Isnin, November 29, 2010

Majlis Berkhatan Perdana & Pelancaran SSRC

Sumber http://drshafie.blogspot.com/2010/11/khatan-perdana-pelancaran-ssrc-di.html

Pagi ini Adun Bangi mempunyai dua jemputan berkhatan di musim persekolahan bercuti ini. 9.30 pagi berada di Surada. Acara di sini mempunyai beberapa tahap. Bermula dari sembahyang Subuh dan berakhir jam 5.00 petang dengan bersukan. Ketibaan Adun di sini diiring oleh Mejer (B) Abdul Halim Pengerusi Penduduk dan Saudara Shukor Atan Pengerusi Surau Al-Mujahidin ke anjung surau dengan ibu bapa dan anak-anak, khususnya yang akan berkhatan memenuhi anjung surau. Majlis di sini adalah Majlis Perasmian Berkhatan dan Perasmian Penubuhan Surada Sport Recreation Club (SSRC).

Majlis dipengerusikan oleh saudara Rusli Jusoh yang menjemput pertama berucap ialah Saudara Shukor Atan yang berterima kasih di atas sambutan yang diberikan oleh ibu bapa bagi anak-anak yang berkhatan dan penduduk yang datang memeriahkan perasmian. Beliau memaklumkan jumlah anak-anak yang berkhatan adalah seramai 23 orang. Tempat berkhatan ialah di Dewan Orang Ramai yang bersebelahan dengan surau. Beliau juga berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh Az-Zahrah Islamic Medical Centre Bandar Baru Bangi. Mejer (B) Abdul Halim memaklumkan tentang penubuhan Kelab Sukan Dan Rekreasi Surada bertujuan untuk menghimpun anak-anak muda ke dalam satu badan yang dinamakan dengan SSRC. Melalui badan ini anak-anak dilatih dan bergiat di dalam sukan, pendidikan dan rekreasi. Dengan ini mereka tidak terabai dan terdedah kepada gejala sosial yang boleh merosakkan. Sebaliknya mereka berada di bawah bimbingan dan kegiatan yang memanfaatkan.

Adun Bangi mengucap terima kasih di atas jemputan dan bersyukur dapat bersama kegiatan Majlis Berkhatan Perdana yang mendapat sambutan yang amat baik dari ibu bapa. Beliau sukacita melihat surau di samping Dewan Orang Ramai berdekatan menjadi tempat berbagai-bagai kegiatan penduduk. Menurutnya penduduk di Surada memang rapat dan bersatu padu dan selalu memberi kerjasama kepada sebarang kegiatan yang dianjur oleh surau dan Persatuan Penduduk. Beliau tertarik dengan penubuhan SSRC dan sedia bekerjasama di dalam sebarang kegiatan yang dianjurkan. Adun Bangi merasmikan Majjlis Khatan Perdana dan SSRC yang diikuti dengan pemotongan ikatan baner tentang SSRC dan penyampaian cenderahati kepada anak-anak yang berkhatan.


Berikutnya semua pihak keluar dari surau ke medan di mana anak-anak berkhatan diiringi pasukan berkompang naik ke lori untuk diarak keliling kawasan perumahan yang dilepaskan oleh Adun. Selepas berkeliling mereka kembali ke surau untuk dimandikan secara menyembur dan memancut air paip kepada anak-anak yang berkhatan secara berkumpulan. Berikutnya Adun melawat tempat berkhatan di Dewan Orang Ramai disambut oleh doktor, jururawat dan pembantu-pembantu yang akan menjalankan perkhatanan.

Ahad, November 28, 2010

Khamis, November 25, 2010

Jumaat, November 12, 2010

Penyerahan Korban ke Sabah

Ustaz Mohd Farhan al-Hafiz menerima sumbangan korban dari Pengerusi Surau, Tn Mohd Shukor Atan pada 11 Nov 2010.
















Rabu, November 10, 2010

Selasa, November 09, 2010

Persoalan Amanah

Sabda Rasulullah SAW, apabila dipersiakan amanah maka tunggulah datangnya Qiamat. Ada pula yang bertanya, bagaimakah cara amanah itu dipersiakan? Dijelaskan kemudiannya oleh Rasulullah SAW, dipersiakan amanah itu apabila ianya diberikan kepada bukan ahlinya.

Jelas daripada hadith di atas antara sifat utama yang perlu ada di dalam diri manusia ialah bersifat amanah. Ia juga merupakan suatu sifat yang wujud di dalam hati seumpama taqwa jua. Syeikh Ali Tantawi dalam penulisannya mempersoalkan “Adakah kamu amanah?”. Untuk itu beberapa perkara yang dianjurkan sebagai garis panduan melengkapkan diri sebagai orang yang amanah. Jika perkara tersebut tidak dilaksanakan, yakinlah bahawa masih dalam golongan yang tidak beramanah. Perkara tersebut adalah seperti berikut;

1. Jika berhutang, adakah wujud perasaan hendak membayar hutang pada masa yang dijanjikan walau ianya tidak termaktub di dalam mana-mana dokumen sekalipun.
2. Jika ada orang meninggalkan sebarang bentuk barangan, adakah dijaga seperti menjaga barang kepunyaan sendiri, iaitu tidak menggunakannya kecuali dengan izin pemiliknya yang asal.
3. Jika seorang penjual, adakah memberi kepada pembeli barangan yang paling elok dengan harga yang paling murah, dalam ertikata tidak mengambil kesempatan kepada pengguna.
4. Jika seorang doktor, dikunjungi seorang wanita cantik padanya yang ingin mendapat rawatan, adakah dia akan menundukkan pandangan dan tidak melihat kepada anggota-anggota yang diperlukan sahaja.
5. Jika seorang penjawat awam, yang berada di ruangannya, apabila melihat perempuan masuk ke arahnya, apakah menganggapnya sebagai adik kandung yang tidak akan dikhianati.
6. Ketahuilah kedudukan, persahabatan dan kecantikan jika disalahgunakan ianya menjadi lebih teruk dari rasuah wang ringgit.
7. Ketahuilah mata, telinga dan anggota lain manusia adalah ciptaan Allah SWT, janganlah diperlakukannya dengan benda-benda yang tidak sepatutnya secara terangan mahupun sembunyian.
8. Demikian jua anak-anak adalah amanah kepada setiap ibu bapa dan kepada merekalah dipertanggungjawabkan semuanya.

Namun mutakhir ini amanah yang lebih besar adalah berkisar kepada kuasa dan kepimpinan. Apabila pemimpin yang memegang puncak kuasa sewenangnya mencabuli amanah pastinya manusia lebih cepat menuju kehancuran.

Kuliah Maghrib Ustaz Fazdi al-Marangi 8 November 2010

Isnin, November 08, 2010

Kisah mimpi Abdullah al-Mubarak

Abdullah al-Mubarak adalah merupakan salah seorang ahli Sufi. Pada suatu ketika sedang beliau beribadah di dalam Masjid al-Haram dan terlena, kemudiannya beliau bermimpi turun dua orang lelaki dari langit dan bercakap-cakap tentang haji pada musim tersebut. Salah seorang dari mereka yang bercakap tentang haji tersebut mengatakan pada musim ini seluruh jamaah haji diterima haji mereka hanyalah disebabkan oleh seorang lelaki. Nama lelaki tersebut ialah Muafaq yang bekerja sebagai tukang kasut di Kota Damsyiq, Syiria.

Tersedar dari tidur Abdullah al-Mubarak terus keluar dari Masjid al-Haram dan mencari lelaki yang bernama Muafaq di Kota Damsyiq dengan tujuan untuk bertanya apakah ibadah muafaq yang disebabkannya seluruh jamaah haji pada musim tersebut diterima haji mereka disebabkan beliau. Setelah bertemu dengan Muafaq, dan ditanyakan tentang amalan ibadah yang dilakukan, muafaq menjelaskan dia hanya melakukan amalan ibadah sebagaimana lazim dilakukan orang lain.

Abdullah al-Mubarak tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Muafaq, lalu ditanyakan lagi apakah amalan yang dilakukan Muafaq. Muafaq cuba mengingatkan lalu beliau berkata mungkin sedekah yang pernah dilakukannya. Muafaq menjelaskan suatu hari sewaktu isterinya mengandung mereka tercium bau masakan yang cukup sedap dari jiran sebelah. Isterinya yang sedang mengandung mengidamkan masakan yang dibaunya tadi, lalu Muafaq pergi ke rumah jirannya dan meminta sedikit makanan yang dimasak untuk isteri yang mengidam.

Setelah jirannya keluar dari rumah dan ditanyakan Muafaq apakah yang dikehendakinya, jawab Muafaq isterinya mengidamkan sedikit dari masakan yang dimasak oleh perempuan tersebut. Segera jirannya tersebut menjawab makanan tersebut adalah haram untuk kamu dan ia hanya halal untuk kami. Ini kerana bau yang dihidu kamu tadi adalah bau bangkai yang dimasak bagi mengalas perut anak-anak yatim yang aku pelihara. Ia hanya cukup untuk mengalas perut bagi menghindari anak-anak yatim kebulur mengelak dari maut.

Muafaq sedih mendengarnya lantas terus pulang meninggalkan perempuan tersebut. Di rumah beliau mengambil semua simpanan yang disimpan bagi menunaikan haji. Ini disebabkan keperluan perempuan tersebut berserta anak-anak yatim yang ditanggungnya adalah lebih mustahak, Muafaq memberikan kesemuanya kepada perempuan tersebut kemudian beliau berkata “inilah haji aku pada tahun ini”.

Kuliah Maghrib Prof Madya Dr Kamaruddin Salleh 27 Oktober 2010