Rabu, Disember 19, 2018

Bengkel Jahitan Beg Fabrik

Baru-baru ini, pada 15 Disember 2019, telah diadakan suatu bengkel jahitan membuat beg fabrik di Dewan Komuniti Taman Desa Surada. Bengkel ini merupakan anjuran bersama AJK Muslimat Surau Al Mujahidin dengan Muslimat PAS Serdang. Bengkel ini dibuka kepada remaja perempuan dan wanita sahaja. Seramai 17 orang peserta telah menyertai bengkel ini.  

Bengkel ini yang bermula pada pukul 8.30 pagi, didahului dengan ucapan pembukaan oleh Puan Zaiton Mutalib selaku peneraju utama bengkel ini, yang juga AJK Muslimat Surau Al Mujahidin dan AJK Muslimat PAS Serdang. Selepas itu, Ketua Muslimat Surau Al Mujahidin, Prof. Madya Dr. Siti Norul Huda Sheikh Abdullah pula memberikan ucapan perasmian.

Bengkel ini didemonstrasikan oleh Puan Zaiton sendiri. Bahan-bahan jahitan disediakan oleh pihak penganjur. Begitu juga dengan beberapa buah mesin jahit. Peserta hanya membayar yuran sebanyak RM20.00 untuk bengkel ini. Peserta diberi pilihan untuk memilih corak kain kegemaran mereka daripada kain-kain yang disediakan. Peserta amat dibantu untuk menyiapkan beg fabrik ini.

Bengkel ini berakhir hampir pukul 1.00 tengahari dan perasmian penutupan bengkel ini dilakukan oleh Pn. Hamsatul Azura yang merupakan Ketua Muslimat PAS Serdang. Dalam ucapannya, beliau sangat-sangat menekankan tentang kemahiran-kemahiran yang boleh digunapakai oleh kaum wanita dalam menjana ekonomi rumahtangga. Beliau juga ada menerangkan tentang program-program kemahiran yang telah dan akan dilakukan oleh Muslimat PAS Serdang. Beliau sangat mengharapkan penglibatan kaum wanita dalam program sebegini. Bagi menghargai kesudian Pn. Hamsatul ini, pihak penganjur telah menghadiahkan sebuah beg fabrik, hasil tangan Pn. Zaiton sendiri sebagai kenang-kenangan.







 






















Selasa, Disember 18, 2018

Program Rehlah dan Riadah Remaja ke Bukit Gasing

Pada 11 Disember 2018 yang lepas, pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin, Taman Desa Surada, telah berjaya menganjurkan Program Jatidiri di Bukit Gasing, Petaling Jaya. Program ini telah disertai oleh remaja Taman Desa Surada dan mendapat penyertaan yang menggalakkan. Sokongan yang padu telah diberikan oleh AJK Surau AL MujahidinPensyarah  Universiti Kebangsaan Malaysia, para siswazah UKM dan masyarakat Taman Desa Surada sendiri.

Seramai 7 (tujuh) pasukan peserta yang terdiri daripada 5 pasukan lelaki dan 2 pasukan perempuan telah dibentuk dari seramai 47 orang peserta. Peserta program ini terdiri dari remaja yang berumur 7 hingga 15 tahun sahaja.

Seramai 15 orang fasilitator telah ditugaskan dalam menjayakan program ini.  Kebanyakan fasilitator ini merupakan siswazah-siswazah UKM dan pembimbing Kelas Mengaji dan Persediaan di Surau serta para  siswazah yang tinggal di taman ini.  Para fasilitator ini diketuai oleh Saudara  Muhammad Hazziq bin Saiful Bahari, seorang siswazah UKM yang juga merupakan imam bagi aktiviti Qiamullail dalam program ini.

Program ini dimulakan dengan aktiviti Qiamullail khas untuk remaja lelaki yang dimulakan seawal pukul 5.00 pagi.  Selepas itu, ia diteruskan dengan Solat Subuh secara berjemaah dengan ahli kariah yang lain. Pada pukul 8.00 pagi, pendaftaran peserta dimulakan dan setiap peserta diberikan sarapan pagi.

Peserta diberikan taklimat yang padat tapi ringkas sebagai persediaan untuk melaksanakan program ini. Mereka semua bertolak ke lokasi program pada pukul 9.00 pagi. Sebanyak sebuah bas dan empat buah kereta bergerak bersama ke lokasi program ini.

Sampai sahaja ke lokasi aktiviti, iaitu Bukit Gasing, Petaling Jaya, aktiviti mendaki terus dilaksanakan. Selesai mendaki bukit dan melaksanakan beberapa aktiviti bersama fasilitator, para peseta menuruni bukit tersebut. Para peserta kemudiannya, bergerak dengan menaiki bas, ke masjid yang berdekatan, iaitu Masjid Sultan Salahudin, Petaling Jaya,  untuk solat Zuhor dan makan tengahari. 

Kemudian, para fasilitator melaksanakan  beberapa aktiviti lagi bersama dengan peserta di masjid tersebut dan tamat pada pukul 5.00  petang. Seterusnya sesi penyampaian hadiah telah diadakan  di mana kumpulan peserta yang menang menerima hadiah daripada Prof, Madya Dr. Siti Norul Huda Sheikh Abdullah, Ketua Muslimat Surau Al Mujahidin dan Ketua Projek UKM AP2017-005-2 yang bertajuk "Modul Swa-Pencegahan Jenayah Remaja". Modul ini telah dibangunkan oleh kumpulan penyelidik dari UKM yang terdiri daripada Dr. Zaizul Abdul Rahman, Dr. Adawiyah Ismail dan Prof. Madya Dr. Siti Norul Huda sendiri.

Akhir kata,diharapkan dari program sebegini, ia  mampu menjadi suatu platform dalam mendidik anak remaja taman ini ke arah yang lebih positif dalam mengharungi kehidupan yang mencabar dewasa ini. Pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telibadalam menjayakan program ini. Mohon maaf juga diminta jika ada sebarang kekurangan dalam perlaksanaaan program ini.

















Rabu, November 21, 2018

Program Tadarus dan Khatam Al Quran Perdana

Pada 1 September 2018 (Sabtu) telah diadakan Program Tadarus dan Khatam Perdana (Muslimat) di Surau Al Mujahidin. Program yang julung kali diadakan di surau ini adalah anjuran bersama Halaqah AlQuran Muslimat Bandar Baru Bangi dengan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Ianya dijalankan di setiap Sabtu minggu pertama di mana-mana masjid atau surau sekitar Bandar Baru Bangi yang ingin menjadi tuan rumah.

Persediaan untuk majlis ini mengambil masa hampir sebulan dengan beberapa siri mesyuarat dengan AJK Muslimat Surau Al Mujahidin sendiri dan pihak Halaqah AlQuran Muslimat. Suatu Jawatankuasa sementara dibentuk bagi melaksanakan segala tugasan yang berkaitan di mana ianya banyak melibatkan para muslimat yang menyertai kelas mengaji di taman ini. 



Program ini berlangsung dari pukul 12.30 tengahari untuk urusan pendaftaran peserta. Kebanyakan peserta yang hadir pada waktu ini adalah mereka yang hadir dari surau-surau yang berjauhan dari taman ini. Juga bagi mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk berjemaah Zuhor di surau kita. Program ini disertai hampir dua ratus orang peserta dari hampir dua puluh buah masjid dan surau sekitar Bandar Baru Bangi. Tidak ketinggalan juga program ini disertai oleh bonda-bonda dari Rumah Jagaan Darul Insyirah, Bangi Golf Resort.


Program ini secara formalnya bermula pada pukul 2.00 petang yang dimulai dengan ucapan kata-kata aluan oleh Ketua Muslimat Surau Al Mujahidin  dan seterusnya oleh wakil daripada pihak Halaqah AlQuran Muslimat Bandar Baru Bangi. Majlis seterusnya diteruskan dengan bacaan doa pembukaan oleh Ustazah Saudah Ishak yang merupakan guru mengaji bagi Muslimat taman ini.

Kemudian tadarus AlQuran bermula. Semua peserta dibahagikan kepada tiga puluh kumpulan yang di ketuai oleh seorang Pembimbing Juzuk. Pembimbing Juzuk ini akan memeriksa bacaan mengaji setiap ahli kumpulan tersebut. 

Bacaan tadarus diakhiri pada pukul 3.45 petang. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan perasmian penutupan oleh Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Selepas itu diadakan pula penyampaian cenderahati buat Perasmi penutup majlis, Ahli Halaqah AlQuran Muslimat, Ketua Muslimat dan ustazah-ustazah yang menjadi tenaga pengajar bagi majlis ilmu untuk Muslimat Surau Al Mujahidin.

Majlis ini sepatutnya diakhiri dengan bacaan Salawat. Memandangkan waktu solat Asar masuk agak cepat, maka bacaan tersebut dibatalkan dan berakhirlah majlis ini.Hadirin semua kemudiannya sama-sama berjemaah untuk Solat Asar dan setelah itu, bersama-sama menikmati juadah yang disediakan. 



Add caption

Add caption
















Khamis, September 20, 2018

Majlis Khatam AlQuran Sempena Perkahwinan Keluarga Kariah

Pada 21 hb. Julai 2018 (Sabtu), telah diadakan sebuah majlis khatam AlQuran bersempena dengan perkahwinan ahli keluarga kariah Surau AlMujahidin. Majlis ini berlangsung di Ruang Solat Surau Al Mujahidin bermula pada pukul 9.30 pagi

Majlis ini diadakan untuk meraikan perkahwinan adik kepada Datin Aini. Ianya disertai oleh kedua-dua anak lelaki kepada Datin Aini, anak-anak dari Warga Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah dan Rumah Bakti Nur Ain  milik Datin Aini sendiri, dan hampir dua puluh orang anak-anak Taman Desa Surada. Seramai tiga orang Ustaz yang merupakan pelajar-pelajar Tahfiz dari taman ini telah diminta untuk mengetuai bacaan ayat-ayat AlQuran ini.

Majlis yang mengambil masa selama lebih kurang sejam lebih ini, diakhiri dengan penyampaian saguhati kepada semua peserta yang diserahkan sendiri oleh Datin Aini.  Kesemua hadirin seterusnya menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak tuan rumah di khemah kenduri bersebelahan surau ini. 





Bengkel Belajar Jawi Cara Mudah


Pada 21 Julai 2018 (Sabtu) telah diadakan suatu bengkel tentang penulisan Jawi. Bengkel ini bertajuk "Cara Mudah Mempelajari Jawi Menggunakan Kaedah BDN". Bengkel ini diadakan di Surau Al Mujahidin bermula dari pukul 9.00 pagi.

Bengkel ini disampaikan oleh Ustaz Wan Mohd. Azhar  bin Wan Mahamod. Beliau yang merupakan seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan Changkat Ibol, Changkat Jering, Perak. Beliau telah mengasaskan pendekatan mudah ini yang beliau namakan Kaedah BDN iaitu membaca Jawi dengan nombor (Baca Dengan Nombor).

Dalam kaedah ini, setiap perkataan Jawi dipotong-potong mengikut sukakata tertentu dan diberikan nombor. Dari situ nombor-nombor ini digabung dan dibunyikan menjadi satu perkataan yang lengkap. Beliau juga telah membangunakan suatu permainan komputer yang menerapkan kaedah ini.

Program ini dihadiri seramai hampir lima puluh (50) orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak sekolah rendah, remaja dan ibu bapa. Program ini sangat menarik dan membuatkan semua peserta  merasa seronok mempelajari kaedah membaca Jawi cara mudah ini.

Bengkel ini yang mengambil masa hampir dua jam, turut mendapat liputan daripada pemberita Utusan Melayu. Pemberita turut menemuramah Penceramah, Pengerusi Surau Al Mujahidin, Ketua Muslimat, beberapa orang AJK Muslimat dan beberapa orang peserta kanak-kanak dan remaja.Berita tentang bengkel ini telah disiarkan di dalam Utusan Melayu Online pada 30 Julai 2018.

Diharapkan dari bengkel ini, ia dapat membantu para peserta dalam membaca tulisan Jawi, Secara tidak langsung akan memartabatkan tulisan Jawi di kalangan generasi muda sekarang ini dan seterusnya di alam Melayu ini.