Isnin, Mei 25, 2009

Majlis Perasmian Kursus Intensif Tajwid sehari

Kursus Tajwid Intensif Sehari yang dianjurkan Surau al Mujahidin Desa Surada dengan kerjasama Kolej Darul Hikmah kampus Kajang mendapat sambutan yang menggalakkan. Kehadiran peserta menepati target yang disasarkan iaitu seramai 56 peserta.

Kursus ini dilaksanakan dua moderator Tahfiz Faqeeh iaitu Ustaz Mohd Amin dan Ustaz Yunus. Sebanyak enam modul disediakan bermula dengan sebutan huruf hingga kepada hukum-hukum bacaan dan tanda-tanda dalam al-Quran.

Di akhir kursus ini sebagai penghargaan kepada para peserta, sijil penyertaan dikeluarkan sebagai membuktikan komitmen mereka yang hadir sememangnya mempunyai semangat yang tinggi untuk mencapai tahap 'Juudatun Syamilah'(kualiti yang menyeluruh sebagaimana saranan Presiden Kolej Darul Hikmah semasa merasmikan kursus ini.

Ucapan Perasmian Presiden Kolej Darul Hikmah, Dato' Dr Sidiq Fadhil

Saf Urusetia Kursus


Peserta Muslimin


Peserta Muslimat

Kursus Tajwid Intensif Sehari

Menuntut ilmu adalah suatu yang wajib. Banyak ayat al-Quran yang memperihalkan kepentingan menuntut ilmu. Selain itu dengan menuntut ilmu dapat meninggikan lagi kualiti seseorang individu. Apatah lagi ilmu yang dituntut adalah ilmu yang melibatkan secara langsung dengan al-Quran.

Pembelajaran ilmu tajwid bagi umat Islam yang ajam seperti kita dapat menghasilkan penambahbaikan kualiti bacaan. Bukan setakat bacaan bahkan akan meninggikan lagi martabat untuk mendekatkan di kepada Allah SWT. Allah SWT menciptakan manusia berbeza-beza bangsa dan bahasa. Janganlah disebabkan berbeza kita mengambil pendekatan cukuplah dengan sekadar yang telah ada.

Di zaman Rasulullah SAW ada di kalangan sahabat yang enam tahun tidak khusyuk, turun ayat al-Quran menegurnya. Sebaliknya masa kini ada yang mencecah umur 60 tahun tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memperelokkan bacaan al-Quran. Sedangkan Imam al-Ghazali tidak jemu-jemu mempelajari pelbagai jenis disiplin ilmu bukan setakat ilmu berkaitan al-Quran semata-mata. Justeru jadilah setiap kita yang sentiasa mengekalkan kualiti yang menyeluruh, sesuai dengan kata asal bagi tajwid iaitu jawwada yujawwidu tajwid.

Ucapan Perasmian Kursus Tajwid oleh Datuk Dr Sidiq Fadhil 24 Mei 2009

Umat Islam Gaza

Peperangan yang berlaku di Gaza akibat serangan laknatullah Yahudi ke atas penduduk melibat 500 orang syahid pada hari pertama. Para syuhada’ bukan sahaja terdiri dari kalangan orang dewasa, bahkan kanak-kanak yang hanya baru mengenal ibu pun dibunuh sama. Alasan yang diberikan Israel amat mudah iaitu bayi-bayi yang ada ketika inilah suatu masa nanti sepuluh atau 15 tahun lagi akan memusnahkan Israel.

Ini merupakan suatu perkara yang jelas melanggar etika bukan sahaja dari aspek keagamaan tetapi kemanusiaan sejagat. Namun masih ramai umat Islam tidak sensitif dengan perkara ini bahkan menyokong Israel secara berterusan. Sokongan yang dimaksudkan adalah penggunaan dan pembelian produk-produk Israel tanpa henti. Antara perkara yang ketara adalah pembelian rokok, sedangkan semua maklum rokok merupakan industri utama Israel mengaut keuntungan di seluruh dunia.

Sedarlah umat Islam sekelian, bantulah saudara kita di Gaza. Umat Islam adalah bersaudara, jika mereka susah kita patut merasa susah bersama. Mereka berjuang habis-habisan menentang Israel, sokonglah mereka, bantulah mereka, doakanlah mereka. InsyaAllah Islam pasti mencapai kemenangan.

Kuliah Subuh Khas Dr Jamnul Azhar Mulkan 24 Mei 2009

Sabtu, Mei 23, 2009

Huraian Surah al-Mulk: 12-19

Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk yang bermaksud:
12. Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
13. Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
14. Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!
15. Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).
16. Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: Menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?
17. Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: Menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?
18. Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.
19. Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Bermula dari ayat 12 hingga 14 boleh disimpulkan sebagaimana hadith Nabi Muhammad SAW yang menjelaskan tentang tujuh golongan yang mendapat teduhan ‘arash Allah SWT tatkala di hari perhitungan kelak. Antaranya ialah seorang lelaki yang diajak melakukan zina dengan perempuan cantik dan berkedudukan, namun lelaki tersebut menolak ajakan tersebut dengan mengatakan إني أخاف الله “sesungguhnya aku takut akan Allah”. Ungkapan ini tidak akan dapat dituturkan jika lelaki tersebut tidak mengikut apa yang diperintahkan Allah SWT dalam kehidupannya. Hakikatnya manusia lebih cenderung mengikut hawa nafsu dan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Perkara seterusnya adalah berdasarkan ayat ke-15 berkaitan rezeki yang dikurniakan Allah SWT. Rasulullah SAW pernah ditanya sahabat tentang apakah amalan yang terbaik? Rasulullah SAW menjawab amalan yang terbaik adalah memberi makan orang yang memerlukan dan mengucapkan salam kepada orang yang dijumpai sama ada dikenali mahupun tidak. Justeru memberi sedekah adalah merupakan antara amalan terbaik di sisi Allah SWT. Namun harus diingatkan dalam konteks sedekah hendaklah dilakukan secara ‘tangan kanan memberi dan tangan kiri tidak mengetahuinya’.

Ayat 16 hingga 19 pula memberi peringatan kepada umat manusia adakah kita merasa aman dan selesa dengan kehidupan yang dikecapi kini. Padahal kehidupan yang dinikmati sekarang adalah atas belas الرحمان dan الرحيم Allah SWT semata-mata. Jika tiada kedua-dua perkara ini, pasti manusia tidak akan dihidupkan di dunia ini. Perlu diambil iktibar hendaklah melakukan sebanya mungkin amalan yang diterima Allah SWT. Jika sebanyak mana pun amalan yang dilakukan tetapi tidak diterima Allah SWT tidak ada apa maknanya. Ingatlah segalanya hanya dari Allah SWT.

Kuliah Subuh Ustaz Hasbullah 23 Mei 2009

Hukum Non-Muslim Membaca al-Quran

Kedengaran kepada kita tentang ada orang non-muslim yang membaca al-Quran. Di sana terdapat pandangan yang menyokong dan membantah tentang perlakuan non-muslim tersebut yang membaca al-Quran. Imam al-Syafie pernah menyatakan bahawa beliau akan menang berhujah dengan golongan ulama’ cerdik pandai, tetapi akan kalah apabila berhujah dengan orang yang jahil. Dari itu di sini dinyatakan pandangan tentang non-muslim membaca al-Quran.

Bagi pendapat yang berhujah menentang non-muslim dari membaca al-Quran ianya bersandarkan kepada larangan bagi orang yang berhadas besar membaca al-Quran. Jika orang Islam yang berhadas besar tidak dibenarkan membaca al-Quran inikan pula non-muslim yang pasti tidak pernah mandi junub.

Seterusnya larangan bagi non-muslim membaca al-Quran dan menafsir al-Quran adalah disebabkan beberapa perkara antaranya:
a. Adalah amat tidak wajar seseorang Islam menerima tafsiran dari non-muslim kerana memberi gambaran sudah tiada lagi orang Islam yang layak untuk memberi tafsiran al-Quran.
b. Adalah amat bersalahan jika dibiarkan non-muslim membaca dan mentafsir al-Quran bagi tujuan menyeleweng dan merendahkan al-Quran serta menghinanya.

Namun demikian bagi yang berpegang dibenarkan non-muslim membaca al-Quran adalah diambil pengejaran dari beberapa perkara. Antaranya adalah seperti berikut:
a. Dibenarkan non-muslim membaca dengan tujuan supaya mereka dapat mencari kebenaran dari al-Quran. Bagaimana mungkin ingin mencari kebenaran jika membacanya pun tidak boleh.
b. Di dalam Islam, non-muslim tidak terlibat dengan hukum sama ada haram, makruh, harus, sunat mahupun wajib. Segala macam hukum adalah disandarkan kepada orang Islam bukannya non-muslim.

Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah hanya aliran Hambali yang mengharamkan non-muslim membaca al-Quran. Aliran lain yang terdiri Syafie, Maliki dan Hanafi semuanya mengharuskan non-muslim membaca al-Quran atas dasar mencari kebenaran.

Justeru sama-sama kita memahami perkara ini atas dasar ilmu bukannya berdasarkan kepentingan politik. Bahkan yang sepatutnya kita tentang ialah golongan Islam yang membaca al-Quran dengan betul dan fasih tetapi tidak mahu melaksanakan apa yang telah ditentukan al-Quran. Alasan yang diberikan adalah pelbagai, perkara ini yang sepatutnya menjadi topik lebih utama berbanding isu non-muslim membaca al-Quran.

Kuliah Maghrib Ustaz al-Kauthar 17 Mei 2009

Jumaat, Mei 15, 2009

Jangan Utamakan Perkara Harus

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ada banyak orang yang berpuasa tetapi tidak peroleh apa-apa kecuali lapar dan dahaga”.

Dari hadith di atas dapat disimpulkan dalam kehidupan mesti melakukan sesuatu biar bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Sebaliknya jika ibadah yang dilakukan tidak menepati kehendak maka ianya akanm terjadi sebagaimana maksud hadith di atas.

Antara perkara yang harus dijaga adalah perlu memelihara mata. Mata merupakan punca kepada perkara lain yang lebih besar akibatnya. Sepatutnya nikmat mata disyukuri bukannya digunakan untuk melihat kepada benda-benda yang harus semata-mata. Ini kerana perkara yang asalnya harus apabila dilakukan berulang kali membawa akibat akan tertumpu kepada keduniaan.

Setiap perkara harus di dalam Islam adalah dibenarkan tetapi jangan tertipu dengannya. Jangan pula melihat orang lain memiliki kereta mewah kita juga berazam untuk memilikinya menyebabkan tumpuan kerja seharian adalah kepada matlamat yang harus. Inilah antara contoh tidak boleh mengutamakan perkara harus.

Hakikatnya matlamat yang asal adalah menyediakan bekalan yang secukupnya untuk dibawa di hadapan Allah SWT. Hidup di dunia adalah tempat untuk mencari sebanyak mungkin bekalan.

Kuliah Maghrib Ustaz Khairil Khuzairi 12 Mei 2009

Pengenalan Nabi Hud AS

Di dalam Tafsir al-Manar karangan Abdul Karim Zaidan, dimuatkan kisah Nabi Hud AS. Diberitakan Nabi Hud AS adalah Rasul bagi Kaum ’Aad, dari keturunan inilah wujudnya kaum-kaum lain seperti Kaum Iram dan Bangsa Arab kini.

Kaum ’Aad terletak di atas bukit-bukau dan mengikut pengkajian yang dilakukan ianya terletak antara Oman dan Yaman. Kaum ini merupakan kaum penyembah berhala dan paling kuat menentang kebenaran pada waktu tersebut. Di dalam kaum inilah Nabi Hud AS dilahirkan. Namun keluarga yang melahirkan Nabi Hud AS adalah dari keturunan susur galur paling mulia di kalangan Kaum ’Aad.

Dakwah Nabi Hud AS sama dengan para rasul dan nabi yang lain iaitu menyeru kaumnya agar menyembah Allah SWT dan meninggalkan sembahan berhala, jangan menzalimi orang yang lemah dan meninggalkan kerosakan yang dilakukan di muka bumi. Akibat dari tidak mendengar seruan Nabi Hud AS kaumnya dihapuskan dengan kedatangan angin ’mandul’ (al-rih al-’aqim) yakni angin yang tidak membawa apa-apa kecuali azab sengsara.

Nabi Hud AS wafat dan dikebumikan di Hadral Maut, Yaman. Generasi Nabi Hud adalah dikaitkan yang berbangsa Arab. Nabi-nabi lain yang berbangsa Arab ialah Nabi Soleh AS, Nabi Syu’ib AS dan Nabi Muhammad SAW.

Kuliah Maghrib Ustaz Saifullah Shamsuddin 10 Mei 2009

Selasa, Mei 12, 2009

Kelebihan Solat Berjamaah Subuh, Isya’ & Asar

Solat berjamaah merupakan suatu tuntutan yang besar bagi setiap muslim. Dikhabarkan dari hadith yang sohih ganjaran yang dijanjikan Allah SWT mencecah 27 darajat. Apabila sempurna mengambil wudhuk Allah SWT menjanjikan keampunan dari dosa. Dari wudhu’ yang sempurna menghasilkan natijah solat terutamanya solat berjamaah yang diterima di sisi Allah SWT.

Namun kadangkala kita terlupa tentang kesempurnaan wudhu’. Kita berada di zon selesa dengan ststus ‘quo’ “aku dah biasa dengan wudhu’, sudah 40 tahun aku mengambil wudhu’ semenjak aku belajar di zaman kanak-kanak lagi”. Sedangkan besar kemungkinan kanak-kanak Pasti lebih sempurna mengambil wudhu’ berbanding kita. Sekali-sekala semaklah perlakuan wudhu’ di hadapan orang yang lebih alim dan arif dari kita agar kita tidak tertipu dengan diri sendiri.

Rasulullah SAW menjelaskan tiga solat fardhu yang diamalkan seharian memberi kelebihan dari yang lain jika ditunaikan secara berjamaah. Solat ‘Isya’ umpamanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ solat ‘Isya’ secara berjamaah akan mendapat ganjaran umpama mengerjakan solat sunat separuh malam”.

Manakala barangsiapa yang mengerjakan solat subuh secara berjamaah, akan mendapat ganjaran umpama mengerjakan solat sunat seluruh malam. Dalam perbahasan perkara ini para ulama’ menjelaskan untuk mendapat ganjaran pahala senat seluruh malam solat subuh berjamaah hendaklah didahulukan dengan solat ‘isya’ secara berjamaah. Tanpa mengerjakan solat ‘isya’ secara berjamaah tidak akan dapat ganjaran solat sunat seluruh malam.

Solat ‘asar secara berjamaah turut terdapat kelebihan padanya. Pada waktu ‘asar merupakan masa pertukarannya shif para malaikat. Andaikata pertukaran shif malaikat yang membawa laporan kepada Allah SWT dalam keadaan kita sedang mengerjakan solat berjamaah, akan memberi impak yang besar berbentuk ganjaran di sisi Allah SWT. Jika keadaan sebaliknya berlaku, ianya merupakan suatu kerugian kepada seseorang. Selain waktu ‘asar, waktu pertukaran shif malaikat turut berlaku pada watu subuh.

Kuliah Subuh Ustaz Jamir Saad 10 Mei 2009

Keadaan Berdoa

Sabda Rasulullah SAW”doa merupakan senjata bagi mukmin” begiotu jua “sabar adalah daripada iman” justeru apabila kita berazam sesuatu hendaklah bertawakkal kepada Allah SWT. Doa dan dan sabar kebiasaan manusia hanya akan melipatgandakannya apabila berada di dalam kmesusahan akan tetapi apabila kesenangan sikit sekali memperteguhkan sabar dan memperbanyakkan doa.

Abd Qadir Jailani seorang tokoh sufi menjelaskan apabila selesainya sesuatu ibadah hendaklah engkau memohon doa. Apabila kamu berdoa hendaklah bersungguh-sungguh dan dilakukan ditempat yang sunyi tidak menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Hendaklah diingatkan setiap ibadah khusus yang dilakukan hendaklah disudahi dengan ibadah umum seperti doa. Setiap kali berdoa alangkah baiknya jika menghayati kisah Laila Majnun dengan menjadikan Allah sebagai kekasih bukannya manusia. Tatkala ketika ditinggalkan kekasih dia sedih kerana takut tidak akan ketemu lagi dan tatkala berjumpa kekasih pun tetap sedih kerana dikhuatiri akan ditinggalkan kekasihnya kelak.

Al-Syibli juga merupakan tokoh sufi pernah pada suatu ketika berdialog dengan dirinya ” sekarang aku hidup, aku solat, berpuasa, sedekah, doa dan ibadah. Apabila aku mati siapakah yang akan melkakukannya untukku? Jadi buatlah sekarang, jika tidak dilaksanakan sekarang tiada lagi manusia lain yang akan membuatnya untukku”.

Kuliah Subuh Ustaz Ibrahim Muhammad 9 Mei 2009

Jumaat, Mei 08, 2009

Fenomena Fitrah


Rasulullah SAW berpesan kepada Abu Dzar al-Ghifari “Wahai Abu Dzar, Aku berpesan kepadamu bertaqwalah kepada Allah SWT kerana taqwa adalah kepala segala urusan”. Pesanan Rasulullah SAW amat penting bukan sahaja kepada sahabat bahkan kepada kita umatnya di akhir zaman ini. Melalui taqwa segala urusan, perbuatan dan perkara yang dilaksanakan akan peroleh kebaikan di dunia dan akhirat.

Taqwa melahirkan muslim yang sejati, menjadikan suami yang sentiasa menasihati isteri, melahirkan jiran yang saling hormat menghormati, melahirkan pegawai yang berintegriti tinggi dan melahirkan pemimpin yang menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat untuk kehidupan di dunia dan membawa keredhaan di akhirat.

Taqwa merupakan gambaran asas fitrah manusia. Tiada satu amalan, penghayatan dan perbuatan Islam bercanggah dengan fitrah manusia. Hakikatnya Islamlah merupakan fitrah bagi manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ”setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah”. Tidak mengira sama ada yang dilahirkan Melayu, Cina, India atau lain-lain bangsa ianya tetap dilahirkan dalam keadaan fitrah.

Fitrah pasti tidak akan menolak kebenaran Islam. Hanya mereka yang menyimpang dari fitrah yang akan menolak Islam. Justeru mengapa kita melenting apabila ada di kalangan non-muslim yang membaca al-Quran? Mengapa ada yang marah apabila ada non muslim yang menerima al-Quran? Sepatutnya perlu dimarahi bagi orang Islam yang tidak membaca al-Quran bahkan lebih lagio bagi mereka yang menolak al-Quran. Pernah suatu ketikaParlimen Britain yang bersidang kira-kira dua tahun yang lalu membincangkan tentang menggunakan undang-undang al-Quran.

Akibat dari meninggalkan Islam dan al-Quran wujudnya pelbagai krisis termasuk krisis ekonomi. Jika nilai fitrah ditegakkan pasti akan selamat dari pelbagai krisis yang melanda. Rasuah dapat dibendung dan dicegah sepenuhnya.

Sistem pendidikan yang ada kini turut terpesong dari tuntutan fitrah. Pendidikan yang lebih mementingkan nilai akademik, tidak mementingkan nilai agama akan menghasilkan masyarakat robotik. Penghormatan kepada ibu bapa, guru dan masyarakat sudah tiada. Lebih terkesan apabila gagal melahirkan manusia berilmu, beriman dan berakhlak.

Di sudut politik menjadi semakin membarah, melahirkan tokoh yang berprinsipkan matlamat menghalalkan cara, mensyirikkan Allah SWT dengan menggunakan bomoh bagi mendapatkan kuasa dan tindakan yang dilaksanakan tidak ada lagi nilai-nilai kemanusiaan.

Apakah nilai fitrah telah runtuh? Sedangkan Allah SWT berfirman dalam surah al-Rum: 30 ;
فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا
Maksudnya:agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya

dan surah Ali Imran: 110
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ
Maksudnya: Kamu (wahai umah Muhammad) sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)

Khutbah Jumaat Dr Badrulamin 8 Mei 2009

Beriman Kepada Kitab

Ringkasnya beriman kepada kitab adalah mempercayai dan meyakini sepenuh hati wahyu yang diturunkan kepada nabi dan rasulNya. Wahyu yang dimaksudkan adalah kitab dan suhuf. Di peringkat awal wahyu yang diturunkan sama ada berupa kitab mahupun suhuf semuanya adalah kebenaran yang mutlak tanpa sebarang penyelewengan. Selepas peninggalan nabi dan rasul menyebabkan kitab dan suhuf diselewengkan.

Tujuan diutuskan kitab dan suhuf ini sebagai pengajaran dan peringatan untuk umat manusia. Contohnya penurunan al-Quran adalah kepada Nabi Muhammad SAW bagi umat akhir zaman supaya berpegang teguh dengan Islam. Supaya manusia mengetahui destini yang bakal ditempuhi bukan hanya leka dengan kehidupan duniawi semata. Al-Quran juga merupakan satu-satunya kitab yang terhindar dari penyelewengan, ia merupakan kebenaran yang tiada tokok tambah dari permulaan hingga ke hari kiamat.

Antara kitab dan suhuf terdapat perbezaan dan persamaan. Aspek persamaan bagi kedua-duanya adalah merupakan wahyu dari Allah SWT. Dari sudut perbezaan, isi kandungan kitab lebih terperinci berbanding mushaf kerana mushaf merupakan helaian-helaian. Perincian yang mendalam menunjukkan kesempurnaan dan ianya dibukukan tidak sebagaimana mushaf.

Kitab yang diwahyukan Allah SWT ada empat; al-Quran (Nabi Muhammad SAW), Injil (Nabi Isa AS), Taurat (Nabi Musa AS) dan Zabur (Nabi Daud AS). Sebaliknya suhuf banyak diwahyukan Allah SWT kepada para nabi dan rasul. Antaranya sehuf diwahyukan kepada Nabi Adam AS (10 suhuf), Nabi Shif AS (60 suhuf), Nabi Idris AS (30 suhuf), Nabi Ibrahim AS (30 suhuf) dan Nabi Musa AS (10 suhuf).

Kuliah Maghrib Prof Madya Ustaz Kamaruddin Salleh 6 Mei 2009