperintahkan Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang Allah SWT. Sebagaimana ayat al-Quran yang bermaksud “bertolong-tolonglah kamu ke atas jalan kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan ke atas perkara dosa dan tegahan”.

Manakala khaira ummah bukanlah mempunyai maksud ummah yang termaju dan termoden, tetapi ianya merujuk kepada ummah yang berprinsip. Prinsip-prinsip tersebut mestilah berpaksi kepada atas dasar Islam dan aqidah iaitu menyuruh perkara baik dan mencegah perkara mungkar.

Ibn Kathir menjelaskan perinsip utama bagi umat Islam adalah mesti berteraskan kepada tiga perkara; menyeru membuat kebaikan, mencegah melakukan kemungkaran dan beriman kepada Allah SWT. Perkara ini amat penting kerana Rasulullah SAW bersabda “kita kaum yang ditinggikan Allah SWT apabila menegakkan Islam”.

Kandungan Ceramah Maulid Rasul al-Fadhil Ustaz al-Kauthar 14 Mac 2009

0 ulasan:

Catat Ulasan