Khamis, April 01, 2010

Bebalisme

Posted by Surau al-Mujahidin on Khamis, April 01, 2010 in | 1 comment
Firman allah SWT dalam al-Quran surah Thaha ayat 124:
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ
Maksudnya: Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Merujuk kepada ayat di atas jelas Allah SWT mempertegaskan sesiapa yang tidak mengikut perintah Allah SWT pasti kehidupannya menjadi sempit. Perkara ini dapat dilihat di dalam kehidupan kita seharian. Kadar jenayah semakin menjadi-jadi dan perbuatan tidak bermoral sudah melata dari institusi yang paling ataz sehinggalah akar umbi di bawahnya.

Sebagaimana yang dilaporkan kadar jenayah di Negara kita dari tahun 2008 hingga 2009 puratanya 200,000 kes. Secara khusus pada 2009 sahaja mencecah 209,000 kes. Ini adalah suatu angka yang membimbangkan, namun dipihak pemerintah perkara ini tetap diteruskan dengan perlaksanaan undang-undang sedia ada bahkan tidak mahu mengguna pakai pun sistemperundangan Islam yang diperuntukkan al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 110:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ
Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Tiada pengecualian lagi untuk menjadi sebaik-baik ummah mesti melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan dalam masa yang sama mesti beriman kepada Allah SWT. Penyelesaian segala perkara di dunia ini telah dinyatakan al-Quran, tiada yang lain sesempurna al-Quran. Janganlah disebabkan penolakan kita terhadap al-Quran menyebabkan pandangan non-Muslim terhadap hokum al-Quran hanyalah sebagai hukum potong tangan dan kaki. Hakikatnya Utusan Agung Nabi Muhammad SAW sentiasa menyeru kearah kebaikan dan menghalang benda jahat melalui syariat Allah SWT.

Para ulama’ menjelaskan yang dimaksudkan dengan menyeru ke arah kebaikan adalah merujuk kepada pembuat polisi sesuatu negara. Setiap tindakan yang dilakukan mestilah berlandaskan maslahah umat Islam. Bukan hanya merujuk maslahah ekonomi atau keduniaan semata-mata.

Diumpamakan terdapat di dalam negara kita maslahah yang buruk (mulghah) iaitu penggunaan arak di Malaysia adalah 10 tertinggi di dunia apabila dinisbahkan dengan penduduk semasa. Dari segi zahirnya tetap ada kebaikan iaitu dengan penjualan arak kerajaan akan memperolehi hasil yang lumayan tetapi pada masa yang sama arak adalah perkara yang diharamkan bagi umat Islam. Begitu juga dengan hasil judi yang diperolehi, pada 2008 cukai judi yang dipungut kerajaan mencecah RM 2,370 juta, ini adalah suatu angka yang cukup besar.

Begitu juga perkara yang cukup mengecewakan apabila Laporan Ketua Audit Negara 2008 mensasarkan negara mengalami ketirisan sejumlah RM 28 ribu juta. Bayangkanlah betapa banyaknya hasil mahsul yang disalahgunakan dalam menangani suasana politik yang rakus yang boleh diistilahkan sebagai ‘Bebalisme’.

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Rum ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Demikianlah setiap perkara yang dilontarkan mestilah mempunyai hujah dan maslahahnya. Dalam masa yang sama hendaklah berpegang kepada amanah yang telah dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.

Ceramah Semasa YB Ustaz Mohd Nasir Zakaria 31 Mac 2010

1 ulasan: