Khamis, April 29, 2010

Kesejahteraan Ekonomi


Dalam sistem kapitalis yang diamalkan kini persoalan ekonomi dianggap yang paling berpengaruh dalam kehidupan manusia. Manusia saling berlumba untuk mendapatkan kesejahteraan ekonomi tanpa menghiraukan sumber yang diperolehi. Namun realitinya kesejahteraan ekonomi yang diharapkan tidak tercapai bahkan mewujudkan golongan yang mencuri disebabkan tiadanya wang untuk berbelanja.

Di Malaysia sekitar 15 hingga 18 peratus sahaja aset yang bersifat Islamik, bakinya adalah berteraskan sistem kapitalis. Hal ini selari dengan perlakuan manusia yang menganggap ekonomi berteraskan kepada tiga faktor asas iaitu tanah, buruh dan modal. Namun jika didalami Islam memasukkan satu elemen yang lebih penting bagi mensejahterakan ekonomi iaitu taqwa.

Adam Smith yang merupakan skolar Barat menyatakan faktor moral adalah penting dalam ekonomi. Namun dalam ekonomi persoalan moral dilihat sebagai persoalan yang tidak saintifik. Disebabkan persoalan moral dikesampingkan kapitalis melihat buruh adalah sama dengan tanah dan modal. Natijahnya eksploitasi buruh berlaku secara berleluasa.

Islam mengiktiraf buruh lebih penting dari tanah dan modal. Upah bagi setiap orang yang bekerja sepatutnya dibayar sebelum keringatnya kering. Maksudnya upah yang dibayar hendaklah setimpal dengan kerja dan perlu kepada gaji asas minima berdasarkan keperluan kos semasa dan anjal. Hanya satu Negara sahaja yang pernah mengaplikasikan sisitem gaji ini iaitu German Timur sebelum berlaku penggabungan.

Khalifah masyhur Umar Abdul Aziz pernah merealisasikan sistem ekonomi yang berasaskan kepada taqwa menghasilkan ekonomi yang berkesan. Perkara ini dimulai dengan dirinya sendiri iaitu sebelum menjadi khalifah beliau memiliki 40 ribu dinar tetapi setelah meninggal dunia yang ditinggalkan hanya 400 dinar. Di zamannya tiada rakyat yang layak menerima zakat, sebaliknya masing-masing menyumbangkan harta untuk zakat.

Amat berbeza dengan kapitalis, ekonomi Islam yang berlandaskan taqwa menjaga kemaslahatan seluruh ummah dan mewujudkan tiada yang sanggup menerima zakat tetapi sistem kapitalis mesti ada golongan yang miskin.

Kuliah maghrib Ustaz Wan Abdul Rahman 23 April 2010

Rabu, April 28, 2010

Perihal Taqwa

Taqwa tidak hanya difahami melaksanakan perintah dan meninggalkan segala larangan tetapi perlu disematkan cinta kepada Rasulullah SAW. Ini kerana tidak beriman seseorang itu hingga dia mengasihi Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dengan taqwa mengangkat ‘izzah sebagai ‘ummah wasata’.

Suatu ketika Abu Dzar yang merupakan salah seorang sahabah meminta wasiat dari Rasulullah SAW; lantas Rasulullah SAW mewasiatkannya dengan berftaqwa kepada Allah SWT. Ini menjelaskan bahawa taqwa merupakan kepala segala urusan. Setiap permasalahan tidak akan selesai tanpa taqwa kerana ianya merupakan kunci segala urusan iaitu kunci takut kepada Allah SWT.

Seorang ayah yang bertaqwa tidak hanya bekerja keras untuk menyediakan kelengkapan zahir bagi anak-anak dan ahli keluarga tetapi bekerja keras untuk menyelamatkan ahli keluarganya di dunia dan di akhirat sebagaimana maksud ayat al-Quran, jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka. Begitu juga seorang suami yang bertaqwa bukan hanya menyediakan keperluan zahir dan batin bagi isteri tetapi sentiasa mendidik dan menegur isterinya dari perbuatan mungkar. Andaikata seseorang tidak pernah menyuruh isterinya melaksanakan solat pun termasuk tidak menegur isterinya dari perbuatan mungkar dan merupakan suatu pengkhianatan kepada Allah SWT.

Ketaqwaan seorang anak tidak terlepas dari kewajipannya terhadap kedua ibu bapa. Setiap anak mesti menjaga hati orang tua dengan memastikan mereka tidak kecewa bahkan perlu menggembirakan mereka ketikamana mereka masih hidup. Andaikata keduanya telah meninggal dunia maka hendaklah sentiasa mendoakan mereka.

Taqwa seorang jiran dengan menggembirakan jiran yang lain, taqwa seorang peniaga mahupun pekerja hendaklah menggembirakan majikannya. Taqwa para pemimpin semestinya membawa kehidupan rakyat selesa semasa di dunia mahupun di akhirat.

Apa yang berlaku kini khususnya para pemimpin tidak memandang berat perihal taqwa yang selalu diberi peringatan setiap kali Jumaat. Perbuatan fitnah sudah menjadi lumrah sedangkan fitnah adalah lebih berat dari membunuh. Tiada perpecahan dalam umat Islam yang lebih dahsyat selain dari fitnah yang dilemparkan. Isteri Rasulullah SAW, Saidatina ‘Aisyah pernah difitnah, Khalifah al-Rasyidun Saidina Othman dan Saidina Ali pernah difitnah dan mewujudkan pembunuhan serta perpecahan di dalam ummah.

Manusia sanggup mengatakan apa sahaja tiada sebab lain kecuali sebab cintakan dunia. Perkara halal dan haram sudah tidak lagi dipedulikan apatah lagi ajaran agama. Sedangkan akar umbi kepada akhlak yang mulia adalah agama. Kerosakan akhlak yang ada kini tidak akan dapat diselesaikan kecuali berlandaskan agama. Segala yang berlaku kerana tiada lagi nilai agama yang diterapkan, yang ada hanya kecemerlangan akademik.

Hukum tidak dipedulikan, solat diabaikan, makan minum tidak dipastikan kesahihan, pendapatan tidak dihiraukan sumber, penglihatan tidak dijaga. Inilah akan merosakan asas ketamadunan dunia. Kini ramai yang tidak bertamadun walau zahir nampak bertamadun. Inilah perlunya kepada perubahan dasar bukan hanya bercakap sahaja.

Khutbah Jumaat Dr Badrulamin Bahrom 23 April 2010

Khamis, April 22, 2010

Bersegera berbuka puasa

Diriwayatkan Rasulullah SAW menjelaskan apabila masuknya waktu maghrib maka hendaklah bersegera berbuka puasa. Manakala sebaik-baik berbuka adalah dengan tamar dan air.

Apabila dilihat kepada amalan dan saranan Rasulullah SAW handaklah kita mengambil intipati darinya. Ada sebahagian kecil manusia tidak menghiraukan saranan Rasulullah ini, bagi mereka perkara ini bukanlah besar Cuma sekadar lebih baik. Sebab itu ada ketikanya apabila masuk waktu maghrib ada yang tidak terus berbuka puasa tetapi melengah-lengahkannya, pada mereka jika seharian boleh menahan lapar dan dahaga apalah sangat diperlukan untuk berbuka puasa.

Begitu juga apabila dikaitkan berbuka dengan tamar dan air, ada sebahagian manusia masa berbuka itulah dilahapkan semuanya. Sedangkan berbuka yang paling idea adalah sebagaimana saranan Rasulullah SAW. Kita sebagai umatnya mesti yakin dengan apa yang disarankan Rasulullah SAW, ini kerana Allah SWT yang mencipta kita dan Rasulullah SAW sebagai manual perjalanan hidup manusia di dunia ini.

Kuliah maghrib Ustaz Yakub 21 April 2010

Rabu, April 21, 2010

Tatacara Dakwah

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imram ayat 104;

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Al-Qurtubi menjelaskan menyeru manusia adalah fardhu kifayah. Perlakuan menyeru adalah perlu di selaraskan di dalam dua perkara iaitu perlu menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Suatu yang bersalahan jika hanya menyeru kepada kebaikan dan dalam masa yang sama memandang ringan tentang perkara mencegah kemungkaran.

Hakikatnya Rasulullah SAW telah menjelaskan;

من راى منكم منكرا فليغيره بيده ................

Maksudnya: barangsiapa melihat kemungkaran maka hendaklah mencegahnya dengan tangan …

Harus difahami jua perlakuan mengajar, belajar dan berdakwah adalah berbeza. Namun apabila dikaitkan dengan dakwah mesti mempunyai elimen belajar dan mengajar. Ini yang menjadikan medan dakwah merupakan suatu perkara yang cukup besar merangkumi segalanya. Justeru Abdul Karim Zaidan mendisiplin dakwah perlu mempunyai empat perkara iaitu;

  1. Perlu mempunyai da’ie (Pendakwah)
  2. Perlu mencari mad’u (sasaran dakwah)
  3. Perlu mewujudkan maudhu’ (aspek yang hendak didakwahkan)
  4. Perlu melalui wasail (methode yang dilaksanakan)

Apapun sebelum menyeruru manusia awam hendaklah para umat Islam mendakwahkan terlebih dahulu ahli keluarga yang terdekat seumpama dakwah ayah kepada anaknya. Ini kerana Islam menetapkan hak setiap manusia termasuklah hak anak terhadap ibu bapanya seperti;

Hendaklah menamakan anak dengan nama yang baik

  1. Hendaklah mengajar anak-anak ilmu pengetahuan
  2. Hendaklah kahwini mereka apabila sampai masa
  3. Hendaklah memberi pengajaran dengan adab-adab yang baik

Kuliah Maghrib Ustaz Fadhli 20 April 2010

Isnin, April 12, 2010

Sekitar Ceramah Dato Hasan Din al-Hafiz

Ucapan Pengerusi Surau, Tn Mohamad Shukor Atan

Penceramah, Dato Abu Hasan Din al-Hafiz

Sebahagian hadirin

Bersama Jawatankuasa surau




Jamuan tengah malam

Rabu, April 07, 2010

Khamis, April 01, 2010

Bebalisme

Firman allah SWT dalam al-Quran surah Thaha ayat 124:
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ
Maksudnya: Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Merujuk kepada ayat di atas jelas Allah SWT mempertegaskan sesiapa yang tidak mengikut perintah Allah SWT pasti kehidupannya menjadi sempit. Perkara ini dapat dilihat di dalam kehidupan kita seharian. Kadar jenayah semakin menjadi-jadi dan perbuatan tidak bermoral sudah melata dari institusi yang paling ataz sehinggalah akar umbi di bawahnya.

Sebagaimana yang dilaporkan kadar jenayah di Negara kita dari tahun 2008 hingga 2009 puratanya 200,000 kes. Secara khusus pada 2009 sahaja mencecah 209,000 kes. Ini adalah suatu angka yang membimbangkan, namun dipihak pemerintah perkara ini tetap diteruskan dengan perlaksanaan undang-undang sedia ada bahkan tidak mahu mengguna pakai pun sistemperundangan Islam yang diperuntukkan al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 110:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ
Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Tiada pengecualian lagi untuk menjadi sebaik-baik ummah mesti melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan dalam masa yang sama mesti beriman kepada Allah SWT. Penyelesaian segala perkara di dunia ini telah dinyatakan al-Quran, tiada yang lain sesempurna al-Quran. Janganlah disebabkan penolakan kita terhadap al-Quran menyebabkan pandangan non-Muslim terhadap hokum al-Quran hanyalah sebagai hukum potong tangan dan kaki. Hakikatnya Utusan Agung Nabi Muhammad SAW sentiasa menyeru kearah kebaikan dan menghalang benda jahat melalui syariat Allah SWT.

Para ulama’ menjelaskan yang dimaksudkan dengan menyeru ke arah kebaikan adalah merujuk kepada pembuat polisi sesuatu negara. Setiap tindakan yang dilakukan mestilah berlandaskan maslahah umat Islam. Bukan hanya merujuk maslahah ekonomi atau keduniaan semata-mata.

Diumpamakan terdapat di dalam negara kita maslahah yang buruk (mulghah) iaitu penggunaan arak di Malaysia adalah 10 tertinggi di dunia apabila dinisbahkan dengan penduduk semasa. Dari segi zahirnya tetap ada kebaikan iaitu dengan penjualan arak kerajaan akan memperolehi hasil yang lumayan tetapi pada masa yang sama arak adalah perkara yang diharamkan bagi umat Islam. Begitu juga dengan hasil judi yang diperolehi, pada 2008 cukai judi yang dipungut kerajaan mencecah RM 2,370 juta, ini adalah suatu angka yang cukup besar.

Begitu juga perkara yang cukup mengecewakan apabila Laporan Ketua Audit Negara 2008 mensasarkan negara mengalami ketirisan sejumlah RM 28 ribu juta. Bayangkanlah betapa banyaknya hasil mahsul yang disalahgunakan dalam menangani suasana politik yang rakus yang boleh diistilahkan sebagai ‘Bebalisme’.

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Rum ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Demikianlah setiap perkara yang dilontarkan mestilah mempunyai hujah dan maslahahnya. Dalam masa yang sama hendaklah berpegang kepada amanah yang telah dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.

Ceramah Semasa YB Ustaz Mohd Nasir Zakaria 31 Mac 2010