Selasa, September 01, 2009

Mencapai Hidayah

Posted by Surau al-Mujahidin on Selasa, September 01, 2009 in | No comments
Hidayah terbahagi kepada tiga;

1. Hidayah Taufiq
Hidayah ini merupakan hidayah yang tertinggi dikurniakan Allah SWT terhadap hambanya. Tiada manusia yang dapat memberikan hidayah ini walau Nabi Adam AS terhadap anaknya Habil dan Qabil, Nabi Nuh AS terhadap anaknya yang tidak mahu mengikutnya menaiki kapal, Nabi Ibrahim AS terhadap bapanya yang membuat berhala mahupun Nabi Muhammad SAW terhadap bapa saudaranya Abu Talib.

2. Hidayah Da’wah
Hidayah ini boleh diperolehi dengan menjadikan diri dan jiwa setiap muslim itu umpama air yang mutlak dan bukannya musta’mal. Dalam erti kata seorang yang menjadikan dirinya bukan setakat baik untuknya sahaja tetapi dapat membentuk dan mendidik orang lain untuk menjadi baik sama.

3. Hidayah Sabab
Hidayah ini memerlukan setiap manusia sentiasa memohon kepada Allah SWT agar sentiasa menetapkan hatinya dan istiqamah dalam urusan ibadah yang sentiasa dilaksanakannya.

Bagi mencapai hidayah jua hendaklah memenuhi tuntutan Islam yang hakiki bukannya setakat amalan ibadah semata-mata. Ini disebabkan Islam merangkumi Ibadah, Muamalat, Munakahat dan Jinayat. Hubungkait empat elemen ini menjadikan Islam syumul dalam segenap aspek kehidupan.

Dalam mencapai hidayah syaitan sentiasa mencari jalan menyesatkan manusia. Syaitan berjanji dengan Allah SWT akan menyesatkan seluruh umat manusia bermula zaman Nabi Adam AS sehingga hari kiamat kelak. Bahkan dalam dunia moden pada hari ini manusia amat teruja dua perkara yang dieksploitasi sepenuhnya oleh syaitan iaitu dalam aspek hiburan dan sukan.

Bahkan dalam setiap diri manusia akan disimpulkan setiap hari dengan tiga simpulan syaitan. Simpulan ini hanya akan terurai yang pertama apabila bangun sebelum daripada subuh, kemudian terurainya simpulan kedua apabila terus mengambil wudhu’. Terputusnya ketiga-tiga simpulan syaitan tatkala seseorang mengangkat takbir bagi menunaikan solat subuh pada hari tersebut.

Kuliah Ramadhan Ustaz Kamaruzaman 11 Ramadhan 1430.

0 ulasan:

Catat Ulasan