Ahad, Mac 15, 2009

Niat penentu akibat amal

Posted by Surau al-Mujahidin on Ahad, Mac 15, 2009 in | No comments
Rasulullah SAW bersaabda;
إنما الأعمال بالنيات
Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan adalah bergantung kepada niat.
Berdasarkan hadith di atas jelas menunjukkan bahawa setiap perbuatan mestilah dimulai dengan niat. Bermula dari niat akan mendatangkan natijah akhir setiap perlakuan sama ada mendatangkan natijah positif yang dikenali sebagai pahala atau menghasilkan yang akibat negatif iaitu dosa. Niat adalah penentu punca akibat amal.

Niat merupakan perkara yang cukup diambil berat dalam setiap amalan kehidupan seharian. Ianya bukanlah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan. Justeru setiap perbuatan mesti disertakan niat dan niat tersebut mesti berdasarkan perkara yang sepatutnya. Niat baik tetapi perkara yang dilakukan adalah buruk tetap menjadi buruk, begitulah sebaliknya. Jika perkara haram walau niatnya baik tetap natijahnya haram seperti niat beli nombor ekor dengan harapan jika menang wang yang diperolehi akan digunakan untuk pergi menunaikan haji.

Selain itu banyak contoh-contoh yang terdapat hubungkait dengan niat. Di zaman Rasulullah SAW, sewaktu Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya berhijrah terdapat seorang pemuda yang ingin mengahwini Ummu al-Qais. Ummu al-Qais mensyaratkan jika itu hajat pemuda tersebut maka pemuda tersebut mesti turut berhijrah bersama ke Madinah. Maka pemuda tersebut bersetuju untuk berhijrah bersama-sama. Setelah kisah tersebut tersebar, pemuda tersebut dikenali sebagai ‘Penghijrah Ummu al-Qais’. Lantaran itu akhir sambungan hadith di atas ialah;
... أو امرأة ينكحها فهجرته إلي ما هاجر إليه
Maksudnya: … atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah bergantung kepada apa yang dihijrahkannya.

Isi Kandungan Kuliah Maghrib al-Fadhil Prof Madya Dr. Abdul Ghaffar Don 13 Mac 2009

0 ulasan:

Catat Ulasan