Isnin, April 27, 2009

Kekufuran Anak Nabi Nuh AS

Al-Qur’an mencatatkan anak Nabi Nuh AS kufur ingkar seruan dan ajakan Nabi Nuh AS. Walau Nabi Nuh AS menyeru umatnya selama 950 tahun namun anaknya sendiri tidak mengikuti ajarannya.

Ibn Kathir menjelaskan kedudukan budak ini (anak Nabi Nuh AS) memang telah ditakdirkan kufur kepada ajakan Nabi Nuh AS.

Kisah yang berlaku ke atas Nabi Nuh AS ini memberi kefahaman di dalam Islam keimanan seseorang ayah tidaklah boleh diwarisi anak dan keturunannya. Ketahuilah di dalam Islam jika berlaku kekufuran maka terputuslah hubungan walau saudara mara. Apabila berlaku kufur berlepas diri dari orang yang kufur tersebut.

Syed Qutb menjelaskan ini adalah hakikat agama yang mana talian hubungan yang sebenar adalah hubungan aqidah. Hubungan inilah yang menghubungkan antara individu.

Abdul Karim Zaidan menukilkan amalan soleh adalah yang membawa kepada keselamatan di dunia dan akhirat dan bukannya nasab keturunan.

Kitab Tafsir al-Manar dalam menghuraikan kisah ini menjelaskan nasab tidak memberi faedah jika sekalipun orang yang baik tetapi kosong daripada iman dan beramal soleh. Buktinya anak Nabi Nuh AS dari segi nasab keturunan amat tinggi martabatnya tetapi tidak memberi manfaat dan kafir.

Walau apapun al-qur’an telah menjelaskan dalam surah al-Qasas: 56 yang bermaksud “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk.”

Kuliah Maghrib Ustaz Saifullah 26 April 2009

Tuntutan 'Aqidah


Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah: 133 yang bermaksud “Adakah kamu hadir ketika Ya'qub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia Berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalku?" mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (yaitu) Tuhan yang Maha Esa dan kami Hanya tunduk patuh kepada-Nya".

Begitulah keadaan umat terdahulu, umat sebelum Nabi Muhammad SAW. Setiap bangsa ada Nabi dan Rasul bagi mengajar dan mengingatkan mereka agar sentiasa menyeru dan mengingatkan agar patuh pada Allah SWT. Tujuannya agar kehidupan yang sementara ini diredhai Allah SWT bukan disebabkan hal keduniaan tetapi berdasarkan tuntutan agama. Jika kehidupan ini berlandaskan harta pasti ianya akan habis dan umat akan lebih kepada kebendaan dan saling berperang.

Ilmu dan agama adalah sesuatu yang berkembang dan dalam masa yang sama hendaklah berhati-hati dengan harta. Tamadun barat yang mengagungkan keduniaan dan kebendaan yang dianggap berjaya tidak dapat mengharmonikan dunia. Bagi yang kuat peluang untuk menekan yang lemah, yang kaya memerah keringat yang miskin, majikan menekan pekerja dan pelbagai situasi yang meruntuhkan institusi sosial.

Amerika Syarikat yang dianggap Polis Dunia tidak mampu menangani jenayah domestiknya bahkan lebih menumpukan kepada dasar luar bagi mengaburi pandangan masyarakat dunia. Inilah akibatnya mengagungkan tamadun keduniaan tanpa memenuhi tuntutan aqidah naluri manusia.

Sepatutnya tuntutan aqidah adalah melebihi dari segalanya, merentasi seluruh aspek kehidupan ini. Ulama’ lebih ternilai dari doktor yang merawat pesakit mahupun jurutera yang membina bangunan pencakar langit. Doktor merawat fizikal manusia namun tidak dapat merawat iman manusia. Jurutera membina fizikal bangunan namun tidak dapat membina keperibadian manusia yang mendiami bangunan tersebut. Ulama’ merupakan doktor memupuk keimanan dan jurutera membina sifat kemasyarakatan setiap manusia. Jika ulama’ tidak dapat berperanan sebagaimana yang sepatutnya, maka ternyata benarlah hadith yang mengatakan tanda-tanda akan berlakunya kiamat ialah; akan terangkatnya ilmu, minuman arak perkara biasa dan perzinaan berleluasa.

Justeru umat Islam perlu perihatin, pemimpin perlu kembali kepada seluruh sistem Islam, perlu meletakkan sebarang sebab dan akibat berdasarkan dosa dan pahala, perlu melaksana dan mengikut segala perintah dan meninggal menolak segala larangan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah: 217 yang bermaksud “Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah[134]. dan berbuat fitnah[135] lebih besar (dosanya) daripada membunuh. mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, Maka mereka Itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka Itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

[134] jika kita ikuti pendapat Ar Razy, Maka terjemah ayat di atas sebagai berikut: Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar, dan (adalah berarti) menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah dan (menghalangi manusia dari) Masjidilharam. tetapi mengusir penduduknya dari Masjidilharam (Mekah) lebih besar lagi (dosanya) di sisi Allah." pendapat Ar Razy Ini mungkin berdasarkan pertimbangan, bahwa mengusir nabi dan sahabat-sahabatnya dari Masjidilharam sama dengan menumpas agama Islam.
[135] fitnah di sini berarti penganiayaan dan segala perbuatan yang dimaksudkan untuk menindas Islam dan muslimin.

Khutbah Jumaat Ustaz Khairil Khuzairi 24 April 2009

Isnin, April 20, 2009

Kewafatan Saidina Abu Bakar al-Siddiq


Peristiwa kewafatan Saidina Abu Bakar al-Siddiq, khalifah Islam pertama berlaku pada bulan Rabi’ al-Akhir. Beliau merupakan seorang sahabat yang paling ulung dan paling dikasihi Rasulullah SAW. Beliau merupakan orang yang awal memeluk Islam, bersama Rasulullah SAW tatkala senang mahupun susah, orang yang menemani Rasulullah SAW semasa berhijrah, orang yang rela kehabisan harta benda demi Rasulullah SAW dan yang paling besar ialah orang yang diminta Rasulullah SAW mengimani solat ketika Rasulullah SAW sakit.

Abu Bakar al-Siddiq berjaya mengekang fitnah yang pertama setelah kewafatan Rasulullah SAW iaitu terdapat orang yang mengaku menjadi nabi dan rasul. Ketika mana Rasulullah SAW sedang hampir wafat, di Thaqifat Bani Sa’ad kaum ‘Aus dan Khazraj berkumpul dan berbincang tentang pengganti Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar terus pergi ke sana dan menyelesaikan masalah dan perkara yang dibincangkan mereka.

Setiap yang hidup pasti akan mati, begitu jualah Rasulullah SAW wafat pada tarikh sama dengan kelahiran baginda 12 Rabi’ al-Awwal. Keadaan sahabat yang berhadapat kewafatan Rasulullah SAW boleh dikategorikan kepada tiga golongan.

a. Para sahabat kelu, terpinga-pinga, bingung, tidak mempercayai kewafatan Rasulullah SAW dan masing-masing tidak memberi apa-apa komen kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
b. Berkeadaan emosional, sahabat yang paling nyata ialah Omar al-Khattab. Beliau tidak dapat menerima tentang kewafatan Rasulullah SAW disebabkan terlalu kasihkan Rasulullah SAW. Beliau mengatakan sesiapa yang mengatakan Rasulullah SAW telah wafat akan dipenggal kepala orang tersebut.
c. Menerima dengan keadaan yang redha dan dapat mengawal situasi serta berdepan dengan apa yang berlaku. Saidina Abu Bakar al-Siddiq dapat menerima kewafatan Rasulullah SAW. Beliau mengucup dahi Rasulullah SAW dan berkata kepada Omar al-Khattab, “wahai sekalian manusia, sesiapa yang mengabdikan diri kepada Muhammad SAW sesungguhnya baginda wafat, barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Allah SWT kekal dan hidup selama-lamanya. Semua nabi terdahulu wafat, termasuklah Nabi Muhammad SAW.”

Para sahabat setelah mendengar ucapan Saidina Abu Bakar al-Siddiq memahami dua maksud;
i. Kita hanyalah hamba Allah SWT, hanya mengabdikan diri kepadaNya.
ii. Rasulullah SAW adalah utusan yang datang dari Allah SWT, setiap apa yang disampaikan Rasulullah SAW hendaklah dipatuhi dan dituruti.

Omar al-Khattab apabila mendengar kata-kata Saidina Abu Bakar al-Siddiq mengakui kesilapan yang telah dilakukannya yang menganggap Rasulullah SAW tidak wafat.

Inilah antara kelebihan Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang diketahui umum orang yang paling rapat dengan Rasulullah SAW.

Ceramah Umum YB Ustaz Mohd Noor Hamzah 18 April 2009

Gejala Sosial Dalam Masyarakat

Firman Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud; dan tidaklah sekali-kali akan merehdai engkau oleh orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikuti jalan mereka.

Hari ini kita dihebohkan dengan pelbagai masalah sosial terutamanya melibatkan golongan muda dan remaja. Bermula dari tidak mendengar cakap ibu dan bapa, ponteng sekolah, hisap rokok, hidu gam, bohsia, punk, mat rempit, minum arak, hisap dadah, berzina, pelacuran, sumbang mahram, murtad dan pelbagai lagi perkara yang tidak terkawal dalam masyarakat.

Apa yang parah dan menakutkan, 99 peratus dari golongan yang terlibat adalah anak-anak Melayu yang mengaku beragama Islam. Di US duatu ketika dahulu terdapat seorang Melayu yang pintar, Maznah binti Abu Bakar tidak dapat mengelak dari terlibat dengan perkara yang tidak diingini. Dia telah murtad dari Islam dan memeluk Kristian. Tidak cukup setakat itu dia turut terlibat sebagai misionari Kristian.

Satu kes di Kedah, beberapa tahun yang lalu seorang pelajar 13 tahun bernama Osman menghadapi masalah keluarga. Bapanya yang bekerja sebagai penarik beca telah bercerai dengan ibunya, menyebabkannya terbiar tanpa kasih sayang. Suatu hari semasa menunggu bas berulang alik dari sekolah ke rumah, datang seorang pemuda yang baik dan peramah menegur Osman dan bertanya khabar Osman. Pemuda tersebut cukup prihatin dan ambil berat tentangnya. Akibat dari kelakuan pemuda tersebut yang baik hingga Osman senang dan rela hati mengikut kemana sahaja pelawakan pemuda tersebut hingga bertemu paderi di gereja. Akhirnya Osman kini dikhabarkan telah berpindah ke Singapura di atas kerelaan diri dan terlibat secara langsung dengan misionari Kristian.

Bagi mengetahui maklumat lanjut dan terkini berkaitan masalah sosial masyarakat kini, ikuti blog http://urusetialandas.blogspot.com

Ceramah Khas Gejala Sosial Ustaz Kamaruddin Kassim 17 April 2009

Islamnya Saidina Umar al-Khattab

Firman Allah SWT dalam surah Aali Imran: 110

Maksudnya: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.


Ayat di atas menyeru kita sebagai umat Islam agar sentiasa menyuruh kepada kebaikan dan mencegah segala keburukan. Itulah merupakan prasyarat beriman kepada Allah SWT. Natijahnya akan menjadi makhluk serta umat yang terbaik. Dari itu setiap muslim mahu atau tidak mesti mempnyai tiga perkara di atas iaitu:
a. Menyuruh kepada kebaikan
b. Mencegah segala keburukan
c. Beriman kepada Allah SWT

Persoalan mungkin timbul, kenapa muslim mesti menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran terlebih dahulu baru dikehendaki beriman kepada Allah? Ulama’ memberi penjelasan iman adalah umpama pokok, akan subur pokok tersebut apabila dijaga dengan selalu memberi baja dan menghindarkannya dari segala makhluk perosak ianya akan subur. Seterusnya dengan adanya masyarakat yang beriman mendatangkan keberkatan.

Dalam menyebar dan menyeru umat sepaya menjadi masyarakat yang beriman perlu menghadapi pelbagai dugaan. Namun Islam mesti dikembangkan dalam apa jua peristiwa dan keadaan yang berlaku.

Rasulullah SAW pernah mendoakan agar salah seorang Umar memeluk Islam. Doa Rasulullah SAW diperkenankan dan Umar yang memeluk Islam ialah Umar al-Khattab bukannya Umar Ibn Hisyam (Abu Jahal). Pengislaman Umar dicatatkan dalam sejarah ketika Umar merasa amat marah kerana pengaruh Islam makin diterima sehinggalah diterima keluarganya sendiri iaitu adiknya Fatimah al-Khattab.

Ketika Fatimah al-Khattab bersama suaminya Saad bin Zaid mempelajari al-Qur’an dengan seorang sahabat yang Habib, Umar datang dan terus menempeleng Saad dan adiknya Fatimah sehingga kedua-duanya berdarah. Kemudian umar melihat cebisan al-Qur’an yang disembunyikan Fatimah, lalu dia membacanya. Setelah itu hatinya terus tetarik dengan kehebatan al-Qur’an. Kemudian dia melafazkan syahadah di hadapan Habib, Fatimah dan Saad bin Zaid.

Khutbah Jumaat Ustaz Shauki Othman 17 April 2009

Jumaat, April 17, 2009

Kisah Nabi Musa AS dengan Nabi Khadhir (خَضِر )

Nabi Musa AS merupakan salah seorang nabi Ulu al-‘Azmi. Kisah Nabi Musa AS banyak terdapat dalam al-Quran, antara yang masyhur adalah pertemuannya dengan Nabi Khadhir. Kisah ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Abbas dan dalam kebanyakan kitab hadith kisah ini diletakkan dalam bab menuntut ilmu. Ini kerana di sana terdapat tuntutan menuntut ilmu seperti sanggup bernusafir, keinginan untuk belajar, ketaatan kepada guru, memohon kemaafan jika tersilap dan perkara-perkara lain yang boleh diambil pengajaran.

Di dalam al-Quran kisah ini dirakamkan pada surah al-Kahfi: 60 – 82.
60. Dan (Ingatlah) ketika Musa Berkata kepada muridnya[885]: "Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau Aku akan berjalan sampai bertahun-tahun".
61. Maka tatkala mereka sampai ke pertemuan dua buah laut itu, mereka lalai akan ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu.
62. Maka tatkala mereka berjalan lebih jauh, berkatalah Musa kepada muridnya: "Bawalah kemari makanan kita; Sesungguhnya kita Telah merasa letih Karena perjalanan kita ini".
63. Muridnya menjawab: "Tahukah kamu tatkala kita mecari tempat berlindung di batu tadi, Maka Sesungguhnya Aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan Aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali".
64. Musa berkata: "Itulah (tempat) yang kita cari". lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula.

65. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba kami, yang Telah kami berikan kepadanya rahmat dari sisi kami, dan yang Telah kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami[886].
66. Musa Berkata kepada Khidhr: "Bolehkah Aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang Telah diajarkan kepadamu?"
67. Dia menjawab: "Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersama Aku.
68. Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?"
69. Musa berkata: "Insya Allah kamu akan mendapati Aku sebagai orang yang sabar, dan Aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusanpun".
70. Dia berkata: "Jika kamu mengikutiku, Maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai Aku sendiri menerangkannya kepadamu".

71. Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya menaiki perahu lalu Khidhr melobanginya. Musa berkata: "Mengapa kamu melobangi perahu itu akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya?" Sesungguhnya kamu Telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar.
72. Dia (Khidhr) berkata: "Bukankah Aku Telah berkata: "Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku".
73. Musa berkata: "Janganlah kamu menghukum Aku Karena kelupaanku dan janganlah kamu membebani Aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku".

74. Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, Maka Khidhr membunuhnya. Musa berkata: "Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih, bukan Karena dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu Telah melakukan suatu yang mungkar".
75. Khidhr berkata: "Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahwa Sesungguhnya kamu tidak akan dapat sabar bersamaku?"
76. Musa berkata: "Jika Aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, Maka janganlah kamu memperbolehkan Aku menyertaimu, Sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur padaku".

77. Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mau menjamu mereka, Kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, Maka Khidhr menegakkan dinding itu. Musa berkata: "Jikalau kamu mau, niscaya kamu mengambil upah untuk itu".
78. Khidhr berkata: "Inilah perpisahan antara Aku dengan kamu; kelak akan kuberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.

79. Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan Aku bertujuan merusakkan bahtera itu, Karena di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.
80. Dan adapun anak muda itu, Maka keduanya adalah orang-orang mukmin, dan kami khawatir bahwa dia akan mendorong kedua orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran.
81. Dan kami menghendaki, supaya Tuhan mereka mengganti bagi mereka dengan anak lain yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu dan lebih dalam kasih sayangnya (kepada ibu bapaknya).
82. Adapun dinding rumah adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang saleh, Maka Tuhanmu menghendaki agar supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah Aku melakukannya itu menurut kemauanku sendiri. demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya".

[885] menurut ahli tafsir, murid nabi Musa a.s. itu ialah Yusya 'bin Nun.
[886] menurut ahli tafsir hamba di sini ialah Khidhr, dan yang dimaksud dengan rahmat di sini ialah wahyu dan kenabian. sedang yang dimaksud dengan ilmu ialah ilmu tentang yang ghaib seperti yang akan diterangkan dengan ayat-ayat berikut.

Kuliah Maghrib Ustaz Syed Norhisyam 16 April 2009

Khamis, April 16, 2009

Ceramah & Tayangan Slide

Ceramah & Tayangan Slide
Gejala Sosial Masa Kini

Pengisian oleh
al-Fadhil Ustaz Kamaruddin Kassim
Kordinator Urusetia Menangani Gejala Sosial
Kerajaan Negeri Kedah


akan diadakan pada 17 April 2009 (Jumaat)

Selepas Solat Maghrib

di Surau al-Mujahidin, Desa Surada,
Bandar Baru Bangi.


Semua Dijemput Hadir

Selasa, April 14, 2009

Solat Berjamaah

Para sahabat Rasulullah SAW apabila tertinggal satu waktu dari mengerjakan solat secara berjamaah dirasakan seolah-olah ditimpa satu musibah dan akan menyesal di sepanjang hari tersebut. Perasaan ini timbul disebabkan mereka sentiasa mengerjakan solat secara berjamaah.

Tuntutan dalam mengerjakan solat berjamaah ada banyak antaranya ialah;

1. Rasulullah SAW akan merapatkan bahu para sahabat apabila hendak mengerjakan solat berjamaah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “samaratakan saf-saf kamu dan jangan kamu merenggankan saf, sesiapa yang merenggankan saf akan merenggankan hati di antara mereka. Manakala kedudukan saf yang paling utama ialah orang yang matang iaitu baligh, saf kedua ialah yang mumayyiz (tahu bersih dan kotor) dan saf yang ketiga ialah kanak-kanak.

2. Dari Abdullah bin ‘Umar menjelaskan Rasulullah SAW menjelaskan yang bermaksud dengan membuat saf adalah menyamakan antara kedua-dua bahu bersebelahan, memenuhi ruangan saf, bersopan, jangan biarkan ruang kosong. Dengan memenuhkan saf akan disambung rahmat padanya, apabila terputus saf maka terputuslah rahmat.

Selain itu dengan megerjakan solat berjamaah akan dijanjikan 25 dan 27 pahala. Ini adalah gambaran yang akan dianugerahkan Allah SWT kepada hambanya di akhirat kelak.

Kuliah Subuh Ustaz Jamir Saad 12 April 2009

Kelebihan Solawat dan Hak Sesama Muslim

Antara kelebihan solawat adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud ;

1. “ sesiapa yang bersolawat ke atas aku satu solawat, Allah SWT bersolawat ke atasnya 10 solawat”.
2. “sesiapa yang bersolawat ke atas aku seribu solawat, tidak akan mati orang tersebut sehingga diperlihatkannya syurga”.
3. “sesiapa yang bersolawat ke atas aku pada setiap hari Jumaat sebanyak 40 solawat, Allah SWT mencegahnya dari dosanya”.
4. “sesiapa yang bersolawat ke atas aku100 solawat setiap hari. Allah SWT akan memperkenankan 100 hajatnya. 70 dari hajatnya akan diperkenankan di akhirat dan 30 dariya akan diperkenankan di dunia”.

Kita juga sepatutnya mengelak dari rutin harian sebaik sahaja bangun tidur sibuk dengan keaiban orang lain, bukannya menjaga diri dan keaiban sendiri ini akan menyebabkan doa ditolak dan tiada rahmat padanya. Sepatutnya setiap orang Islam memberikan hak sesame muslim sebagaimana berikut;

1. Apabila bertemu hendaklah memberi salam.
2. Apabila diminta memberi nasihat, hendaklah memberi nasihat.
3. Apabila ada orang bersin hendaklah menjawabnya.
4. Apabila sakit hendaklah menziarah
5. Apabila ada orang meninggal dunia hendaklah mengiringi jenazah sampai ke kubur.
6. Apabila ada jemputan hendaklah menghadiri jemputan tersebut.

Kuliah Maghrib Ustaz Ibrahim 11 April 2009

Sabtu, April 11, 2009

Keadaan Orang Yang Tidak Menerima Peringatan Dari Allah SWT

Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk: 6-11 yang bermaksud;

6. Dan orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, memperoleh azab jahannam. dan Itulah seburuk-buruk tempat kembali.
7. Apabila mereka dilemparkan ke dalamnya mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelegak,
8. Hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: "Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?"
9. Mereka menjawab: "Benar ada", Sesungguhnya Telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, Maka kami mendustakan(nya) dan kami katakan: "Allah tidak menurunkan sesuatupun; kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar".
10. Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala".
11. Mereka mengakui dosa mereka. Maka kebinasaanlah bagi penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.

Setelah tiba hari pembalasan golongan yang ingkar dengan perintah Allah SWT tetap berdegil walau telah diberi amaran ketika di dunia. Perkara ini dapat dilihat dari dialog antara orang-orang kafir dengan Allah SWT di dalam ayat di atas.

Pengingkaran manusia yang menolak apa yang telah dikhabarkan dari perintah Allah SWT jawapan mereka tetap sama ada di dunia atau akhirat. Mereka mengetahui azab dan dosa tetapi mereka tetap membuat kemungkaran. Kepada mereka ini sasaran dakwah yang utama bagi menyedarkan dan kembali kepada ketentuan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mencegahnya dengan tangan (kuasa), jika dia tidak mampu hendaklah dia mencegahnya dengan kata-kata (teguran) dan jika dia tetap tidak mampu maka hendaklah dia mencegahnya dengan hati (membenci), dan mencegah dengan hati adalah serendah-rendah iman.

Begitulah keadaannya Rasulullah SAW menegaskan kita wajib mencegah segala bentuk kemungkaran walau hanya dengan hati. Sesuai dengan perintah Allah SWT agar melakukan kebaikan dan mencegah perkara kemungkaran.

Kuliah Subuh Ustaz Hasbullah 11 April 2009

Jumaat, April 10, 2009

Pengertian Dunia

Sabda Rasulullah SAW:
الدنيا مزرعة الأخرة
Maksudnya: dunia adalah tempat untuk bercucuk tanam bagi akhirat.
Dunia perkataan asalnya diambil dari دنو yang memberi maksud dekat, ataupun diambil dari perkataan دناءة yang membawa maksud hina. Dari mana asal sekalipun kedua-duanya adalah sesuai bagi penggunaan maksud bagi dunia. Dari segi istilahnya dunia membawa maksud segala makhluk yang ada di atas muka bumi ini. الدنيا يعني مخلوق ما سوى الله bermaksud dunia adalak segala makhluk kecuali Allah SWT.

Merujuk kepada dunia terdapat hadith masyhur yang yang sering diperkatakan dengan dunia. Hadith tersebut yang dikaitkan dengan niat iaitu ومن كانت هجرته إلى الدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها barangsiapa yang berhijrah kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya (kisah yang dikaitkan dengan Ummu al-Qais). Di penghujung hadith tersebut dikaitkan setiap apa yang dilaksanakan bergantung kepada apa yang dicitakan.

Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya tentang dua perkara iaitu elak dari fitnah wanita dan dunia. Sehubungan itu di dalam menghuraikan maksud hadith niat yang dikaitkan dengan dunia, Imam Nawawi menjelaskan amal hamba di dunia ini dikembalikan kepada tiga peringkat iaitu;
a. Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah SWT ialah amal ibadat seorang hamba.
b. Amal yang dikerjakan kerana inginkan syurga dan pahala adalah amal ibadat seorang saudagar.
c. Amal yang dikerjakan kerana malu, kesyukuran, merasakan diri yang hina, keinsafan dan takut amalan tidak diterima ialah amalan ibadah seorang yang merdeka.

Manakala dua perkara utama yang boleh menyebabkan amalan rosak iaitu;
a. Rasa kagum dengan amalan yang dilakukan, merasa hebat dengan diri sendiri dan merasakan sudah mencukupi dan lebih dari orang lain.
b. Syirik yang paling kecil iaitu riak, amalan yang dilakukan hanya untuk dipertontokan kepada manusia.

Justeru bagi menghadapai dunia ini kembalilah kepada hadith yang awal di atas dan hadith jadilah kita di dunia ini sebagai orang asing atau bermusafir. Dengan itu kita akan selamat dalam kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

Kuliah Maghrib al-Fadhil Dr. Abdul Ghafar Don 10 April 2009

Menurut Kepimpinan Rasulullah SAW


Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab : 21
Maksudnya “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Berdasarkan firman di atas perlu bagi setiap pemimpin mengikuti contoh tauladan yang telah dipraktikkan Rasulullah SAW yang sentiasa beriman dengan perintah Allah SWT. Perkara ini juga dapat diperhalusi melalui perlaksanaan sunnah dan penghayatan nilai-nilai akhlak yang mulia. Gaya kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan akhlak yang mulia ini sentiasa dihormati sama ada lawan mahupun lawan. Ianya diwarisi para sahabat dan semestinya merangkumi umat Islam keseluruhannya.

Sebagai contoh, Saidina Umar al-Khattab walaupun dikenali seorang yang bengis dan garang, sangat disayangi rakyatnya. Pada suatu hari ketika rutin beliau meronda kawasan sekitar, terdengar olehnya seorang kanak-kanak menangis akibat kelaparan. Ibu kanak-kanak tersebut menenagkan anaknya dengan merebus ketulan batu di dalam periuk. Lantas Saidina Umar membawakan guni berisi gandum dan memasakkan untuk kanak-kanak dan wanita tersebut. Dalam masa yang sama wanita tersebut tidak mengenali Saidina Umar selaku khalifah pada masa tersebut yang melakukannya dengan memuji kebaikan yang dilakukan Saidina Umar.

Akauntabiliti Saidina Umar sebagaimana kes di atas pasti dihormati, disanjungi dan disayangi masyarakat. Imam Muslim meriwayatkan hadith yang bermaksud ‘setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang dipimpinnya.

Selain itu setiap pemimpin perlu sentiasa proaktif terhadap gaya kepimpinan kepada masyarakat. Tidaklah hanya berlagak sebagai pengarah, pengurus atau pentadbir semata-mata tetapi perlu mempengaruhi suasana persekitaran masyarakat. Perlu mempunyai gaya kepimpinan dengan kehendak rakyat. Dapat mengetahui apa yang rakyat mahukan dan dapat mempastikan rakyat melakukan apa yang dikendakinya.

Setiap pemimpin perlu mempunyai cirri-ciri berikut;

1. Bertanggungjawab dengan berpegang teguh dengan dasar akidah Islam yang sebenar, tidak ‘asabiyyah dan Islam liberal. Firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf: 43 maksudnya “Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.

2. Penghayatan budaya ilmu yang sentiasa bersandarkan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar: 9 maksudnya “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

3. Sentiasa mengikut syariat dan akhlak Islam berdasarkan perintah Allah SWT dan adab-adabnya. Dalam al-Quran surah al-Ahzab: 36 yang bermaksud “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

4. Keterbukaan dan menerima pandangan baik dan sedia terima kritikan serta pandangan. Sentiasa mengamalkan muafakat dan musyawarah dan tidak gentar dengan pandangan berbeza. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar: 18 maksudnya “Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

5. Sentiasa muhasabah, kerap membuat penilaian terhadap tugas dan mencari kelemahan untuk diperbaiki. Saidina Umar menjelaskan “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitungkan (di akhirat kelak).

6. Sanggup berkorban, tidak mementingkan diri sendiri serta dapat membezakan antara kepentingan peribadi dan kepentingan awam. Perjelasan dalam al-Quran surah al-Hasyr: 9 bermaksud “dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Khutbah Jumaat al-Fadhil Ustaz Ramli Sidom 10 April 2009

Rabu, April 08, 2009

Sifat Yang Perlu Dimiliki Imam

Dalam sesuatu organisasi, kumpulan mahupun pekerjaan perlu ada seorang ketua. Begitu halnya apabila dalam solat berjamaah memerlukan seorang ketua yang disebut sebagai imam. Jika pemilihan ketua dalam sesuatu organisasi penting bagi membentuk corak pentadbiran dan pengurusan, pemilihan imam di dalam solat adalah lebih penting dari perkara tersebut. Ini kerana solat merupakan tunggak asas bagi kehidupan setiap muslim.

Untuk itu imam yang dipilih bagi mengetuai solat berjamaah memerlikan kriteria yang khusus selaras tuntutan kehendak agama. Muslim meriwayatkan hadith dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud orang yang menjadi imam perlulah yang paling baik bacaannya, jika sama keadaannya dengan yang lain maka hendaklah memilih orang yang paling alim dengan sunnah, jika sama juga dengan yang lain maka pilihlah siapa yang lebih dahulu berhijrah, jika sama juga maka hendaklah memilih orang yang lebih tua.

Berdasarkan perkara di atas kebanyakkan ulamak menetapkan syarat-syarat sifat orang yang menjadi imam adalah seperti berikut;

1. Orang yang paling faqih iaitu orang yang pali dalam pengetahuan ilmu agamanya.
2. Orang yang paling elok bacaannya dalam erti kata betul dengan kehendak tajwidnya berserta dengan kefasihan bacaan.
3. Orang yang mempunyai akhlak yang terpuji, bukan sekadar tonjolan semata-mata tetapi yang sebati dalam diri jiwanya.
4. Orang yang paling tua, namun perlulah diperhalusi iaitu perlu melepasi ketiga-tiga syarat yang telah dinyatakan di atas.

Oleh itu seseorang yang menjadi imam sepatutnya memahami dan mengetahui tentang sifat-sifat yang seharusnya dimiliki oleh imam.

Kuliah Maghrib Ustaz Yaakub 8 April 2009

Isnin, April 06, 2009

Masyarakat Masa Kini

Sedar mahupun tidak kita semakin ke hadapan, banyak perkara yang perlu ditempuhi. Namun kadang-kadang kita lupa ke mana arah tuju yang sebenarnya. Kita sebenarnya lupa dan alpa dengan dunia kita sendiri. Hanya Islam yang mampu menyelamatkan kita di dunia ini mahupun di akhirat kelak.

Michael Jackson, seorang penyanyi terkenal dunia dikatakan telah memeluk Islam. Berita tersebut benar atau tidak tidak dapat dipastikan, hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui. Pengislaman Michael Jackson ada yang mengaitkannya setelah berlakunya zaman kejatuhan beliau dan ada juga yang mengatakan beliau dalam keadaan yang tidak stabil hingga tidak boleh melelapkan mata. Bahkan ada yang mengatakan beliau terpaksa tidur dalam alat khas barulah dapat melelapkan mata. Dari itu dia cuba mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya dengan memeluk Islam. Untuk itu kita yang sudah lama berada di dalam Islam perlu bersyukur dengan nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Tidak perlu tinggal dalam alat khas untuk tidur, memadai dengan menghadiri kuliah-kuliah di masjid dan duduk di penjuru tiang, pasti akan lena.

Usahkan majlis ilmu seperti kuliah maghrib, khutbah yang diperdengarkan khatib setiap hari Juma’at pun menjadi alat mengulit kita tidur. Tidak cukup dengan itu, khatib pula lebih gemar membaca khutbah dari berkhutbah, itulah antara penyebab utama makmum yang dengar khutbah terus lena. Sedangkan sunnah Rasulullah SAW apabila berkhutbah tangan kiri memegang pedang atau tongkat dan tangan kanan memegang bahagian ‘kanan mimbar’. Akibat dari amalan membaca khutbah sunnah ini tidak dapat dilaksanakan sebab tangan memegang teks khutbah.

Apabila berada dalam masjid hendaklah berada dengan penuh beradab. Ini kerana masjid adalah Rumah Allah SWT, mana mungkin kita samakan rumah kita dengan Rumah Allah SWT. Oleh itu duduklah dengan penuh tertib dan sebaik-baik duduk bagi menuntut ilmu adalah duduk iftirash iaitu duduk seperti duduk tahyiat pertama. Rasulullah SAW mengambil wahyu dari malaikat Jibril secara berdepan dan bersentuhan lutut antara keduanya. Keadaan duduknya adalah duduk iftirash. Namun kita usahkan duduk iftirash, tetapi jika boleh semua yang hadir di masjid ingin mencari tiang atau dinding untuk menyandar.

Diberitakan seorang tabi’in Said bin Musaiyad selama 40 tahun datang ke masjid sebelum takbir al-uula dan sebelum masuk waktu solat fardhu. Berbeza dengan kita pada hari ini, selagi tidak kedengaran azan selagi itu tidak pergi ke masjid bahkan ada tidak pergi langsung ke masjid walau dengar dengan jelas azan dilaungkan.

Seorang ulama’ silam bertembung dengan khalifah yang mengagungkan ulama’. Semasa berada di dalam masjid khalifah datang bertemu ulamak tersebut dan memberikan hadiah kebendaan kepadanya. Ulamak tersebut menolak dengan mengatakan dia malu untuk menerima habuan dunia di tempat yang mulia ini. Maka beredarlah khalifah tersebut dan menunggu ulamak tersebut di luar masjid. Tatkala ulama’ tersebut keluar masjid, khalifah mengejar ulama’ tadi dan mengulangi sekali lagi hajatnya untuk memberi hadiah kepada ulama’ tersebut. Lantas ulama’ tersebut menjawab, jika di dalam masjid tempat yang paling mulia aku malu untuk menerima habuan dunia dari makhluk inikan pula di luar masjid. Maka berlalulah khalifah tersebut tanpa dapat memberikan apa-apa kepada ulama’ tersebut.

Ibn Abbas RA mengatakan tiga sebab manusia lupa dan asyik kepada dunia iaitu habuan dunia, hawa nafsu dan syaitan. Hadith Rasulullah SAW menjelaskan ; “dunia merupakan tempat untuk bercucuk tanam bagi akhirat”. Oleh itu hendaklah kita sentiasa mengutamakan akhirat berbanding dunia yang sementara ini.

Selain itu banyak lagi perkara lain yang mesti kita perhatikan dan ubahnya agar selaras dengan al-Quran dan sunnah. Ianya meliputi aurat terutamanya aurat anak perempuan dan isteri. Rasulullah SAW semasa mi’raj melihat di dalam syurga ramai di kalangan fakir miskin dan di dalam neraka ramai dari golongan perempuan.

Sama-sama kita kita berusaha menjalankan perkara sunnah walau kecil. Suatu ketika seorang sahabat yang miskin mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa dia miskin. Rasulullah SAW mengajarkan kepadanya apabila pulang ke rumah amalkan memberi salam dan membaca sekali surah al-Ikhlas jika ada orang dalam rumah tersebut. Manakala jika tidak ada orang di dalamnya, hendaklah memberi salam disusuli dengan solawat ke atas Rasulullah SAW dan bacaan surah al-Ikhlas. Insya Allah rezeki semua penghuni dalam rumah tersebut dimurahi.

Ceramah Bulanan Ustaz Kushairi 4 April 2009

Ahad, April 05, 2009

Mencari Sahabat

Ibn Qayyum al-Jauzi menjelaskan; sebaik-baik perkara makruf adalah menegakkan agama Allah SWT dan seburuk-buruk perkara mungkar ialah meninggalkan hukum Allah SWT.

Dalam menegakkan hukum Allah SWT merangkumi pelbagai aspek. Bermula dari menegakkan daulah Islamiyah hinggalah kepada bab persahabatan. Persahabatan merupakan sesuatu yang keperluan bagi setiap manusia. Tiada manusia yang tidak mempunyai sahabat.

Kewajipan mencari sahabat merupakan salah satu tuntutan dalam Islam. Islam menganjurkan dendaklah kita berkasih sayang kerana Allah SWT. Saidina Umar menjelaskan mempunyai sahabat merupakan suatu kebanggaan ketika senang dan bekalan di waktu susah. Bahkan jika kita ingin melihat keadaan seseorang itu lihatlah kepada keadaan kawannya.

Intipati persahabatan dapat juga dilihat perlakuan di dalam solat berjamaah. Antaranya ketika di dalam saf. Jika keadaan saf betul dan sama mengikut sebagaimana saranan Rasulullah SAW ianya akan membentuk kesatuan hati-hati satu sama lain. Ini kerana mana mungkin seseorang yang mengaku bersahabat tetapi di dalam solat keadaan safnya renggang dan tidak sempurna. Sedangkan kesempurnaan saf dapat memperkuatkan lagi hubungan sesama muslim.

Kuliah Subuh Ustaz al-Kauthar 4 April 2009

Sabtu, April 04, 2009

Hari Jumaat

Firman Allah SWT dalam Surah al-Juma’at: 9

Maksudnya: 9. Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan shalat Jum'at, Maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli[1475]. yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu Mengetahui.

[1475] Maksudnya: apabila imam Telah naik mimbar dan muazzin Telah azan di hari Jum'at, Maka kaum muslimin wajib bersegera memenuhi panggilan muazzin itu dan meninggalakan semua pekerjaannya.

Menunaikan solat Jumaat merupakan suatu tuntutan wajib bagi setiap muslim yang mukallaf. Tiada pengecualian diberikan dari meninggalkannya. Bahkan terdapat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja selama tiga kali ianya akan menjadi kafir.

Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor menetapkan sesiapa yang tidak menunaikan solat Juma’at jika sabit dengan kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM 1,000.00 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Hari Juma’at merupakan hari yang mulia, ianya merupakan penghulu segala hari. Maksud dari hadith rasulullah SAW menjelaskan; penghulu hari ialah hari Juma’at. Hari Juma’at merupakan hari yang paling mulia di sisi Allah SWT dan Rasulullah SAW. Kemuliaan hari Juma’at turut dapat dilihat berdasarkan beberapa saranan antaranya galakan beriktikaf pada hari Juma’at kerana terdapat waktu istijabah doa pada hari tersebut.

Dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda; barangsiapa yang datang ke masjid selepas selesai mandi junub pada waktu pertama akan dianugerahkan pahala umpama mengorbankan seekor unta. Barangsiapa yang datang pada waktu kedua akan akan diberi ganjaran umpama seekor lembu, waktu ketiga seekor kibas, waktu keempat umpama ibu ayam dan waktu kelima diibaratkan ganjaran pahala sebesar telur. Manakala tatkala imam naik ke mimbar dan bersedia berkhutbah, para malaikat telah mengambil tempat untuk mendengar khutbah.

Kebesaran hari Juma’at tidak dapat dinafikan. Sehinggakan di dalam riwayat lain menyatakan sesiapa yang mati pada hari Juma’at akan dilepaskan dari seksaan kubur pada hari tersebut. Justeru marilah kita mengambil kesempatan mengutamakan hari Juma’at melebihi dari hari-hari lain dan seelok-eloknya jadikanlah hari Juma’at sebagai hari cuti mingguan bagi kita.

Khutbah Jumaat al-Fadhil Imam Mohamad Shukor Atan 3 April 2009

Khamis, April 02, 2009

Mukjizat Hissiyyah Rasulullah SAW

Rasulullah SAW merupakan ikutan bagi seluruh makhluk di dunia ini. Bukan setakat makhluk yang bergelar manusia, makhluk-makhluk lain meliputi binatang, tumbuhan dan benda-benda persekitaran turut mengakui Rasulullah sebagai utusa Allah SWT. Hal ini dapat disaksikan berpandu mukjizat yang diberi kepada Rasulullah SAW terutamanya yang bersifat hissiyyah (dapat dilihat).

Antara mukjizat hissiyyah yang pernah berlaku adalah seperti berikut:

i. Rasulullah SAW pernah membelah bulan. Hal ini disaksikan golongan beriman dan musyrikin di Mekah semasa era dakwah Rasulullah SAW di sana. Di zaman mutakhir ini pembuktian tentang pembelahan bulan ini disahkan NASA yang meninjau keadaan bulan dan mendapati terdapat garisan pada bulan yang memberi maksud suatu masa dahulu bulan pernah terbelah dan tercantum semula.

ii. Makanan yang sedikit boleh mengenyangkan ramai orang. Kisahnya berlaku ketika para sahabat (golongan ahli suffah) yang berada di masjid dalam keadaan kelaparan. Pada kebiasaannya golongan sahabat ini akan dirai dan diberi makan oleh sahabat yang lain yang mempunyai bekalan makanan. Namun pada hari tersebut tiada seorang sahabat pun yang mempelawa golongan ahli suffah tersebut untuk menjamu selera di rumah mereka. Rasulullah SAW melihat keadaan mereka yang kelaparan dan tiada sahabat lain yang mempelawa. Lantas Rasulullah SAW mempelawa kesemua sahabat ahli suffah tersebut yang dikatakan sejumlah sekitar 30 hingga 50 orang ke rumah.

Di rumah Rasulullah SAW hanya mempunyai semangkuk susu yang dihadiahkan kepadanya. Rasulullah SAW mengambil susu tersebut dan mendoakan kapada Allah SWT, kemudian menugaskan Abu Hurairah membahagikan kepada para sahabat yang kelaparan. Terdetik dalam hati Abu Hurairah adakah cukup semangkuk susu untuk para sahabat yang ramai ini. Namun Abu Hurairah tetap menjalankan tugas yang disuruh Rasulullah SAW. Setelah selesai semua sahabat minum susu tersebut, tiba giliran Abu Hurairah meminumnya dan ternyata susu tersebut cukup diminum sahabat yang ramai walaupun sedikit.

iii. Batu memberi salam kepada Rasulullah.

iv. Batang tamar kering menangis teresak-esak.

v. Air terpancar dari jari Rasulullah SAW.

vi. Kambing mengucap syahadah ketika dilapah dan dibakar.

vii. Kambing Ummu Ma’bad mengeluarkan susu yang banyak ketika Rasulullah SAW memegang labu susunya.

viii. Kejadian Abu Jahal yang tidak dapat menghentakkan kepala Rasulullah SAW dengan batu walau telah mengangkat dan menghalakan kepada Rasulullah SAW.

ix. Awan melindungi Rasulullah SAW ketika dalam perjalanan menghala ke Syam.

x. Pengkhabaran Rasulullah SAW terhadap perkara yang bakal berlaku iaitu kekalahan Kerajaan Rom kepada Kerajaan Parsi.

xi. Setiap apa yang Rasulullah doakan adalah mustajab.

xii. Ma’sum (terpelihara) dari terbunuh dalam medan peperangan.

Walau sekian banyak mukjizat yang dinyatakan di atas, hakikatnya jika tiada mukjizat sekalipun sudah boleh menjinakkan hati setiap manusia apabila melihat keperibadian Rasulullah SAW yang mulia dan terpuji.

Kuliah Maghrib Prof Madya Ustaz Kamaruddin Salleh 1 April 2009

Rabu, April 01, 2009

Perkara-perkara yang membuat kita hilang ingatan dan tumpul minda

Kurangkan makan bawang besar
Kurangkan makan berempah
Kurangkan makan ketumbar kering
Kurangkan menonton hiburan
Kurangkan membaca majalah hiburan
Kurangkan ketawa yang panjang atau terbahak-bahak
Kurangkan minuman air batu,air dalam tin(100 plus dan lain2)
Kurangkan makan organ dalaman ayam terutamanya kanak2
Jangan makan kepala ikan
Jangan minum air yang ada semut
Jangan tidur selepas subuh
Jangan tidur selepas asar
Jangan tidur selepas makan
Jangan makan terlalu kenyang
Jangan makan berat selepas jam 9......00 malam
Jangan menyapu rumah pada waktu malam
Jangan makan yang masam-masam berlebihan
Jangan dicampur makan laut dan darat dalam satu hidangan
Jangan minum susu selepas memakan daging/ayam

Perkara-perkara yang perlu diamalkan

Selalu makan buah manisan seperti kurma dan lain2
Selalu makan makanan yang panas2
Selalu memakan kekacang seperti kacang soya @ badam dan lain2
Selalu minum air masak
Selalu makan ulam2
Selalu mengamalkan pandangan hijau
Selalu bersenam
Selau menggunakan imajenasi otak
Banyakkan memakan makanan berasaskan gandum/soya
Banyakkan aktiviti berkhemah di hutan/pantai( yang mempunyai pokok) kerana disitulah terdapat banyak ion2 negetif dan cahaya matahari infra merah (terutama pada waktu pagi) yang amat diperlukan oleh tubuh badan,kerana hanya kawasan seperti ini sahaja yang mempunyai % yang cukup untuk kegunaan kita seharian berbanding dalam bangunan batu ianya terlalu sedikit
Jangan ego
Jangan dengki pada orang lain
Jangan makan dari sumber yang tidak halal
Jangan memberi anak makan makanan dari sumber yang tidak halal
Jangan makan makanan yang ada pewarna
Jangan makan makanan yang ada pengawet
Jangan mengunakan minyak masak lebih dari 2 kali
Jangan mandi selepas 9.00malam
......dan yang paling penting dibawah ini........
selamat beramal.....

Jangan sengaja lewatkan solat.
Perbuatan ini Allah tidak suka.
Kalau tertidur lain cerita.
Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas
kaki (selipar).
Takut kalau-kalau terbawa keluar najis,
mengotori seluruh rumah kita.
Jangan makan dan minum dalam
bekas yang pecah atau sumbing.
Makruh kerana ia membahayakan.
Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah
digunakan tidak berbasuh.
Makruh dan mewarisi kepapaan.
Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti
rezeki mahal
(kerana berpagi-pagi itu membuka pintu
berkat).
Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan.
Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.
Jangan keluar rumah
tanpa niat untuk membuat kebaikan..
Takut-takut kita mati dalam
perjalanan.
Jangan pakai sepatu atau selipar yang
berlainan pasangan.
Makruh dan mewarisi kepapaan.
Jangan biarkan mata liar di perjalanan.
Nanti hati kita gelap
diselaputi dosa.
Jangan menangguh taubat bila berbuat
dosa kerana mati boleh datang
bila-bila masa.
Jangan ego untuk meminta maaf pada
ibu bapa dan sesama manusia
kalau memang kita bersalah.
Jangan mengumpat sesama rakan
taulan. Nanti rosak persahabatan kita
hilang bahagia.
Jangan lupa bergantung kepada ALLAH
dalam setiap kerja kita.
Nanti kita sombong apabila berjaya.
Kalau gagal kecewa pula.
Jangan bakhil untuk bersedekah.
Sedekah itu memanjangkan umur
dan memurahkan rezeki kita...
Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah
ciri-ciri munafik dan
menghilangkan kasih orang kepada kita.
Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa
makhluk yang teraniaya
cepat dimakbulkan ALLAH.
Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia.
Akhirat itu lebih utama
dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN.
Sebab semuanya untuk keselamatan kita...
ALLAH lebih tahu apa yang terbaik
untuk hamba ciptaanNya.

Wasalam

"Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun"
(Sabda Rasulullah SAW)

"Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar."

(Surah Al-Ahzab:71)