Jumaat, April 10, 2009

Menurut Kepimpinan Rasulullah SAW

Posted by Surau al-Mujahidin on Jumaat, April 10, 2009 in | No comments

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab : 21
Maksudnya “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Berdasarkan firman di atas perlu bagi setiap pemimpin mengikuti contoh tauladan yang telah dipraktikkan Rasulullah SAW yang sentiasa beriman dengan perintah Allah SWT. Perkara ini juga dapat diperhalusi melalui perlaksanaan sunnah dan penghayatan nilai-nilai akhlak yang mulia. Gaya kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan akhlak yang mulia ini sentiasa dihormati sama ada lawan mahupun lawan. Ianya diwarisi para sahabat dan semestinya merangkumi umat Islam keseluruhannya.

Sebagai contoh, Saidina Umar al-Khattab walaupun dikenali seorang yang bengis dan garang, sangat disayangi rakyatnya. Pada suatu hari ketika rutin beliau meronda kawasan sekitar, terdengar olehnya seorang kanak-kanak menangis akibat kelaparan. Ibu kanak-kanak tersebut menenagkan anaknya dengan merebus ketulan batu di dalam periuk. Lantas Saidina Umar membawakan guni berisi gandum dan memasakkan untuk kanak-kanak dan wanita tersebut. Dalam masa yang sama wanita tersebut tidak mengenali Saidina Umar selaku khalifah pada masa tersebut yang melakukannya dengan memuji kebaikan yang dilakukan Saidina Umar.

Akauntabiliti Saidina Umar sebagaimana kes di atas pasti dihormati, disanjungi dan disayangi masyarakat. Imam Muslim meriwayatkan hadith yang bermaksud ‘setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang dipimpinnya.

Selain itu setiap pemimpin perlu sentiasa proaktif terhadap gaya kepimpinan kepada masyarakat. Tidaklah hanya berlagak sebagai pengarah, pengurus atau pentadbir semata-mata tetapi perlu mempengaruhi suasana persekitaran masyarakat. Perlu mempunyai gaya kepimpinan dengan kehendak rakyat. Dapat mengetahui apa yang rakyat mahukan dan dapat mempastikan rakyat melakukan apa yang dikendakinya.

Setiap pemimpin perlu mempunyai cirri-ciri berikut;

1. Bertanggungjawab dengan berpegang teguh dengan dasar akidah Islam yang sebenar, tidak ‘asabiyyah dan Islam liberal. Firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf: 43 maksudnya “Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.

2. Penghayatan budaya ilmu yang sentiasa bersandarkan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar: 9 maksudnya “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

3. Sentiasa mengikut syariat dan akhlak Islam berdasarkan perintah Allah SWT dan adab-adabnya. Dalam al-Quran surah al-Ahzab: 36 yang bermaksud “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

4. Keterbukaan dan menerima pandangan baik dan sedia terima kritikan serta pandangan. Sentiasa mengamalkan muafakat dan musyawarah dan tidak gentar dengan pandangan berbeza. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar: 18 maksudnya “Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

5. Sentiasa muhasabah, kerap membuat penilaian terhadap tugas dan mencari kelemahan untuk diperbaiki. Saidina Umar menjelaskan “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitungkan (di akhirat kelak).

6. Sanggup berkorban, tidak mementingkan diri sendiri serta dapat membezakan antara kepentingan peribadi dan kepentingan awam. Perjelasan dalam al-Quran surah al-Hasyr: 9 bermaksud “dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Khutbah Jumaat al-Fadhil Ustaz Ramli Sidom 10 April 2009

0 ulasan:

Catat Ulasan