Ahad, Mac 29, 2009

Kuliah Bulanan April

Kuliah Bulanan

Pengisian oleh
al-Fadhil Ustaz Kushairi

akan diadakan pada 04 April 2009 (Sabtu)

Selepas Solat Maghrib

di Surau al-Mujahidin, Desa Surada,
Bandar Baru Bangi.


Semua Dijemput Hadir

Sabtu, Mac 28, 2009

Jumaat, Mac 27, 2009

Taqwa

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam (Surah Ali Imran: 102)

Sebelum mengetahui maksud taqwa sepenuhnya hendaklah mengetahui apakah ia Islam? Selepas selesai konsep keislaman barulah mencapai tahap taqwa. Islam ialah berada berkeadaan Islam seseorang itu dan taat kepada segala hukum Allah SWT dengan mengikut segala apa perintahNya dan mencegah menolak segala laranganNya.

Bagi melaksanakan apa yang diperintahkan Allah SWT dan mencegah apa yang ditegah Allah SWT maka manusia diberi amanah di dunia ini. Amanah ini bukan suatu perkara kecil, tetapi ianya merupakan suatu tuntutan yang amat besar. Tiada makhluk lain yang sanggup menerima amanah ini kecuali manusia.

Maksud fiurman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72 ” Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

Manusia yang menerima amanah di dalam ayat tersebut dikaitkan dengan zalim dan jahil. Zalim dari erti yang mudahnya meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Dari segi syara’, zalim ialah meletakkan perintah Allah SWT dan syariat Rasulullah SAW bukan pada landasan yang betul. Diumpamakan mengambil hukum selain dari hukum Allah SWT adalah melakukan kezaliman.

Justeru, taqwa yang sepatutnya dicapai ialah sentiasa taat dan melaksanakan ibadah. Bukan semata-mata ibadah khusus tetapi merangkumi keseluruhan cara hidup. Taqwa juga hendaklah sentiasa menghindarkan diri melakukan dosa serta berusa menyucikan hati. Ini kerana taqwa itu letaknya di dalam hati.

Khutbah Jumaat Ustaz Mohd Fadhil Ismail 27 Mac 2009

Sebahagian Sifat Orang Munafiq Menurut al-Qur’an

1. Malas menunaikan solat (Surah al-Nisa’ : 42)

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

2. Talam dua muka (Surah al-Baqarah: 14)

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami telah beriman dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman).

3. Mulut manis, hati lain (Surah Ali Imran: 167)

Dan juga dengan tujuan Dia hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang munafik yang dikatakan kepada mereka: Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam) atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu). Mereka menjawab: Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu (turut berperang). Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.

4. Amar munkar nahi makruf ( Surah al-Taubah: 67)

Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat dan melarang dari perbuatan yang baik dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.

5. Hasut sekat duit (Surah al-Munafiqun: 7)

Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya). Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).

6. Berwalikan orang kafir (Surah al-Nisa’: 138-139)

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).

7. Berhukum dengan hukum toghut (Surah al-Nisa’: 60)

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.

Keadaan Munafiq di Akhirat (Surah al-Hadid: 13-14)

(Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu. (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana), serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat) dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (Neraka) dan azab seksa. (Pada saat itu) mereka (yang munafik) menyeru orang-orang yang beriman (sambil berkata): Bukankah kami bercampur gaul dengan kamu (di dunia dahulu)? Orang-orang yang beriman menjawab: Benar! Akan tetapi kamu telah membinasakan diri kamu (dengan perbuatan munafik) dan kamu telah menunggu-nunggu (kebinasaan umat Islam), dan kamu pula ragu-ragu (terhadap perkara-perkara agama) serta kamu diperdayakan oleh angan-angan kosong (untuk mencapai maksud kamu), sehinggalah datangnya (maut) yang ditetapkan oleh Allah (kepada kamu) dan (selain itu), kamu pula diperdayakan oleh bisikan Syaitan dengan (pengampunan) Allah (semata-mata dan melupakan azabNya).

Kuliah Maghrib Ustaz Syed Norhisyam 26 Mac 2009

Ahad, Mac 22, 2009

Kesempurnaan Saf

Sumber: http://ibnuabbas.wordpress.com/2007/06/27/kesempurnaan-saf/

Rapatkan saf - Usahakan barisan terbaik
KALIMAT yang sering kita dengar dari mulut imam sebelum memulakan solat adalah “Luruskan saf (barisan dalam solat berjemaah)” atau “Rapatkan saf”. Namun berapa ramai yang benar-benar mengikuti arahan imam tersebut? Berapa ramai yang mengetahui apa maknanya meluruskan saf mengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih?

Para ulama sepakat bahawa saf pertama adalah saf terbaik dan besar keutamaannya bagi jemaah lelaki dalam bersolat. Manakala bagi saf jemaah perempuan, saf paling utama adalah saf paling akhir sekali. Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :
Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang terburuk ialah yang paling depan. (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Abu Hurairah: Andaikata manusia mengetahui apa yang ada di dalam panggilan azan dan memenuhi saf paling depan, kemudian mereka tidak berjaya mendapatkannya (saf paling depan itu) kecuali jika mereka berlumba untuk mendapatkannya, pasti mereka akan berlumba. (Riwayat Bukhari).

Disebut juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. bahawa saf di sebelah kanan mempunyai lebih keutamaan berbanding saf di sebelah kiri. Daripada Aishah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat terhadap orang yang berada di saf sebelah kanan. (Riwayat Ibnu Majah)

Di antara fadilat solat di saf pertama:

1) Menjaga kesempurnaan saf pertama sama seperti safnya para malaikat. Riwayat Jabir bin Samurah yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Tidakkah kamu berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi Tuhan-Nya?” Kami bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di depan Tuhan?” Jawab Nabi: “Menyempurnakan barisan pertama dan rapat benar dalam barisan.” (Riwayat Muslim)

Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa mereka yang memenuhi saf paling depan ketika solat adalah sama dengan saf para malaikat yang sentiasa menjaga kesempurnaan saf mereka dan saf para malaikat ini hampir dengan Allah s.w.t. Dari sini boleh kita katakan bahawa mereka yang berada di saf paling hadapan adalah orang yang paling hampir dengan Allah dan lebih mudah memperoleh rahmat-Nya.

2) Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada mereka yang berada di saf-saf paling hadapan. Daripada Abu Umamah berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama.” Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua.” Rasulullah menjawab: “Ya, juga saf kedua.” (Riwayat Ahmad).

Selawat

Menurut Dr. Fadhal Ilahi, makna selawat Allah atas mereka (yang berada di saf pertama) adalah seperti yang dikatakan oleh Imam ar-Raghib al-Asfahani, iaitu: “Tazkiyah (Penyucian daripada dosa-dosa) terhadap mereka.” Selawatnya para malaikat pula: “Iaitu berbentuk doa dan permohonan keampunan.” Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapat tazkiyah daripada Allah dan doa pengampunan daripada para malaikat.

3) Rasulullah memohon keampunan buat mereka di saf pertama sebanyak tiga kali. Daripada ‘Irbadh bin Sariyah bahawa Rasulullah memohon keampunan bagi mereka yang berada di saf pertama tiga kali dan untuk saf kedua hanya sekali.
(Riwayat Ibnu Majah). Alangkah bahagia sekiranya orang yang paling mulia di atas muka bumi ini memohon keampunan untuk kita.

Demikianlah beberapa keutamaan saf paling hadapan di dalam solat berjemaah. Yang amat dikesalkan terdapat ramai di antara kita yang tidak lagi memberi perhatian terhadap keutamaan-keutamaan ini. Umat Islam di Malaysia seakan-akan tidak ghairah merebut saf pertama.

Mereka lebih memilih untuk mendapatkan tempat yang membolehkan mereka bersandar dengan selesa seperti di tiang-tiang atau di dinding masjid, berdekatan dengan kipas dan pintu supaya dapat cepat keluar setelah selesai bersolat.

Ada pula yang datang awal ke masjid tetapi berborak dahulu di luar masjid sambil menghisap rokok. Alangkah ruginya mereka ini. Sesungguhnya Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang secara sengaja memenuhi saf belakang, maka Allah akan membelakangkan mereka.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah melihat ada sebahagian sahabatnya yang tidak mahu maju ke saf pertama, maka baginda bersabda: Majulah dan ikutilah saya, sedangkan orang-orang di belakang harus mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang selalu suka di belakang, tentu akan dibelakangkan pula oleh Allah. (Riwayat Muslim).
Adakah kerugian yang lebih besar daripada kerugian dibelakangkan oleh Allah? Oleh itu datanglah awal ke masjid untuk solat berjemaah dan rebutlah saf pertama.

PERANAN IMAM

Rasulullah sebelum memulakan solat, akan memastikan makmum di belakangnya meluruskan saf terlebih dahulu. Anas bin Malik berkata, ketika telah iqamah untuk solat, Rasulullah menghadap kepada kami dengan wajahnya seraya bersabda: Luruskan saf dan rapatkanlah kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku. (Riwayat Bukhari)
Kebiasaan yang kita lihat di masjid-masjid, para imam hanya melaungkan “luruskan saf”, “luruskan saf” tanpa melihat jemaah di belakang sama ada mereka mematuhi perintahnya atau tidak.

Mereka seperti hanya melepaskan batuk di tangga. Sedangkan Rasulullah akan menghadap para makmum dan memastikan arahan meluruskan saf benar-benar dilaksanakan oleh para sahabat. Malah ada riwayat yang menyatakan Baginda pergi ke setiap barisan untuk melihat sama ada saf benar-benar telah lurus sebelum memulakan solat.

Daripada Albara’ bin ‘Aazib berkata: Adalah Rasulullah memasuki celah-celah barisan (saf) sambil mengusap dada dan bahu kami. (Riwayat Abu Daud).
Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau mewakilkan tugas meluruskan saf kepada seseorang. Beliau tidak akan bertakbir (memulakan solat) sehingga orang yang membantunya dalam meluruskan saf itu memberitahu bahawa saf telah benar-benar lurus. Begitu juga dengan Uthman al-Affan dan Ali bin Abu Talib, mereka berdua bersepakat melakukan apa yang telah dilakukan oleh Umar. Dulu, Ali selalu mengatakan: “Maju wahai si fulan! Mundur sedikit wahai si fulan!”

Penulis menyarankan para imam masjid-masjid di Malaysia agar memerhatikan perkara ini dengan penuh teliti supaya amalan mereka selari dengan sunah Nabi dan Khulafa’ ar-Rasyidin.

CARA MELURUSKAN SAF

Meluruskan saf dalam solat berjemaah merupakan sunah Nabi s.a.w. Malah ada ulama yang memandang penyempurnaan saf dalam solat adalah wajib. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani: ”Mendirikan dan meluruskan saf hukumnya wajib kerana terdapat perintah yang berasal daripada Rasulullah. Kalimat perintah itu pada asalnya bererti wajib, kecuali ada qarinah (petunjuk lain) yang mengalihkan daripada pengertian wajib tersebut.

Namun, terlalu sedikit di kalangan masyarakat kita yang mengamalkannya. Pada tanggapan mereka kesempurnaan saf hanyalah dengan mempastikan barisan solat itu lurus. Sebenarnya ada beberapa perkara lain yang juga telah diperintahkan oleh Rasulullah berkaitan kesempurnaan saf:

1. Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.
2. Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.
3. Merapatkan buku lali dengan buku lali orang yang solat bersebelahan dengannya.

Hanya dengan mempraktikkan perkara-perkara di atas barulah tercapai kesempurnaan saf dalam solat berjemaah dalam erti kata sebenar. Hadis-hadis berkaitan dengan perkara di atas adalah seperti berikut:
* Daripada Nu’man bin Bashir berkata: “Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya (buku lali) dengan mata kaki saudaranya.” (Riwayat Abu Daud).
* Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda:
(Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya. (Riwayat Bukhari).
Sunah Nabi s.a.w. ini seakan-akan sudah lenyap dari masjid-masjid di Malaysia.

Penulis pernah cuba mempraktikkan sunah ini dalam solat berjemaah di beberapa masjid, namun hasilnya amat mengecewakan.
Ramai dari kalangan jemaah akan menjauhkan buku lali dan lutut masing-masing ketika penulis cuba merapatkan saf tersebut.
Mereka seolah-olah tidak selesa merapatkan dan meluruskan saf dengan cara begini.
Namun begitu kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan mereka kerana sunah ini memang tidak disebarkan secara meluas di Malaysia, apalagi untuk dipraktikkan.
Penulis yakin sekiranya sunah ini diajar secara meluas di dalam kelas-kelas atau kitab-kitab fardu ain nescaya ia akan diamalkan di seluruh masjid di Malaysia.

HIKMAH MERAPATKAN SAF

1. Ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesempurnaan solat. Sabda Rasulullah: Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf merupakan sebahagian kesempurnaan solat. (Riwayat Muslim).

2. Ia adalah faktor yang boleh menyatukan hati umat Islam. Sabda Rasulullah: Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai (dalam mendirikan saf), akan tercera-berai hati kamu. (Riwayat Muslim). Sabda Baginda lagi: Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi Allah (kamu diperintah agar) merapatkan/meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu. (Riwayat Abu Daud).

Menurut Syaikh Abu Ubaidah
Masyhur:
”Dalam perintah meluruskan dan merapatkan saf merupakan unsur pendekat jiwa yang akan menjalinkan hubungan persaudaraan dan keinginan saling menolong. Bagaimana tidak! Bukankah bahu si miskin berhimpitan dengan bahu si konglomerat, kaki si kuat melekat dengan kaki si lemah. Dan semuanya berada dalam satu saf, bagaikan bangunan yang tersusun sangat rapat.

3. Ia dapat menghindari gangguan syaitan ke atas orang yang bersolat. Sabda Rasulullah:
Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf, tegakkanlah tengkuk kamu. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud).

4. Allah mencintai mereka yang menyempurnakan saf. Sabda Rasulullah:
Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf (dalam solat). (Riwayat Abu Daud).

5. Ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang menyempurnakan saf di dalam solatnya. Rasulullah bersabda:
Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup celah dalam saf. (Riwayat Thabrani).

6. Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada mereka yang menyempurnakan saf dalam solat.
Sabda Rasulullah : Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Rasulullah menjawab: Ya, juga bagi saf kedua. (Riwayat Ahmad).
Sayang sekali sunah-sunah berkaitan dengan saf ini telah dilalaikan dan diambil mudah oleh masyarakat Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Apa yang ingin penulis sarankan di sini adalah agar sunah meluruskan dan merapatkan saf ini dihidupkan semula, terutamanya oleh para imam di masjid-masjid seluruh Malaysia.
Para imam hendaklah bersungguh-sungguh mengerjakan sunah ini dan mengajak mereka yang bersolat di belakang melaksanakannya.
Sabda Rasulullah s.a.w mengingatkan:
Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. (Riwayat Bukhari).

Kasih Kerana Allah SWT

Maksud hadith qudsi; orang yang berkasih sayang keranaKu (Allah SWT), diberi tempat di bawah lindunganKu di hari akhirat.

Dari maksud hadith di atas memberi peringatan kepada kita berkasih sayang kerana Allah SWT merupakan suatu perkara yang besar. Para nabi dan para syuhada' sentiasa mengharapkan keadaan ini berlaku dan wujud di dalam diri mereka. Setiap apa yang mereka laksanakan adalah mengharapkan pembalasan dan keredhaan Allah SWT semata-mata. Tidak timbul mengasihi orang lain untuk mendapatkan imbuhan di dunia.

Berkasih sayang sesama manusia hanya kerana Allah SWT dapat menjaga naluri nafsu manusia yang cenderong kepada negatif. Pembalasan yang hakiki hanyalah diharapkan dari Allah SWT, tidak dari manusia.

Tazkirah Subuh Ustaz Mohamad Kassim 22 Mac 2009

Sabtu, Mac 21, 2009

Kelebihan Surah al-Mulk

Surah al-Mulk yang merupakan surah yang ke 57 dan berada di dalam juzuk ke 29 mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri. Berdasarkan sabda Rasulullah SAW sesiapa yang sentiasa membaca surah ini akan memperoleh syafaat darinya.

Dalam kisah yang lain, Ibn Abbas menceritakan ada seorang sahabat mendirikan khemah di atas tanah perkuburan yang tidak diketahuinya. Sejurus kemudian sahabat tersebut terdengar orang membaca surah al-Mulk. Diberitakan kepada Rasulullah SAW perihal perkara tersebut, Rasulullah SAW menjelaskan surah tersebut merupakan pelindung si mati dari seksaan azab kubur. Imam al-Nawawi menjelaskan hendaklah sentiasa mengamalkan bacaan surah al-Mulk sebelum tidur bagi mengelak gangguan.

Namun segala kelebihan yang ada dalam surah al-Mulk ini hendaklah diaplikasikan dengan mengambil pengajarannya sekali. Rasulullah SAW merupakan orang yang paling utama menghayati segala apa yang terkandung di dalam al-Quran. Ianya dapat dilihat berdasarkan keperibadian Rasulullah SAW serta sifat-sifat yang ada padanya seperti siddiq, tablihg, amanah dan fatanah.

Melalui pembacaan dan pengaplikasian isi kandungannya akan memberikan kesan yang berguna dalam kehidupan seharian. Namun untuk melaksanakannya memerlukan kekuatan. Ini disebabkan pada masa kini terdapat pelbagai ancaman persekitaran yang masih bersandarkan fikrah jahiliyah dan ancaman keduniaan yang mencabar.

Kuliah Subuh Ustaz Hasbullah 21 Mac 2009

Jumaat, Mac 20, 2009

Peringatan Allah SWT

Firman Allah SWT;


124. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, Maka Sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".
125. Berkatalah ia: "Ya Tuhanku, Mengapa Engkau menghimpunkan Aku dalam keadaan buta, padahal Aku dahulunya adalah seorang yang melihat?"
126. Allah berfirman: "Demikianlah, Telah datang kepadamu ayat-ayat kami, Maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari Ini kamupun dilupakan".

Jelas dalam al-Quran terdapat banyak peringatan kepada manusia agar manusia sentiasa ingat hak dan ketentuan Allah SWT. Melalui peringatan yang telah dinyatakan dalam al-Quran tiada lagi sebab bagi manusia untuk mendakwa bahawa tidak mengetahui tentang peringatan Allah SWT.

Alangkah malangnya manusia pada hari ini yang tidak mengetahui dan mengetahui tentang peringatan Allah SWT. Tidak cukup dengan itu mereka mengagung-agungkan akal fikiran yang ada pada mereka. Hakikatnya akal tidak akan mencapai tahap yang dapat membezakan antara hak dan batil tanpa hidayah petunjuk dari Allah SWT. Berbangga dengan kebijaksanaan akal sepenuhnya adalah bersalahan kerana manusia adalah makhluk yang lemah.

Dari itu manusia yang tidak mendengar peringatan dari Allah SWT dengan membutakan hati dari mengikut petunjuk akan buta di akhirat kelak. Tiada lagi pilihan bagi setiap manusia mesti mengikut ajaran Islam. Ikutan selain dari Islam pasti membawa kesusahan, kesusahan di dunia mahupun kesusahan di akhirat kelak.

Khutbah Jumaat Ustaz Khairil Khuzairi 20 Mac 2009

Khamis, Mac 19, 2009

Hitung-hitungkan

Sabda Rasulullah SAW;
حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا
Maksudnya: Hitunglah diri diri kamu sebelum kamu dihitungkan.
Dari maksud di atas jelas memberi gambaran kepada kita bahawa kita hendaklah sentiasa menghitung diri dengan menilai keseluruhan apa yang terdapat pada kita. Bermula dari segala amal perbuatan, anak isteri, keluarga, harta benda dan rezki pencarian yang diperolehi.

Janganlah kita merasa selesa dengan apa yang telah kita ada, sehinggakan setiap apa yang berlaku ke atas kita pasti orang lain yang dipersalahkan. Kita sentiasa merasa betul dan berpandangan positif pada diri sendiri. Hakikatnya sebelum kita menyalahkan orang lain semestinya kita menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu.

Melihat kepada senario yang berlaku dalam masyarakat berkaitan pecah rumah, mencuri dan seumpamanya, hendaklah kita memeriksa harta yang ada pada kita. Dari mana sumbernya, bagaimana diperolehinya, ke mana yang patut dibelanjakan, siapa yang berhak ke atasnya dan adakah kita telah melunaskannya dengan kaedah yang betul. Betul yang berteraskan kepada syara’ yang berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Justeru fikir-fikirkan sejenak adakah pencuri yang mengambil harta kita yang lebih terdahulu bersalah ataupun kita yang telah sememangnya bersalah disebabkan tidak menunaikan haknya dengan sempurna.

Tazkirah Maghrib Ustaz Mohd Gaddafi 19 Mac 2009

Rabu, Mac 18, 2009

Renungan Bersama

Oleh: Mohd Gaddafi Ibrahim

Merujuk kepada surah al-Kafirun, Islam tidak berkompromi dengan gama-agama lain berkaitan ibadah dan tuntutan dalam Islam. Namun dalam masa yang sama Islam tidak pula menghalang agama-agama lain melakukan ibadah mereka. Maka hendaklah kita meyakini ‘Islam yaklu wa la yukla alaih’.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik keturunan, budaya dan agama. Masyarakat Melayu yang beragama Islam merupakan majoriti penduduk di negara ini. Kewujudan masyarakat non-muslim di dalam masyarakat setempat bukanlah menjadi satu ancaman kepada Islam. Kepelbagaian masyarakat di negara ini memerlukan masyarakat Malaysia saling faham-memahami di antara satu sama lain dalam konteks integrasi nasional di Malaysia.

Islam merupakan agama rasmi negara, manakala agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian tetap menjadi anutan sebahagian dari masyarakat Malaysia berketurunan Cina, India, Siam dan sebagainya. Amalan kebebasan beragama menjadi teras bagi keseluruhan masyarakat majmuk di Malaysia. Dengan itu sepatutnya tidak timbul perkara-perkara negatif di dalam masyarakat berkaitan urusan agama. Ini adalah selaras dengan kehendak Islam yang menganjurkan tiada paksaan dalam beragama dan menuntut mengamalkan sikap kerjasama di kalangan manusia.

Sebagai contoh agama Buddha telah sekian lama wujud di Kelantan dan para penganutnya tidak pernah tidak dapat melaksanakan tuntutan agama mereka. Ini memberi gambaran khusus mengenai perkembangan, kegiatan dan amalan penganut agama Buddha serta para bikhu di negeri Kelantan tidak pernah terhalang walau Kelantan berada di bawah pentadbiran ulamak sebagai ‘Serambi Mekah’.

Ini menunjukkan bahawa jika Islam itu benar-benar memerintah pasti tiada penganiayaan yang akan berlaku ke atas agama lain.

Ahad, Mac 15, 2009

Nabi Nuh AS

Nabi Nuh AS merupakan salah seorang nabi yang terkenal dengan tempoh panjang mengerjakan kerja-kerja dakwah. Nabi Nuh AS menyeru kaumnya agar mentauhidkan Allah SWT selama 950 tahun, namun yang mengikutnya hanya sebahagian kecil sahaja. Hinggalah Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh AS membina sebuah kapal.

Nabi Nuh AS menuruti perintah Allah SWT dengan membina kapal di tengah-tengah tanah tempat kediamannya yang jauh dari sumber sungai mahupun laut. Kelakuan Nabi Nuh AS ini ditertawakan oleh kaumnya dengan mengatakan adakah mungkin tempat tinggal kediaman mereka akan ditenggelami air? Sudah pasti jawapan logiknya tidak akan berlaku.

Inilah yang berlaku kepada Nabi Nuh AS apabila mendakwahkan kaumnya agar menuruti perinmtah Allah SWT. Ditertawa dan dicerca oleh kaum sendiri menjadi perkara biasa. Hakikatnya apa yang dilaksanakan Nabi Nuh AS adalah perintah Allah SWT. Perangai kaum Nabi Nuh yang mentertawakan sunnah nabi ini bukan setakat ada di zaman Nabi Nuh AS tetapi di dunia moden kini masih ramai yang membelakangkan perintah dan mengejek-ejek yang dibawa oleh para nabi dan rasul.

Petikan Kuliah Maghrib Ustaz Saifullah 15 Mac 2009

Wahdah Pemangkin Khaira Ummah

‘Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’ merupakan slogan Sambutan Maulid Rasul peringkat kebangsaan bagi tahun 1430/2009. Ini memberi gambaran penekanan terhadap kesatuan dalam ummah mesti dititik beratkan. Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang memberi maksud supaya adanya kesatuan dan kesepakatan sesama manusia.

Al-Quran menjelaskan “sesungguhnya setiap mukmin adalah bersaudara”. Selain itu turut dinyatakan “sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia lelaki mahupun wanita, turut diciptakan berbangsa-bangsa dan berpuak-puak tidak lain dan tidak bukan hanya untuk berkenalan, sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah SWT adalah yang paling bertaqwa”.

Merujuk kepada dua petikan ayat di atas jelas kepada kita bahawa kesatuan yang dikehendaki di dalam Islam adalah berlandaskan tauhid. Apabila semua manusia mentauhidkan Allah SWT mereka adalah mukmin dan semestinya akan bersatu. Di sisi Allah SWT yang paling mulia seseorang hamba adalah yang paling bertaqwa kepadaNya. Untuk itu perlu diperjelaskan perkara yang dimaksudkan dengan bertaqwa.

Taqwa yang merupakan perkataan yang mudah disebut adalah bermaksud secara ringkasnya adalah membuat apa yang diperintahkan Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang Allah SWT. Sebagaimana ayat al-Quran yang bermaksud “bertolong-tolonglah kamu ke atas jalan kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan ke atas perkara dosa dan tegahan”.

Manakala khaira ummah bukanlah mempunyai maksud ummah yang termaju dan termoden, tetapi ianya merujuk kepada ummah yang berprinsip. Prinsip-prinsip tersebut mestilah berpaksi kepada atas dasar Islam dan aqidah iaitu menyuruh perkara baik dan mencegah perkara mungkar.

Ibn Kathir menjelaskan perinsip utama bagi umat Islam adalah mesti berteraskan kepada tiga perkara; menyeru membuat kebaikan, mencegah melakukan kemungkaran dan beriman kepada Allah SWT. Perkara ini amat penting kerana Rasulullah SAW bersabda “kita kaum yang ditinggikan Allah SWT apabila menegakkan Islam”.

Kandungan Ceramah Maulid Rasul al-Fadhil Ustaz al-Kauthar 14 Mac 2009

Niat penentu akibat amal

Rasulullah SAW bersaabda;
إنما الأعمال بالنيات
Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan adalah bergantung kepada niat.
Berdasarkan hadith di atas jelas menunjukkan bahawa setiap perbuatan mestilah dimulai dengan niat. Bermula dari niat akan mendatangkan natijah akhir setiap perlakuan sama ada mendatangkan natijah positif yang dikenali sebagai pahala atau menghasilkan yang akibat negatif iaitu dosa. Niat adalah penentu punca akibat amal.

Niat merupakan perkara yang cukup diambil berat dalam setiap amalan kehidupan seharian. Ianya bukanlah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan. Justeru setiap perbuatan mesti disertakan niat dan niat tersebut mesti berdasarkan perkara yang sepatutnya. Niat baik tetapi perkara yang dilakukan adalah buruk tetap menjadi buruk, begitulah sebaliknya. Jika perkara haram walau niatnya baik tetap natijahnya haram seperti niat beli nombor ekor dengan harapan jika menang wang yang diperolehi akan digunakan untuk pergi menunaikan haji.

Selain itu banyak contoh-contoh yang terdapat hubungkait dengan niat. Di zaman Rasulullah SAW, sewaktu Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya berhijrah terdapat seorang pemuda yang ingin mengahwini Ummu al-Qais. Ummu al-Qais mensyaratkan jika itu hajat pemuda tersebut maka pemuda tersebut mesti turut berhijrah bersama ke Madinah. Maka pemuda tersebut bersetuju untuk berhijrah bersama-sama. Setelah kisah tersebut tersebar, pemuda tersebut dikenali sebagai ‘Penghijrah Ummu al-Qais’. Lantaran itu akhir sambungan hadith di atas ialah;
... أو امرأة ينكحها فهجرته إلي ما هاجر إليه
Maksudnya: … atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah bergantung kepada apa yang dihijrahkannya.

Isi Kandungan Kuliah Maghrib al-Fadhil Prof Madya Dr. Abdul Ghaffar Don 13 Mac 2009

Sejauh manakah kasih kepada Rasulullah SAW


Sejauhmanakah kita kasih kepada Rasulullah SAW? Adakah kasih sayang kepada Rasulullah telah timbul di dalam hati kita? Jika merujuk kepada dua persoalan ini adakah kita boleh menjawabnya dengan penuh keikhlasan? Semua tanyalah, hanya iman sahaja yang dapat menjawab sama ada telah terjawab mahupun tidak. Hakikatnya masih ramai di kalangan manusia pada hari in membelakangkan Rasulullah SAW. Sedangkan Rasulullah SAW merupakan rahmat bagi sekalian alam.

Sebagaimana ayat lain dalam al-Quran yang bermaksud “kamu semua adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, maka hendaklah menyeru ke arah perbuatan kebaikan dan mencegah dari perbuatan kemungkaran”. Namun ayat-yat tersebut tidaklah menjadi ikutan keseluruhan manusia bahkan sebaliknya mereka melawan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Mereka membelakangkan agama, sunnah pula dianggapnya telah ketinggalan zaman.

Maka celakalah umat Islam pada hari ini. Ungkapan ini tidak sepatutnya dituturkan di kala zaman yang moden kini. Namun sememangnya celakalah umat Islam yang sentiasa mencintai dunia lebih dari segalanya, menjadikan dunia sebagai matlamat utamanya. Celakalah umat Islam yang sentiasa menuruti kehendak hawa nafsu tanpa membataskan haq dan batil dan akhirnya celakalah umat Islam yang sentiasa mengikuti kendak iblis yang sentiasa menggoda manusia sehinggalah hari kiamat.

Akibat dari ketiga-tiga sebab di atas manusia semakin lama semakin hanyut dan lalai dari tuntutan asal Islam. Lihat sahaja kepada akhlak, kelakuan, perangai dan gaya hidup masa kini pasti membuahkan jawapannya.

Kandungan Khutbah Jumaat Ustaz Kusyairi 13 Mav 2009

Rabu, Mac 11, 2009

Solat Berjamaah

Menunaikan solat berjamaah merupakan suatu kewajipan. Rasulullah SAW menegaskan menunaikan solat berjamaah tidak dapat dielakkan bahkan walau dalam keadaan perang sekalipun perlu dilakukan solat secara berjamaah. Dalam keadaan aman semestinya solat berjamaah tuntutannya amatlah besar.

Rasulullah SAW bersabda; solat secara berjamaah lebih afdhal dari solat bersendirian dengan gandaan 27 darjat. Walaupun begitu masih ramai di kalangan kita merasakan telah memadai dengan hanya mengerjakan solat. Alas an yang diberikan solat walau bersendirian sudah lebih baik dari tidak menunaikan solat.

Dalam mengaplikasi solat berjamaah dalam kehidupan seharian, ianya mempunyai maksud dan hikmahnya yang tersendiri. Ianya mempunyai maksud secara tersurat mahupun tersirat. Secara tersuratnya melalui solat berjamaah dapat memperlihatkan kesatuan umat Islam yang utuh. Begitu juga secara tersiratnya melalui solat berjamaah dapat melahir dan memantap ukhuwwah sesame muslim. Mahu tidak mahu tuntutan solat secara berjamaah sememangnya suatu kewajipan bagi setiap muslim.

Ringkasan Kuliah Maghrib Ustaz Yaakob 11 Mac 2009

Selasa, Mac 10, 2009

Jamuan Maulid Rasul

Jamuan Maulid Rasul

Pengisian oleh
al-Fadhil Ustaz al-Kauthar

akan diadakan pada 14 Mac 2009 (Sabtu)

Selepas Solat Maghrib

di Surau al-Mujahidin, Desa Surada,
Bandar Baru Bangi.


Semua Dijemput Hadir

Takabbur

لايدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر

Maksudnya: Tidak masuk syurga seseorang yang mana dalam hatinya terdapat walau sebesar satu debu daripada sifat takabbur.

Takabbur secara mudahnya bolehlah diertikan sebagai menolak yang benar dan menghina orang lain. Lawan kepada sifat takabbur adalah belas kasihan dan tahu menghormati hak-hak serta merai orang lain.

Sifat takabbur sepatutnya tidak ada dalam diri manusia. Ini kerana manusia tidak layak untuk bertakabbur, ianya hanya sesuai bagi Allah SWT. Sifat takabbur hanya layak kebada Allah SWT semata-mata. Allah SWT berhak takabbur kerana segala kejadian makhluk adalah ciptaanNya. Selain dari Allah SWT tiada yang layak dengan sifat tersebut.

Namun kisah takabbur yang paling awal berlaku dalam sejarah kehidupan sekalian makhluk adalah ketua kepada segala malaikat iaitu iblis. Iblislah yang pertama sekali menggunakan sifat Allah SWT ini dengan mendakwa dia adalah lebih hebat dari Adam AS. Kisah iblis takabbur ini terdapat dalam al-Quran, bukan setakat takbur bahkan enggan menuruti perintah Allah SWT.

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan barangsiapa manusia yang mempunyai sifat takabbur semestinya mereka telah terpengaruh dengan telunjuk syaitan. Ciri-ciri manusia yang sedemikian adalah berhati keras tidak mahu menerima apa yang telah ditetapkan Allah SWT melalui PesuruhNya SAW.

Intipati Kuliah Maghrib Ustaz Khairil Khuzairi 10 Mac 2009

Isnin, Mac 09, 2009

Memperingati Maulid Rasul

Setiap tahun sejumlah 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Rasulullah diputerakan pada Subuh hari Isnin 12 Rabic al-Awwal pada tahun yang dikenali sebagai Tahun Gajah. Kehadiran Rasulullah SAW ke alam ini membawa limpahan rahmat kepada umat manusia sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran surah al-Anbiya’ ayat 107;
وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين
Maksudnya: Tidaklah Kami (Allah SWT) utuskan kamu (Rasulullah SAW) melainkan untuk memberi rahmat ke seluruh alam.

Tidak dapat dinafikan kedatangan Rasullah SAW sebagai pembawa rahmat adalah besar maknanya. Antara sekalian banyak rahmat yang dibawa Rasulullah SAW paling utama merujuk kepada rahmat Islam dan Iman. Pengorbanan Rasulullah SAW selama 12 tahun dua bulan dan 22 hari di Kota Mekah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyampaikan dakwah Islam kepada masyarat di sana. Hanya dengan kalimah Tauhid لا إله إلا الله manusia akan selamat dan berjaya di dunia dan akhirat.

Kedatangan wahyu pertama dalam surah al-cAlalaq ayat satu hingga lima bukan secara khususnya menyeru Rasulullah SAW menjalankan kerja dakwah. Namun setahun setengah kemudian turunnya wahyu yang kedua di dalam surah al-Mudaththir jelas menyuruh Rasulullah SAW menjalankan kerja-kerja dakwah.

Dalam menjalankan kerja-kerja dakwah, orang yang paling utama yang mesti diseru adalah golongan kaum keluarga terdekat. Saidatina Khadijah isteri Rasulullah SAW merupakan orang pertama memeluk Islam. Di kalangan para sahabat Saidina Abu Bakar dan di kalangan kanak-kanak adalah Saidina Ali Karram Allah Wajhahu.

Setelah tersebarnya Islam dengan lebih menyeluruh, Rasulullah SAW diperintahkan berhijrah ke Kota Madinah. Di kala perjalanan ke Madinah yang ditemani Saidina Abu Bakar dan seorang penunjuk jalan, Rasulullah singgah di Quba’. Di sana terus Rasulullah SAW membina masjid yang pertama di dalam sejarah Islam iaitu dengan memacakkan empat penjuru masjid dengan pelepah tamar. Di masjid inilah merupakan masjid solat berjemaah pertama diadakan. Kemudian setelah sampai di Madinah sebagaimana hal yang berlaku di Quba’ Rasulullah SAW membina masjid yang diberi nama Masjid Nabawi.

Di Madinah Rasulullah SAW membentuk Kerajaan Islam Pertama di atas muka bumi ini. Di sana dibentuk perlembagaan yang dikenali sabagai Piagam Madinah. Berlandaskan piagam inilah masyarakat majmuk yang terdiri dari kaum Yahudi (Qainuqac, Quraizah dan Nadhir) dan lain-lain di Madinah bersatu padu dan homat menghormati.

Kandungan Ceramah Maulid Rasul al-Fadhil Ustaz Farhan al-Hafiz 08 Mac 2009

Ahad, Mac 08, 2009

Solawat versi Syed Ahmad al-Badawi

Solawat ini diberi izin oleh al-Fadhil Ustaz Mohd farhan al-Hafiz semasa Majlis Ceramah Maulid Rasul. Beliau menjelaskan keizinan penyebarannya adalah berdasarkan Ijazah yang diterima dari Syeikhnya.

Dipetik dari Ceramah Maulid Rasul Ustaz Mohd Farhan al-Hafiz 08 Mac 2009

Doa Waktu Pagi, Petang & Malam

Rasulullah mengingatkan umatnya agar sentiasa mengingati Allah SWT. Antara perkara yang sepatutnya menjadi amalan kita adalah membaca doa setaip pagi, petang dan malam. Doa mudah yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ عَالِمَ اْلغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ ، فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَاْلأَرْضِ ، رَبَّ كُلَّ شَيْءٍ وَمَلِيكِهِ ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِي وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ .

InsyaAllah dengan mengamalkan doa ini akan menambahkan lagi keberkatan hidup kita setiap hari.

Petikan Kuliah Subuh Ustaz Mohd gunawan Abd Aziz 08 Mac 2009

Siapakah Yang Layak Memimpin

Siapakah Yang Layak Memimpin Manusia

Hari ini ramai manusia yang berebut menjadi pemimpin, namun tidak semua pemimpin yang ada pada hari ini memenuhi dan mepati piawai Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin di kalangan kamu. Diakhir ayat tersebut juga Allah SWT menjelaskan jika berlaku pertikaian (pertelingkahan) dalam sesuatu perkara maka tempat rujukannya adalah Allah dan Rasul.

Dari maksud ayat di atas jelas bahawa pemimpin yang patut memimpin manusia adalah pemimpin yang menurut perintah Allah SWT melalui ajaran para RasulNya. Setiap apa keputusan yang diputuskan pemimpin adalah mesti selaras dengan kehendak Allah SWT dan Rasul. Manakala pemimpin yang merebut jawatan kepimpinan dengan apa jua cara demi mendapatkan kuasa adalah bertentangan dengan kehendak sebenar Islam.

Pemimpin yang berpaksikan Islam adalah sentiasa mengajak manusia mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menggalakkan rakyat melakukan perbuatan kebaikan dan mencegah dari melakukan perkara-perkara mungkar. Bukannya pemimpin yang menjadikan Islam sebagai tempelan, bukannya pemimpin yang mengagih-agihkan dana negara di kalangan mereka, bukan pemimpin yang tidak menghiraukan batas-batas hukum agama dan bukan juga pemimpin yang bergelumbang dalam kemaksiatan.

Adanya pemimpin yang sentiasa menuruti perintah Allah SWT pasti mendatangkan kerahmatan dan keberkatan yang tidak terperi nikmatnya. Pemimpin yang mengutamakan Allah SWT dan RasulNya merupakan golongan yang paling layak memimpin manusia di alam yang sementara ini.

Intipati Khutbah Jumaat Ustaz Mohd Ridhuan Ismail 06 Mac 2009

Rabu, Mac 04, 2009

Keimanan kepada Rasulullah SAW

Beriman kepada Rasul merupakan salah satu dari Rukun Iman yang mesti diyakini dan dipercayai oleh setiap muslim. Keimanan kepada Nabi Muhammad SAW pasti memperolehi janji yang baik di akhirat yang abadi kelak. Perkara ini dapatlah dilihat berdasarkan satu kisah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW.

Kisahnya bermula apabila seorang anak yatim yang berhajat untuk memagarkan tanaman kebun tamarnya yang berada di sebelah kebun tamar seorang yang hartawan. Ketika proses memagarkan kebun tamannya dilaksanakan, terdapat sebatang pohon tamar yang dimiliki hartawan tersebut yang menjadi halangan kerja memagar kebun anak yatim tersebut. Bagi mengharmonikan keadaan, anak yatim tersebut pergi berjumpa dengan hartawan pemilik pohon tamar yang menghalang kerja-kerja memagar memagar kebun. Namun natijah yang diperolehi mengecewakan akibat hartawan pemilik pohon tersebut tidak mengizinkan pohon tersebut diusik. Lantas anak yatim tersebut mengadu kepada Rasulullah SAW.

Setelah Rasulullah SAW mendengar apa yang terjadi, baginda bersabda sesungguhnya sekiranya hartawan tersebut mengorbankan sebatang pohon tamar tersebut, pohon tersebut telah tumbuh di syurga Allah SWT. Lalu berita tersebut disampaikan kepada hartawan pemilik tamar tadi. Sekali lagi jawapan yang diterima dari hartawan tersebut nagatif.

Tatkala itu seorang sahabat, Abu Dahdah yang mempunyai kebun 600 pohon tamar yang paling subur di Madinah telah mendengar perihal tersebut pergi mengunjungi Rasulullah SAW dan bertanyakan adakah jika dia yang membeli sebatang pohon tamar yang menjadi isu dan membiarkan anak yatim tadi meneruskan hajatnya untuk memagar kebun tersebut, adakah Abu Dahdah tetap mendapat apa yang dijanjikan Rasulullah SAW iaitu pohon tamar tersebut akan tumbuh di syurga kelak. Rasulullah SAW menyatakan perkara tersebut pasti akan berlaku.
Abu Dahdah tanpa melengahkan masa menemui hartawan yang tetap dengan pendiriannya tadi, menukarkan 600 pohon tamar miliknya dengan sepohon tamar milik hartawan tersebut. Selesai menguruskan proses penukaran tersebut Abu Dahdah memberitahu isteri dan keluarganya, mereka menerima dengan penuh redha dan keredhaannya adalah berlandaskan janji Rasulullah SAW bahawa sebatang pohon tamar yang telah ditukarkan tadi telah pun di syurga Allah SWT dan hanya menunggu tuannya sahaja di akhirat kelak.

Begitulah betapa tingginya tahap keimanan para sahabat kepada Rasulullah SAW apabila mempercayai, meyakini apa yang dinyatakan Rasulullah SAW. Justeru kita bagaimana?

Petikan Kuliah Maghrib Prof. Madya Ustaz Kamaruddin Salleh 04 Mac 2009

Selasa, Mac 03, 2009

Ceramah Maulid Rasul

Ceramah Maulid Rasul
bersama al-Fadhil Ustaz Farhan al-Hafiz


akan diadakan pada 8 Mac 2008 (Ahad)


Selepas Solat Maghrib


di Surau al-Mujahidin, Desa Surada, Bandar Baru Bangi.


Semua Dijemput Hadir