Khamis, Jun 27, 2019

Semarak Akifi dan Kuliah Dhuha Muslimat

Posted by Norhayati Sulaiman on Khamis, Jun 27, 2019 | No comments
Tanggal 25 Mei 2019 bersamaan 20 Ramadan 1440H, pihak AJK Muslimat Surau Al Mujahidin telah berkolaborasi dengan Lajnah Dakwah Serdang, telah mengadakan program Semarak Akifi dan Kuliah Dhuha bersama Ustazah Asma binti Harun. Memandangkan Ramadan berbaki 10 hari sahaja lagi, maka kami mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua Muslimat Taman Desa Surada dan kariah berdekatan untuk bersama-sama mengadakan solat Tasbih, mengalunkan Zikir Akifi dan mendengar sedikit pesanan daripada Ustazah Asma bt Harun sebagai bekalan untuk Ramadan yang berbaki.

Program ini bermula seawal pukul 8.30 pagi dengan dimulai dengan Solat Tasbih yang dibimbing oleh Ustazah Radhiah. Sebelum memulakan solat, kami telah diberi penerangan oleh Ustazah Radhiah tentang  tatacara solat ini dan cara yang betul untuk bersolat oleh jemaah wanita yang melibatkan rukun qauli, fi'li dan qalbi . Setelah itu, solat dilakukan dengan diimamkan sendiri oleh Ustazah Radhiah. 

Setelah selesai melaksanakan solat sunat tersebut, kami dibimbing untuk mengalunkan Zikir Akifi yan sangat sesuai untuk menguatkan spiritual para wanita. Zikir ini menggunakan buku panduan kecil yang dibawa oleh Ustazah Radhiah sendiri. Zikir ini tidak mengambil masa yang panjang, dan ianya sempat kami tamatkan sebelum Ustazah Asma memulakan ceramah.

Memandangkan tinggal 10 hari sahaja lagi untuk Ramadan pergi, maka tajuk yang diberikan kepada Ustazah Asma adalah "Pecutan Terakhir 10 Ramadan". Antara yang beliau tekankan adalah tentang membaca AlQuran di mana kebiasaannya kita akan bertadarus ketika bulan Ramadan ini dan memberhentikan membacanya setelah tamat mengaji mengikut kumpulan Tadarus kita. Seeloknya bacaan kita itu diteruskan dan ikutilah langkah-langkah ulamak terdahulu yang mampu mengkhatamkan Al Quran hampir 30 kali sebulan Ramadan. Dalam masa yang sama, ambillah masa untuk mentadabbur bacaan yang dibaca. Ini adalah untuk kita menghayati kalam Allah ini dan kenapa ia diturunkan.

Kuliah yang disampaikan sangat padat dan berguna. Namun begitu kami tidak dapat lama bersama dengan Ustazah lantaran Ustazah perlu ke tempat lain selepas itu. Namun begitu sempat juga kami mengambil gambar kenang-kenagna bersama Ustzah Asma. Kuliah yang berakhir pada pukul 11.30 pagi ini banyak memberikan input buat kami menjalani ibadah puasa dengan melakukan pecutan di akhir-akhir Ramadan. Semoga ibadah kita di sepanjang Ramadan tahun ini diterima oleh Alllah swt.










0 ulasan:

Catat Ulasan