Rabu, April 28, 2010

Perihal Taqwa

Posted by Surau al-Mujahidin on Rabu, April 28, 2010 in | No comments
Taqwa tidak hanya difahami melaksanakan perintah dan meninggalkan segala larangan tetapi perlu disematkan cinta kepada Rasulullah SAW. Ini kerana tidak beriman seseorang itu hingga dia mengasihi Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dengan taqwa mengangkat ‘izzah sebagai ‘ummah wasata’.

Suatu ketika Abu Dzar yang merupakan salah seorang sahabah meminta wasiat dari Rasulullah SAW; lantas Rasulullah SAW mewasiatkannya dengan berftaqwa kepada Allah SWT. Ini menjelaskan bahawa taqwa merupakan kepala segala urusan. Setiap permasalahan tidak akan selesai tanpa taqwa kerana ianya merupakan kunci segala urusan iaitu kunci takut kepada Allah SWT.

Seorang ayah yang bertaqwa tidak hanya bekerja keras untuk menyediakan kelengkapan zahir bagi anak-anak dan ahli keluarga tetapi bekerja keras untuk menyelamatkan ahli keluarganya di dunia dan di akhirat sebagaimana maksud ayat al-Quran, jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka. Begitu juga seorang suami yang bertaqwa bukan hanya menyediakan keperluan zahir dan batin bagi isteri tetapi sentiasa mendidik dan menegur isterinya dari perbuatan mungkar. Andaikata seseorang tidak pernah menyuruh isterinya melaksanakan solat pun termasuk tidak menegur isterinya dari perbuatan mungkar dan merupakan suatu pengkhianatan kepada Allah SWT.

Ketaqwaan seorang anak tidak terlepas dari kewajipannya terhadap kedua ibu bapa. Setiap anak mesti menjaga hati orang tua dengan memastikan mereka tidak kecewa bahkan perlu menggembirakan mereka ketikamana mereka masih hidup. Andaikata keduanya telah meninggal dunia maka hendaklah sentiasa mendoakan mereka.

Taqwa seorang jiran dengan menggembirakan jiran yang lain, taqwa seorang peniaga mahupun pekerja hendaklah menggembirakan majikannya. Taqwa para pemimpin semestinya membawa kehidupan rakyat selesa semasa di dunia mahupun di akhirat.

Apa yang berlaku kini khususnya para pemimpin tidak memandang berat perihal taqwa yang selalu diberi peringatan setiap kali Jumaat. Perbuatan fitnah sudah menjadi lumrah sedangkan fitnah adalah lebih berat dari membunuh. Tiada perpecahan dalam umat Islam yang lebih dahsyat selain dari fitnah yang dilemparkan. Isteri Rasulullah SAW, Saidatina ‘Aisyah pernah difitnah, Khalifah al-Rasyidun Saidina Othman dan Saidina Ali pernah difitnah dan mewujudkan pembunuhan serta perpecahan di dalam ummah.

Manusia sanggup mengatakan apa sahaja tiada sebab lain kecuali sebab cintakan dunia. Perkara halal dan haram sudah tidak lagi dipedulikan apatah lagi ajaran agama. Sedangkan akar umbi kepada akhlak yang mulia adalah agama. Kerosakan akhlak yang ada kini tidak akan dapat diselesaikan kecuali berlandaskan agama. Segala yang berlaku kerana tiada lagi nilai agama yang diterapkan, yang ada hanya kecemerlangan akademik.

Hukum tidak dipedulikan, solat diabaikan, makan minum tidak dipastikan kesahihan, pendapatan tidak dihiraukan sumber, penglihatan tidak dijaga. Inilah akan merosakan asas ketamadunan dunia. Kini ramai yang tidak bertamadun walau zahir nampak bertamadun. Inilah perlunya kepada perubahan dasar bukan hanya bercakap sahaja.

Khutbah Jumaat Dr Badrulamin Bahrom 23 April 2010

0 ulasan:

Catat Ulasan