Selasa, Disember 18, 2018

Program Rehlah dan Riadah Remaja ke Bukit Gasing

Posted by Norhayati Sulaiman on Selasa, Disember 18, 2018 | No comments
Pada 11 Disember 2018 yang lepas, pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin, Taman Desa Surada, telah berjaya menganjurkan Program Jatidiri di Bukit Gasing, Petaling Jaya. Program ini telah disertai oleh remaja Taman Desa Surada dan mendapat penyertaan yang menggalakkan. Sokongan yang padu telah diberikan oleh AJK Surau AL MujahidinPensyarah  Universiti Kebangsaan Malaysia, para siswazah UKM dan masyarakat Taman Desa Surada sendiri.

Seramai 7 (tujuh) pasukan peserta yang terdiri daripada 5 pasukan lelaki dan 2 pasukan perempuan telah dibentuk dari seramai 47 orang peserta. Peserta program ini terdiri dari remaja yang berumur 7 hingga 15 tahun sahaja.

Seramai 15 orang fasilitator telah ditugaskan dalam menjayakan program ini.  Kebanyakan fasilitator ini merupakan siswazah-siswazah UKM dan pembimbing Kelas Mengaji dan Persediaan di Surau serta para  siswazah yang tinggal di taman ini.  Para fasilitator ini diketuai oleh Saudara  Muhammad Hazziq bin Saiful Bahari, seorang siswazah UKM yang juga merupakan imam bagi aktiviti Qiamullail dalam program ini.

Program ini dimulakan dengan aktiviti Qiamullail khas untuk remaja lelaki yang dimulakan seawal pukul 5.00 pagi.  Selepas itu, ia diteruskan dengan Solat Subuh secara berjemaah dengan ahli kariah yang lain. Pada pukul 8.00 pagi, pendaftaran peserta dimulakan dan setiap peserta diberikan sarapan pagi.

Peserta diberikan taklimat yang padat tapi ringkas sebagai persediaan untuk melaksanakan program ini. Mereka semua bertolak ke lokasi program pada pukul 9.00 pagi. Sebanyak sebuah bas dan empat buah kereta bergerak bersama ke lokasi program ini.

Sampai sahaja ke lokasi aktiviti, iaitu Bukit Gasing, Petaling Jaya, aktiviti mendaki terus dilaksanakan. Selesai mendaki bukit dan melaksanakan beberapa aktiviti bersama fasilitator, para peseta menuruni bukit tersebut. Para peserta kemudiannya, bergerak dengan menaiki bas, ke masjid yang berdekatan, iaitu Masjid Sultan Salahudin, Petaling Jaya,  untuk solat Zuhor dan makan tengahari. 

Kemudian, para fasilitator melaksanakan  beberapa aktiviti lagi bersama dengan peserta di masjid tersebut dan tamat pada pukul 5.00  petang. Seterusnya sesi penyampaian hadiah telah diadakan  di mana kumpulan peserta yang menang menerima hadiah daripada Prof, Madya Dr. Siti Norul Huda Sheikh Abdullah, Ketua Muslimat Surau Al Mujahidin dan Ketua Projek UKM AP2017-005-2 yang bertajuk "Modul Swa-Pencegahan Jenayah Remaja". Modul ini telah dibangunkan oleh kumpulan penyelidik dari UKM yang terdiri daripada Dr. Zaizul Abdul Rahman, Dr. Adawiyah Ismail dan Prof. Madya Dr. Siti Norul Huda sendiri.

Akhir kata,diharapkan dari program sebegini, ia  mampu menjadi suatu platform dalam mendidik anak remaja taman ini ke arah yang lebih positif dalam mengharungi kehidupan yang mencabar dewasa ini. Pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telibadalam menjayakan program ini. Mohon maaf juga diminta jika ada sebarang kekurangan dalam perlaksanaaan program ini.

















0 ulasan:

Catat Ulasan