Rabu, September 09, 2009

Ceramah Nuzul al-Quran

Posted by Surau al-Mujahidin on Rabu, September 09, 2009 in | No comments
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia, rentetan dari itu barangsiapa yang meninggal dunia pada bulan Ramadhan yang mana dia merupakan seorang yang sentiasa berbuat ketaatan kepada Allah SWT maka matinya merupakan suatu kemuliaan. Sebaliknya jika seseorang yang meninggal dunia pada bulan Ramadhan tetapi perangainya yang sentiasa mengingkari Allah SWT tetap keadaannya sama seperti matinya orang yang kufur kepada Allah SWT. Tiada kemuliaan padanya sama ada bulan Ramadhan atau selainnya.

Bagi menjadikan seseorang yang sentiasa taat dan patuh kepada perintah Allah SWT perlulah berperang dengan hawa nafsu. Inaya sentiasa menghalang manusia setiap detik dan saat bagi melaksanakan perintah Allah SWT. Walau di bulan ramadhan, syaitan telah dibelenggu tetapi hawa nafsu di dalam diri manusia tetap bermaharajalela.

Jika diteliti ramai manusia hanya mengingati Allah SWT tatkala di dalam kesusahan dan ditimpa musibah. Jika tidak kerana musibah pasti dari hari ke hari semakin jauh dari mengingati Allah SWT. Sepatutnya hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT walau ketika senang kerana Allah SWT akan mengingati hambanya ketika hambanya ditimpa kesusahan. Umat yang soleh akan sentiasa mengingati Allah SWT dan mengharapkan setiap tahun dengan adanya bulan Ramadhan akan memberikan kerahmatan dan kemuliaan kepada mereka.

Diriwayatkan seseorang yang membaca al-Quran akan dimuliakan ibu bapa mereka dengan disarungkan mahkota di atas kepala mereka, apatah lagi di bulan Ramadhan ini kelebihan yang diberikan Allah adalah berlipat ganda. Namun manusia tetap lupa apa yang telah dijanjikan Allah SWT.

Hal ini selaras dengan sumpahan syaitan di hadapan Allah SWT bahawa akan menyesatkan manusia selama-lamanya di dunia ini. Tatkala tiba di hari akhirat syaitan yang sasma akan memberikan tazkirah kepada manusia kerana di atas kealpaan manusia telah rela mengikut hasutan syaitan.

Ingatlah sebenarnya di bulan Ramadhan ini Allah SWT memberikan tiga perkara kepada manusia;
1. Pintu syurga akan dibuka seluas-luasnya
2. Pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya
3. Syaitan akan dirantai dari menghasut manusia

Justeru Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar melaksanakan tiga perkara di bulan Ramadhan terutama di akhir-akhirnya ;
1. Menghidupkan malam dengan ibadah
2. Mengejutkan ahli keluarga bersama-sama beribadah malam
3. Meninggalkan dari melakukan persetubuhan.

Ceramah Nuzul al-Quran Ustaz Kusyairi 18 Ramadhan 1430

0 ulasan:

Catat Ulasan