Isnin, Ogos 02, 2010

Trip Bantuan Padang Terap

Posted by Surau al-Mujahidin on Isnin, Ogos 02, 2010 in | No comments
Alhamdulillah sekali lagi Surau al-Mujahidin, Desa Surada mencipta sejarah apabila buat kali pertamanya pihak surau telah mengadakan rombongan trip bantuan ke kawasan Padang Terap yang berada di Negeri Kedah darul Aman.
Rombongan ini bertolak ke Padang Terap jam 10.00 malam 30 Julai 2010 yang diketuai En Mohd Azam. Ahli rombongan terdiri dari Tn Mohamad Shukor Atan (Pengerusi Surau), En Mohd Gaddafi, En Rosli Jusoh, En Jahidin, Ustaz Mohamad Kasim, En Zamri Pahharuddin, Tn Hj Din, En Hasyim, En Bujang, En Ruslan Ishak, En Zaini, Saudara Elias dan seorang pemandu lori. Perjalanan ke sana menaiki tiga buah kenderaan iaiti 2 MPV dan 1 lori 3 tan.


Sekitar jam 5.00 pagi rombongan telah sampai ke Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Setelah selesai solat Subuh sekitar jam 7.00 pagi rombongan diiringi Ustaz Hamizan, Pengerusi Terap Care berangkat menuju Padang Terap dan tempat utama yang menjadi pilihan menghulurkan bantuan pada kali ini ialah sekitar perkampungan Sungai Ular, Kampung Kura, Kampung Pok Ka, Kampung Baru Panglima Hitam dan kawasan sekitar Kilang Gula Padang Terap.

Singgahan pertama tempat menurun dan mengumpul barangan yang dibawa

YB Ustaz Nasir Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap (berbaju petak) menyambut ketibaan ahli rombongan


Rumah penerima sumbangan

Setibanya di lokasi pengagihan barangan, rombongan telah disambut YB Ustaz Nasir Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap. Beliau meluangkan masa bersama ahli rombongan dari rumah pertama yang diserahkan bantuan hinggalah selesai pengagihan yang dijalankan kira-kira jam 1.00 tengah hari. Setelah selesai, YB Ustaz Nasir membawa ahli rombongan ke majlis jamuan makan yang mana menu utama pada hari tersebut ialah gulai daging kerbau bersama batang pisang lembut ikan rebus cicah sambal, sungguh menyelerakan.


Jamuan makan tengah hari

Sebelum bertolak pulang ke Desa Surada, ahli rombongan sebahagiannya sempat bertemu penduduk dan dihadiahkan buah dokong serta rambutan yang agak banyak. Manakala sebahagian yang lain mempersiapkan diri untuk bergerak pulang. Jam 4.00 petang rombongan mula keluar dari kawasan Padang Terap menuju ke Kota Setar dan kemudiannya kembali ke Taman Desa Surada, Bandar Baru Bangi. Tepat jam 12.00 malam sampailah ke destinasi rumah masing-masing.


Selamat tinggal Padang Terap, InsyaAllah panjang umur, murah rezeki, kami akan datang lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan