Rabu, Februari 25, 2009

ALLAH AL-MUSAWWIR

Posted by Surau al-Mujahidin on Rabu, Februari 25, 2009 in | No comments
Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan. Saban hari kita berkunjung ke tempat-tempat awam untuk beriadhah, menenangkan fikiran serta menjalankan lain-lain aktiviti sosial. Adakah kita sentiasa memerhatikan wajah-wajah manusia di sekitar kita? Apakah wujudnya persamaan atau kelainan antara mereka? Subhanallah, hanya Allah Yang Maha Menciptakan Segala Rupa Bentuk (al-Musawwir) sahaja yang bebas dan berkuasa menentukan rupa bentuk manusia mengikut kehendak dan ketentuan-Nya.
Seorang ibu yang baru melahirkan anak pasti mengharapkan anaknya comel dan cantik. Namun dia tiada upaya menentukan rupa bentuk anaknya tersebut. Urusan menentukan rupa bentuk seseorang manusia hanyalah terserah kepada Allah.
Manusia tidak sesekali boleh mencampuri urusan Allah dalam segala hal sekalipun. Tiada keupayaan manusia untuk campur tangan dalam urusan Allah. Sebagai contoh tarikh kematian seseorang hanya Allah sahaja yang tahu, tiada sesiapa yang boleh meminta ditangguhkan atau sebagainya.
Maha Suci Allah Yang Maha Menciptakan Segala Rupa Bentuk (al-Musawwir). Kita tidak boleh mengubah rupa bentuk atau wajah yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Jika dilakukan juga sama ada melalui teknik pembedahan atau kaedah teknologi moden yang lain ianya dikira mengubah ciptaan Allah. Melainkan jika pembedahan atau kaedah yang dilakukan tersebut untuk tujuan kesihatan.
Sepatutnya perkara yang perlu diubah dalam diri manusia adalah perangai dan akhlak, bukannya merubah rupa bentuk zahiriah yang Allah ciptakan. Daripada perangai yang berada di tahap mazmumah (buruk) kepada tahap mahmudah (baik) dan daripada seorang yang tidak berakhlak kepada seorang yang berakhlak mulia. Allah Yang Maha Menciptakan Segala Rupa Bentuk (al-Musawwir) mencakupi seluruh makhluk ciptaannya. Allah menjadikan haiwan ada yang bengis, hodoh dan manja. Allah menjadikan pantai dan lautan sentiasa memberikan ketenangan apabila mengunjunginya. Allah menjadikan bunga-bungaan dengan pelbagai warna menjadikan ianya sentiasa menarik perhatian dan Allah menjadikan manusia rupa yang pelbagai supaya manusia mensyukuri nikmat-Nya. – Asuh April 2007.

0 ulasan:

Catat Ulasan