Isnin, April 20, 2009

Kewafatan Saidina Abu Bakar al-Siddiq

Posted by Surau al-Mujahidin on Isnin, April 20, 2009 in | No comments

Peristiwa kewafatan Saidina Abu Bakar al-Siddiq, khalifah Islam pertama berlaku pada bulan Rabi’ al-Akhir. Beliau merupakan seorang sahabat yang paling ulung dan paling dikasihi Rasulullah SAW. Beliau merupakan orang yang awal memeluk Islam, bersama Rasulullah SAW tatkala senang mahupun susah, orang yang menemani Rasulullah SAW semasa berhijrah, orang yang rela kehabisan harta benda demi Rasulullah SAW dan yang paling besar ialah orang yang diminta Rasulullah SAW mengimani solat ketika Rasulullah SAW sakit.

Abu Bakar al-Siddiq berjaya mengekang fitnah yang pertama setelah kewafatan Rasulullah SAW iaitu terdapat orang yang mengaku menjadi nabi dan rasul. Ketika mana Rasulullah SAW sedang hampir wafat, di Thaqifat Bani Sa’ad kaum ‘Aus dan Khazraj berkumpul dan berbincang tentang pengganti Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar terus pergi ke sana dan menyelesaikan masalah dan perkara yang dibincangkan mereka.

Setiap yang hidup pasti akan mati, begitu jualah Rasulullah SAW wafat pada tarikh sama dengan kelahiran baginda 12 Rabi’ al-Awwal. Keadaan sahabat yang berhadapat kewafatan Rasulullah SAW boleh dikategorikan kepada tiga golongan.

a. Para sahabat kelu, terpinga-pinga, bingung, tidak mempercayai kewafatan Rasulullah SAW dan masing-masing tidak memberi apa-apa komen kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
b. Berkeadaan emosional, sahabat yang paling nyata ialah Omar al-Khattab. Beliau tidak dapat menerima tentang kewafatan Rasulullah SAW disebabkan terlalu kasihkan Rasulullah SAW. Beliau mengatakan sesiapa yang mengatakan Rasulullah SAW telah wafat akan dipenggal kepala orang tersebut.
c. Menerima dengan keadaan yang redha dan dapat mengawal situasi serta berdepan dengan apa yang berlaku. Saidina Abu Bakar al-Siddiq dapat menerima kewafatan Rasulullah SAW. Beliau mengucup dahi Rasulullah SAW dan berkata kepada Omar al-Khattab, “wahai sekalian manusia, sesiapa yang mengabdikan diri kepada Muhammad SAW sesungguhnya baginda wafat, barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Allah SWT kekal dan hidup selama-lamanya. Semua nabi terdahulu wafat, termasuklah Nabi Muhammad SAW.”

Para sahabat setelah mendengar ucapan Saidina Abu Bakar al-Siddiq memahami dua maksud;
i. Kita hanyalah hamba Allah SWT, hanya mengabdikan diri kepadaNya.
ii. Rasulullah SAW adalah utusan yang datang dari Allah SWT, setiap apa yang disampaikan Rasulullah SAW hendaklah dipatuhi dan dituruti.

Omar al-Khattab apabila mendengar kata-kata Saidina Abu Bakar al-Siddiq mengakui kesilapan yang telah dilakukannya yang menganggap Rasulullah SAW tidak wafat.

Inilah antara kelebihan Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang diketahui umum orang yang paling rapat dengan Rasulullah SAW.

Ceramah Umum YB Ustaz Mohd Noor Hamzah 18 April 2009

0 ulasan:

Catat Ulasan