Selasa, Mac 23, 2010

Syarat & Rukun Solat

Posted by Surau al-Mujahidin on Selasa, Mac 23, 2010 in | No comments
Setiap orang yang beriman mesti melaksanakan ibadah solat. Ini kerana dengan melakukan solat ianya dapat mencegah perkara fahsya’ dan mungkar. Pensyariatan solat dan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama adalah selaras dengan tuntutan fitrah manusia.

Tujuan utama syariat diturunkan adalah merangkumi lima perkara pokok iaitu bertujuan menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga nyawa. Dikhabarkan terdapat suatu kisah di zaman Rasulullah SAW terdapat seorang sahabat yang baru memeluk Islam. Hobi utama sahabat tersebut sebelum memeluk Islam adalah berzina, lalu setelah memeluk Islam beliau meminta izin dari Rasulullah SAW agar memberikan pelepasan kepadanya meneruskan hobi lamanya berzina. Lalu Rasulullah SAW menanyakan kepadanya adakah dia suka kalau orang berzina dengan adik beradik perempuannya? Jawapannya tidak. Ditambah lagi adakah suka jika orang berzina dengan anak perempuannya? Jawabnya tidak, jika orang berzina dengan isteri? Tidak, berzina dengan ibunya? Tidak. Begitulah jawapan lelaki tersebut walaupun dia suka berzina tetapi akal yang warasnya tidak menyukai jika ada orang yang berzina dengan kaum kerabatnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah. Fitrah manusia sememangnya tidak menyukai kepada benda-benda yang buruk. Semestinya juga fitrah manusia menyukai kepada benda-benda baik dan berguna seumpama zikir.

Zikir dibahagikan kepada dua dimensi, satunya yang bersifat dalaman yang mana hati sentiasa mengingati Allah SWT. Manakala demensi yang kedua adalah bersifat zahir yang sering diucap dan dilafazkan dengan kalimah-kalimah mulia seperti لا إله إلا الله ataupun yang seumpamanya.

Kembali semula kepada solat, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat. Disini terdapat dua maksud hadith ini berkaitan dengan lihat, pertamanya melihat secara zahir dengan mata kepala perlakuan solat Nabi. Keduanya adalah melihat dengan mata hati melalui pembelajaran dan kefahaman yang jitu. Ini kerana solat itu merupakan perkara yang besar dan tuntutan yang utama di dalam Islam.

Bagi perlaksanaan solat yang sempurna hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut;

1. Mesti memenuhi syarat, syarat ialah merupakan perkara yang kekal bermula dari awal solat sehinggalah selesai. Ianya jika dinisbahkan kepada manusia umpama ruh, jika tiada ruh manusia tidak akan hidup. Contoh syarat solat ialah Islam dan berwudhuk.
2. Perlu melaksanakan rukun, rukun ialah perkara yang tidak kekal keadaannya di dalam solat. Ianya diumpamakan seperti kepala dan tubuh manusia dan contoh rukun ialah niat dan bacaan surah al-Fatihah.
3. Memenuhi tuntutan sunat ab’ad iaitu diibaratkan sebagai anggota badan, walaupun ada kepala dan tubuh tetapi manusia tidak sempurna tanpa anggota badan. Contohnya seperti bacaan semasa rukuk dan sujud.
4. Meliputi perkara sunat haiat yang diibaratkan seperti kumis bagi lelaki. Contohnya dalam solat ialah bacaan tiga kali bagi rukuk dan sujud.

Kuliah maghrib Ustaz Nazir Zakaria 22 Mac 2010.

0 ulasan:

Catat Ulasan