Isnin, Mei 24, 2010

Tanggungjawab kepada Allah SWT

Fiman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 30:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُواْ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Begitulah keadaannya tatkala Allah SWT memaklumkan kepada malaikat penciptaan khalifah di muka bumi. Namun apa yang penting adalah tugas yang telah diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi kepada makhluk yang bergelar manusia. Justeru bagi membuktikan perkara tersebut beberapa tanggungjawab mesti dipikul dan dilaksanakan. Ianya meliputi;

Tanggungjawab kepada Allah SWT

a. Merangkumi mengabdikan diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 21:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُواْ رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.

Yang dimaksudkan dengan pengabdian diri kepada Allah SWT pula bukanlah dalam aspek ibadah-ibadah khusus sahaja tetapi merangkumi setiap perlakuan manusia yang bermula seawall bangun dari tidur pada sebelah paginya sehinggalah tidur semula pada sebelah malamnya.

Di zaman Rasulullah SAW terdapat sebahagian golongan sahabah yang miskin mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kelebihan sahabah yang kaya beribadah kepada Allah SWT dengan banyaknya menginfakkan harta ke jalan Allah SWT, sedangkan mereka tidak mempunyai kelebihan itu. Rasulullah SAW menjelaskan setiap zikir, tahmid, takbir dan ucapan-ucapan mengingati Allah SWT juga adalah sedekah, jadi dengan cara tersebut dapat mengabdikan diri kepada Allah SWT walau tudak mempunyai harta.

b. Bertaqwa kepada Allah SWT yang mana sentiasa diberi peringatan oleh para khatib dalam setiap kali khutbah اتقوا الله . Takwa bermaksud melaksanakan segala arahan Allah SWT dan tinggal segala larangannya secara sembunyi atau terang-terangan. Adapun Saidina Ali menjelaskan taqwa mesti ada padanya empat komponen iaitu;

i. Gerun takut kepada Allah SWT

ii. Beramal dengan segala suruhan yang diturunkan Allah SWT

iii. Cukup dengan apa yang ada

iv. Bersedia untuk mati

Kuliah maghrib Ustaz Zaid Yusuf 22 Mei 2010

Takbiratul Ihram

Lafaz takbir di permulaan solat adalah wajib, manakala mengangkat tangan bersama lafaz takbir adalah sunat. Tidak dibenarkan sekali-kali menukar lafaz takbir Allah Akbar (الله أكبر ) dengan yang lain-lain nama Allah seperti Allah al-Samad, Allah al-Rahim dan seumpamanya. Walaupun di sana terdapat pelbagai fadhilat yang besar apabila berzikir dengan nama-nama Allah Yang Maha Mulia, tetapi dalam bab lafaz takbir mesti dengan Allah Akbar (الله أكبر ).

Adalah diyakini tiada muslim yang melafazkan takbir dengan selain Allah Akbar (الله أكبر ). Namun terdapat juga kesalahan takbir yang dilafazkan, antaranya ialah;

  1. Melafazkan takbir dengan memanjangkan sebutan ‘baar’ di belakang. Ini merupakan suatu kesalahan yang serius yang menyebabkan batal solat kerana dengan memanjangkan ‘baar’ membawa maksud muka gendang, sedangkan maksud asal Allah Akbar (الله أكبر ) adalah Allah Maha Besar dan bukan selainnya.
  2. Melafazkan takbir dengan memanjangkan sebutan ‘aa’ pada Allah. Ini juga merupakan suatu kesalahan yang serius yang menyebabkan batal solat kerana dengan memanjangkan ‘aa’ pada perkataan Allah membawa maksud istifham (persoalan) yang bererti ‘adakah Allah’, hakikatnya tiada makhluk di muka bumi ini boleh menanyakan atau musykil dengan kekuasaan Allah dan kebesaranNya.

Justeru berhati-hatilah apabila melafazkan ucapan takbir di awal permulaan solat, ini kerana dua rukun di dalam solat jka silap tidak boleh diperbaiki yang menyebabkan terus batal solat tersebut iaitu takbir dan salam. Adapun rukun-rukun yang lain jika silap masih boleh diperbetulkan dalam solat itu juga.

Kuliah Subuh Ustaz Ibrahim Mohamad pada 22 Mei 2010

Khamis, Mei 06, 2010

Hidup memang untuk diuji

Dalam keadaan sedar mahupun tidak hidup manusia sememangnya diuji. Melalui pelbagai proses ujian dapat mengetahui sejauh mana tahap keimanan seseorang. Usahkan dalam bab ketaatan kepada Allah SWT, bagi pelajar sekolah sekalipun tetap ada ujian bagi menentukan sejauhmana tahap pelajaran yang dipelajari dapat disemat dalam diri.

Yakinlah setiap bala yang menimpa seseorang hakikatnya mempunyai hikmah di sebaliknya. Antara hikmah seseorang diuji ialah;

1. Melatih diri setiap hamba agar lebih kuat dan tabah. Dalam masa yang sama pada zahirnya nampak perkara yang diuji itu buruk tetapi melalui kesabaran hikmahnya pasti baik.

2. Menyucikan jiwa seseorang hamba. Ini kerana Allah SWT akan memberikan balasan berdasarkan sejauh mana sangka baik hamba terhadap Allah SWT.

3. Menguatkan iman seseorang hamba agar tidak mudah terpengaruh dengan mainan dunia.

4. Mendekatkan diri dengan Allah SWT, mungkin jika tidak ditimpa bala seseorang akan merasakan dirinya hebat tatapi apabila kena inilah masa untuk taqarrub ila Allah SWT.

5. Merintih kepada Allah SWT. Allah SWT amat suka mendengar rintihan dari hambanya yang rindu kepadaNya. Keadaan sebaiknya hendaklah beristiqamah dengan sentiasa berdoa kepada Allah SWT.

6. Mengangkat darjat seseorang hamba. Ini kera semakin hamba di sayangi Allah SWT semakin banyak cubaan yang diberikan.

7. Menguji sejauh mana tahap keimanan seseorang hamba. Ini kerana orang yang paling kuat diuji ialah para utusan Allah SWT, kemudian pengikutnya, kemudian pengikutnya dan begitulah seterusnya.

Itulah antara hikmah bala ditimpakan ke atas hamba di muka bumi. Janganlah pula suka melatah, ditimpa sedikit bala terus menyalahkan kehendak Ilahi. Hakikatnya setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Kuliah Subuh Ustaz Al-Kauthar 1 Mei 2010

Rabu, Mei 05, 2010

Sabtu, Mei 01, 2010

Jenayah Rasuah

Rasuah merupakan perbuatan jenayah telah menular di kalangan masyarakat. Ianya melibatkan rasuah dalam politik, perkhidmatan awam, sektor swasta, institusi pendidikan dan pelbagai aspek yang lain. Islam secara jelas mengharamkan perkara ini sama ada di pihak peminta rasuah mahupun pemberi rasuah. Al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 188 menyatakan;

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu Mengetahui.

Di sana terdapat penegasan yang serius iaitu pemperi rasuah dan penerima rasuah kedua-duanya dimasukkan ke dalam neraka. Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang 2009 sebanyak 500 tangkapan telah dibuat. Hakikat yang harus disedari rasuah adalah perompak harta rakyat. Apabila makin besar pangkat seseorang makin banyak harta rakyat dirompak dan makin pandai seseorang makin handal jua teknik dan tektik yang digunakan bagi melepaskan diri.

Rasuah turut dilihat sebagai menafikan hak seseorang yang berhak. Kreatiria seseorang bukan lagi dilihat berdasarkan kebolehan tetapi berdasarkan sejauhmana seseorang dapat menyogok dan memanipulasi untuk mendapatkan sesuatu jawatan. Ini pasti akan mendatangkan kesan buruk pada diri dan seterusnya negara.

Antara kesan negatif akibat dari penularan rasuah ialah;

  1. Akibat dari pengamalan rasuah memudahkan untuk dihumbankan ke dalam neraka.
  2. Menghancurkan keadilan dalam masyarakat menyebabkan masyarakat kucar kacir dan tidak harmoni.
  3. Melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran mahupun skil dalam pelbagai sektor.
  4. Mewujudkan masyarakat yang penting diri tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal diperolehi.
  5. Menghasilkan mutu kerja yang teruk dan menyebabkan bahaya kepada orang lain.
  6. Menyebabkan kos pengurusan akan meningkat dan membebankan.
  7. Menjadikan pentadbiran lemah dan lembab serta mewujudkan karenah birokrasi.
  8. Muncul yang jahat semakin jahat dan menempias kepada yang lain.
  9. Pembahagian kekayaan negara yang tidak seimbang.

Khutbah Jumaat Imam Mohamad Shukor Atan 30 April 2010

Kisah biawak yang beriman

Suatu ketika sedang para sahabah mengelilingi dan mengiringi Rasulullah SAW dalam satu perjalanan di padang pasir, tiba-tiba datang seorang badwi ke arah mereka. Bertanya badwi tersebut kepada para sahabah, siapakah orang yang dilingkungi mereka tersebut? Salah seorang dari sahabat menjawab orang yang dilingkungi mereka itulah Muhammad Rasulullah SAW. Berkata badwi tersebut kepada Rasulullah SAW, demi Latta dan Uzza aku tidak percaya kepada engkau dan engkau berbohong. Kemudian badwi tersebut menyambung, jika tidak kerana aku mempunyai urusan lain akan aku penggal leher kamu.

Saidina Umar al-Khattab yang turut berada di kalangan para sahabah tersebut lantas bengun dan meminta izin dar Rasulullah SAW untuk membalas balik ucapan badwi tersebut dengan memenggalkan leharnya. Rasulullah SAW yang mempuyai kesempurnaan padanya menghalang Umar al-Khattab dari meneruskan niatnya dan Rasulullah SAW sendiri bertanyakan badwi tersebut apakah masaalah yang menyebabkan badwi tersebut begitu marah kepada Rasulullah SAW?

Badwi tersebut ketika bertembung dengan Rasulullah SAW dan para sahabah ada bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab). Setelah mendengar persoalan dari Rasulullah SAW apa yang menyebabkan dia marah kepada Rasulullah SAW, badwi tersebut mengatakan demi Latta dan Uzza aku akan beriman kepada engakau jika dhab ini beriman dengan engkau.

Setelah badwi menyatakan kesediaan beriman kepada Rasulullah SAW seandainya dhab yang dibawanya turut beriman kepada Rasulullah SAW, Rasulullah SAW bertafakur dan kemudiannya bertanya kepada dhab tersebut. Siapakah tuhan kamu? Dhab yang merupakan seekor biawak padang pasir dengan penuh kefasihan berbahasa Arab terus menjawab bahawa tuhannya adalah Tuhan yang memiliki langit dan bumi serta yang mempunyai ‘arasy. Tidak cukup dengan itu dhab tersebut menambah lagi bahawa Tuhan yang menjadi tempat sujud dan patuh oleh segala makhluk yang ada di langit atau di bumi secara sukarela mahupun terpaksa. Kemudian soalan kedua yang ditanya Rasulullah SAW kepada dhab tersebut, “siapakah aku?” dhab menjawab bahawa engkau adalah utusan Allah (Rasulullah SAW).

Mendengar sahaja pengakuan dari dhab tersebut, badwi yang berpegang kepada pengucapannya seandainya dhab beriman kepada Rasulullah SAW dan dia pun akan beriman sama terus mengucapkan shahadah. Hakikat itulah bahawa setiap makhluk di muka bumi ini beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, Cuma manusia sahaja yang banyak keraguan padanya.

Kuliah maghrib Prof Madya Ustaz Kamaruddin Salleh 28 April 2010