Rabu, Jun 09, 2010

Cinta kasih kepada Rasulullah SAW

Posted by Surau al-Mujahidin on Rabu, Jun 09, 2010 in | No comments

Hakikat di dunia ini walaupun Allah SWT telah menurunkan al-Quran dan Rasulullah SAW sebagai utusanNya manusia tetap tidak menerima kepimpinan yang diterapkan Allah SWT melalui Rasulullah SAW. Bahkan ada di kalangan manusia lebih seronok berada di dalam kegelapan, seronok di dalam kancah maksiat serta kefasadan yang dilakukan. Mereka terang-terangan terpedaya dengan tipu daya dunia, tiada merasa apa-apa walau perkara yang dilakukan adalah mengahalal apa yang diharamkan Allah SWT dan mengharamkan apa yang dihalalkan Allah SWT.

Dikisahkan suatu malam Syeikh Abdul Qadir al-Jilani telah diperlihatkan kepadanya malam yang gelap telah menjadi cerah, dalam masa yang sama muncul lembaga yang mengaku Tuhan dan berkata kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani “aku halalkan kepada kamu perkara yang haram”. Mendengar sahaja ungkapan tersebut al-Jilani terus berkata “berambuslah kamu”. Maka dengan serta-merta keadaan yang cerah tadi bertukar menjadi gelap dan lembaga tadi terus menjadi asap. Bertanya murid al-Jilani kepadanya apakah benda tersebut dan al-Jilani menegaskan itulah syaitan yang menggoda manusia.

Syariat Allah SWT lengkap merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Rentetan itu tidak seharusnya seseorang itu hanya pada nama sahaja sebagai Islam tetapi hendaklah beramal dengan kehendak dan tuntutan Islam. Ini tidak dapat dinafikan kerana manusia sering terlupa dan sering cintakan kepada tiga ‘ta’; harta, tahta dan wanita. Buktinya akibat dari cintakan tiga ‘ta’ tersebut sibuk mengejar siang dan malam.

Hendaklah diingat, jangan sesekali berputus asa dalam melaksanakan kerja-kerja Islam. Secara rela mahupun terpaksa kerja-kerja Islam mesti terus dilaksanakan. Ianya sebagai komitmen dan bukti bahawa inilah kepatuhan kepada Allah SWT dan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Antara perkara yang membuktikan cinta kepada Rasulullah SAW merangkumi;
1. Melaksanakan sunnah Rasulullah SAW dan tidak melakukan perkara yang dilarangnya.
2. Sentiasa menyebut dan merinduinya sebagaimana perihal seorang sahabah yang bernama Thauban yang terlalu rindu kepada Rasulullah SAW sehingga jika tidak berjumpa Rasulullah SAW akan sedih dan murung.
3. Perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW di mana-mana sekalipun.
4. Sentiasa beradab dengan Rasulullah SAW dengan mendahulukan sunnahnya.
5. Belajar al-Quran, bukan setakat membacanya sahaja bahkan mengaplikasikan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.
6. Bermusuh-musuhan adalah kerana Allah SWT dan berkasih-sayang juga kerana Allah SWT.

Kuliah maghrib Ustaz Khairil Khuzairi Omar 8 Jun 2010

0 ulasan:

Catat Ulasan