Selasa, November 09, 2010

Persoalan Amanah

Posted by Surau al-Mujahidin on Selasa, November 09, 2010 in | No comments
Sabda Rasulullah SAW, apabila dipersiakan amanah maka tunggulah datangnya Qiamat. Ada pula yang bertanya, bagaimakah cara amanah itu dipersiakan? Dijelaskan kemudiannya oleh Rasulullah SAW, dipersiakan amanah itu apabila ianya diberikan kepada bukan ahlinya.

Jelas daripada hadith di atas antara sifat utama yang perlu ada di dalam diri manusia ialah bersifat amanah. Ia juga merupakan suatu sifat yang wujud di dalam hati seumpama taqwa jua. Syeikh Ali Tantawi dalam penulisannya mempersoalkan “Adakah kamu amanah?”. Untuk itu beberapa perkara yang dianjurkan sebagai garis panduan melengkapkan diri sebagai orang yang amanah. Jika perkara tersebut tidak dilaksanakan, yakinlah bahawa masih dalam golongan yang tidak beramanah. Perkara tersebut adalah seperti berikut;

1. Jika berhutang, adakah wujud perasaan hendak membayar hutang pada masa yang dijanjikan walau ianya tidak termaktub di dalam mana-mana dokumen sekalipun.
2. Jika ada orang meninggalkan sebarang bentuk barangan, adakah dijaga seperti menjaga barang kepunyaan sendiri, iaitu tidak menggunakannya kecuali dengan izin pemiliknya yang asal.
3. Jika seorang penjual, adakah memberi kepada pembeli barangan yang paling elok dengan harga yang paling murah, dalam ertikata tidak mengambil kesempatan kepada pengguna.
4. Jika seorang doktor, dikunjungi seorang wanita cantik padanya yang ingin mendapat rawatan, adakah dia akan menundukkan pandangan dan tidak melihat kepada anggota-anggota yang diperlukan sahaja.
5. Jika seorang penjawat awam, yang berada di ruangannya, apabila melihat perempuan masuk ke arahnya, apakah menganggapnya sebagai adik kandung yang tidak akan dikhianati.
6. Ketahuilah kedudukan, persahabatan dan kecantikan jika disalahgunakan ianya menjadi lebih teruk dari rasuah wang ringgit.
7. Ketahuilah mata, telinga dan anggota lain manusia adalah ciptaan Allah SWT, janganlah diperlakukannya dengan benda-benda yang tidak sepatutnya secara terangan mahupun sembunyian.
8. Demikian jua anak-anak adalah amanah kepada setiap ibu bapa dan kepada merekalah dipertanggungjawabkan semuanya.

Namun mutakhir ini amanah yang lebih besar adalah berkisar kepada kuasa dan kepimpinan. Apabila pemimpin yang memegang puncak kuasa sewenangnya mencabuli amanah pastinya manusia lebih cepat menuju kehancuran.

Kuliah Maghrib Ustaz Fazdi al-Marangi 8 November 2010

0 ulasan:

Catat Ulasan