Isnin, November 29, 2010

Majlis Berkhatan Perdana & Pelancaran SSRC

Posted by Surau al-Mujahidin on Isnin, November 29, 2010 in | No comments
Sumber http://drshafie.blogspot.com/2010/11/khatan-perdana-pelancaran-ssrc-di.html

Pagi ini Adun Bangi mempunyai dua jemputan berkhatan di musim persekolahan bercuti ini. 9.30 pagi berada di Surada. Acara di sini mempunyai beberapa tahap. Bermula dari sembahyang Subuh dan berakhir jam 5.00 petang dengan bersukan. Ketibaan Adun di sini diiring oleh Mejer (B) Abdul Halim Pengerusi Penduduk dan Saudara Shukor Atan Pengerusi Surau Al-Mujahidin ke anjung surau dengan ibu bapa dan anak-anak, khususnya yang akan berkhatan memenuhi anjung surau. Majlis di sini adalah Majlis Perasmian Berkhatan dan Perasmian Penubuhan Surada Sport Recreation Club (SSRC).

Majlis dipengerusikan oleh saudara Rusli Jusoh yang menjemput pertama berucap ialah Saudara Shukor Atan yang berterima kasih di atas sambutan yang diberikan oleh ibu bapa bagi anak-anak yang berkhatan dan penduduk yang datang memeriahkan perasmian. Beliau memaklumkan jumlah anak-anak yang berkhatan adalah seramai 23 orang. Tempat berkhatan ialah di Dewan Orang Ramai yang bersebelahan dengan surau. Beliau juga berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh Az-Zahrah Islamic Medical Centre Bandar Baru Bangi. Mejer (B) Abdul Halim memaklumkan tentang penubuhan Kelab Sukan Dan Rekreasi Surada bertujuan untuk menghimpun anak-anak muda ke dalam satu badan yang dinamakan dengan SSRC. Melalui badan ini anak-anak dilatih dan bergiat di dalam sukan, pendidikan dan rekreasi. Dengan ini mereka tidak terabai dan terdedah kepada gejala sosial yang boleh merosakkan. Sebaliknya mereka berada di bawah bimbingan dan kegiatan yang memanfaatkan.

Adun Bangi mengucap terima kasih di atas jemputan dan bersyukur dapat bersama kegiatan Majlis Berkhatan Perdana yang mendapat sambutan yang amat baik dari ibu bapa. Beliau sukacita melihat surau di samping Dewan Orang Ramai berdekatan menjadi tempat berbagai-bagai kegiatan penduduk. Menurutnya penduduk di Surada memang rapat dan bersatu padu dan selalu memberi kerjasama kepada sebarang kegiatan yang dianjur oleh surau dan Persatuan Penduduk. Beliau tertarik dengan penubuhan SSRC dan sedia bekerjasama di dalam sebarang kegiatan yang dianjurkan. Adun Bangi merasmikan Majjlis Khatan Perdana dan SSRC yang diikuti dengan pemotongan ikatan baner tentang SSRC dan penyampaian cenderahati kepada anak-anak yang berkhatan.


Berikutnya semua pihak keluar dari surau ke medan di mana anak-anak berkhatan diiringi pasukan berkompang naik ke lori untuk diarak keliling kawasan perumahan yang dilepaskan oleh Adun. Selepas berkeliling mereka kembali ke surau untuk dimandikan secara menyembur dan memancut air paip kepada anak-anak yang berkhatan secara berkumpulan. Berikutnya Adun melawat tempat berkhatan di Dewan Orang Ramai disambut oleh doktor, jururawat dan pembantu-pembantu yang akan menjalankan perkhatanan.

0 ulasan:

Catat Ulasan